Tuesday, November 9, 2010

Kongsi derita

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Aniza Zainudin

KUALA LUMPUR: Nasib malang menimpa mangsa banjir di Kedah dan Perlis terus mendapat perhatian syarikat korporat apabila Superaya Corporation Sdn Bhd (Superaya Corporation) dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) masing-masing menyumbang RM20,000 serta RM15,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima, semalam.

Turut menyerahkan sumbangan ialah Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) yang menyalurkan bantuan berbentuk barangan keperluan makanan bernilai RM30,000.


Eksekutif Perhubungan Awam dan Promosi Adabi, Norol Liza Zainal Abidin, berkata sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir sejak 1 November lalu.

“Sememangnya sudah menjadi tradisi Adabi memberikan bantuan kepada orang ramai terutama apabila berlakunya bencana alam, malah kita turut memiliki tabung syarikat bagi sumbangan amal,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, di Balai Berita, di sini, semalam.


Sementara itu, sumbangan daripada pihak Superaya Corporation dan Takaful Ikhlas disampaikan kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarulbaid Shahid. Hadir sama, timbalannya, Mahfar Ali.


Ketua Pegawai Eksekutif Superaya Corporation, Datuk Dr Jason Goh, berkata menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menderma bagi meringankan penderitaan mangsa banjir, apatah lagi bencana berkenaan menyebabkan pelbagai kerosakan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Perancangan Korporat Takaful Ikhlas, Yushida Husin, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikatnya sejajar hasrat membantu masyarakat yang kesusahan.


Katanya syarikat itu turut menubuhkan pasukan sukarelawan khas untuk membantu mangsa bencana alam itu.

Individu dan organisasi yang mahu membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 5141-0532-0757 dengan nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan dihantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.


Ia juga boleh disalurkan melalui Maybank2u, pindahan dana di mesin juruwang automatik (ATM) dan Kawanku Phone Banking, mesin deposit tunai, mesin deposit cek dan kaunter Maybank.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kongsiderita/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...