Tuesday, November 9, 2010

MB: Bajet 2011 tumpu masyarakat luar bandar

Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
4:28pm

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ciri utama yang boleh diperhatikan dalam bajet 2011 ialah tumpuan untuk "merakyatkan ekonomi" bagi masyarakat luar bandar.

Tiga program utama yang dimuatkan dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pada peringkat ini ialah Skim Kredit Mikro, Skim Kesihatan Wanita dan Takaful Orang Kelainan Upaya

"Skim Kredit Mikro memperuntukkan RM50 juta kepada Yayasan Qardhul Hasan untuk menangani kemiskinan luar bandar manakala Skim Kredit Mikro Miskin Bandar (MIMBAR Selangor) diperuntukkan RM20 juta.

"Peruntukan RM70 juta ini disalurkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) hasil dari penyelesaian hutang Syarikat Kumpulan Talam.

"Ini bukan sebahagian daripada peruntukan bajet tetapi daripada beberapa hutang yang dikutip daripada Talam Corporation. Kita telah iktiraf ini sebagai satu hutang dan diserahkan kepada MBI.

Hutang berjumlah RM392 juta itu dipindahkan kepada kerajaan negeri secara geran melalui bajet tambahan yang diluluskan DUN Selangor pada November tahun lalu.

"Sekarang hutang ini sudah dibayar dan MBI ditugaskan untuk beri peruntukan untuk skim ini," katanya lagi dalam sidang media selepas membentangkan bajet tersebut di DUN Selangor hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau juga berkata kerajaan negeri menyediakam peruntukan agak besar berjumlah RM15.5 juta untuk pembangunan kampung, termasuk untuk penyediaan kemudahan asas di desa dan penyelenggaraan jalan kampung.

Di samping itu, kerajaan negeri juga mengekalkan bantuan pendidikan kepada rakyat Selangor melalui RM34.84 juta untuk bantuan ke sekolah agama rakyat, sekolah Cina dan Tamil.

Jumlah itu juga akan digunakan bagi program tuisyen rakyat, hadiah anak masuk universiti serta untuk menyediakan latihan kemahiran kepada remaja yang tercicir dari persekolahan.

http://malaysiakini.com/news/147608

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...