Tuesday, November 9, 2010

Kedah bantu mangsa banjir tanpa liputan media

Ali Hashim

KULIM, 9 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah turun padang untuk meninjau dan membantu mangsa banjir lebih awal dari apa yang didakwa oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Demikian dinyatakan oleh Pegawai Khas Perhubungan Awam dan Politik Menteri Besar Kedah, Ustaz Hassan Razak semasa menyampaikan ceramah di Dewan Putra, Taman Putra, kelmarin.

Menurut beliau lagi apabila berlakunya musibah atau bencana seperti banjir di Kedah, kerajaan negeri menyalurkan bantuan kepada semua mangsa tanpa diskriminasi sepertimana yang didakwa oleh media arus perdana milik Umno dan BN.

"Bantuan awal disalurkan melalui pelbagai agensi negeri seperti Majlis Bandaraya Alor Setar, Pejabat Daerah Kubang Pasu dan Pokok Sena, Jabatan Kebajikan Negeri dan juga Kebawah Duli Sultan Kedah.

"Manakala badan politik yang menyalurkan sumbangan turut datang dari Lajnah Kebajikan PAS Kedah, Dewan Pemuda, PKR dan juga DAP. Bantuan sebanyak RM1.2 juta telah disalurkan bagi membantu mangsa banjir tanpa mengira kaum dan fahaman politik," tegasnya lagi.

Tambahnya, media arus perdana tidak bersikap adil dengan memberi laporan berat sebelah apabila sering menonjolkan kepimpinan BN semata-mata dengan meminggirkan kepimpinan kerajaan negeri yang turut turun padang menyalurkan bantuan dan sumbangan sehingga terpaksa meredah banjir sejak awal kejadian lagi.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kulim Bandar Baharu berkata, Umno di Kedah yang mengamalkan diskriminasi tanpa disedari oleh masyarakat.

"Sebagai bukti, saya nyatakan dalam permohonan bagi mendapatkan rumah mesra rakyat borang permohonan bagi mendapatkan rumah tersebut disediakan di pejabat Umno. Walaupun yang memohon itu adalah orang Melayu tanpa sijil ahli Umno maka ia akan didiskriminasikan.

"Begitu juga dengan permohonan pinjaman Tekun, mereka mendiskriminasikan orang Melayu yang bukan ahli Umno bagi mendapat pinjaman tersebut walaupun yang memohon itu adalah mereka yang layak dan memerlukan bantuan," ujarnya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29390:kedah-bantu-mangsa-banjir-tanpa-liputan-media&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...