Saturday, November 27, 2010

NEKMAT berang nelayan didakwa seleweng subsidi

Nov 25, 10 3:50pm

Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) meminta orang ramai tidak menuding jari kepada nelayan berikutan pendedahan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi bagi nelayan kerana penyelewengan itu membabitkan orang tengah dan bukan nelayan.

fishermens conferenceAhli Lembaga Pengarah NEKMAT, Abdul Hamid Bahari, berkata apabila isu itu timbul, ramai yang menuding jari kepada nelayan sedangkan mereka yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan daripada kalangan nelayan.

"Saya harap segala tohmahan yang dibuat ini ditarik balik kerana kami (nelayan) mempunyai maruah dan perasaan. Saya sedih apabila isu ini timbul," katanya kepada Bernama di Wisma Nelayan di Kuala Kedah hari ini.

Media arus perdana hari ini memetik Datuk Seri Noh Omar berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan bertindak tegas membatalkan pemberian diesel subsidi kepada mana-mana nelayan yang didapati terlibat menyelewengkan bahan bakar itu

Menurut Noh, lesen pengusaha stesen minyak yang membekalkan diesel subsidi kepada nelayan juga akan dibatalkan dan stesen mereka diarahkan ditutup sekiranya dikesan melakukan perbuatan itu.

fishermens nelayan"Ini adalah antara tindakan pentadbiran yang kita lakukan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kerana kita tidak ada kuasa untuk menahan atau menangkap pihak yang terbabit dalam kes penyelewengan ini.

"Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menahan mereka yang terlibat dalam kes penyelewengan itu," kata Noh, lapor Utusan Malaysia.

Ada rekod

Mengulas amaran itu, Abdul Hamid yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah berkata, diesel bersubsidi yang diberikan kerajaan bukan hanya untuk nelayan tetapi sektor lain seperti pengangkutan dan stesen minyak.

"Jika kita lihat semula, kebanyakan yang ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdiri daripada pengusaha stesen minyak dan juga pemandu lori. Jika ada pun nelayan yang terlibat (sebelum 2006), jumlahnya sangat sedikit," katanya.

diesel smugglers in sarawak 071004 petronas stationKatanya, nelayan sukar untuk melakukan penyelewengan kerana mereka perlu menggunakan kad e-diesel untuk membeli diesel.

Abdul Hamid berkata, setiap nelayan mempunyai had diesel tertentu untuk diisi bergantung kepada jenis bot yang digunakan.

"Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai rekod setiap kali nelayan mengisi diesel atau petrol," katanya.

Beliau berkata, bagi Kuala Kedah, sebelum kerajaan melantik NEKMAT sebagai pemborong tunggal minyak diesel bersubsidi untuk sektor perikanan pada 2006, memang terdapat penyelewengan diesel tetapi selepas Nekmat mengambil alih, tidak ada tangkapan yang dibuat.

NONEDi Malaysia terdapat 90,000 anggota PNK dan PNK Kuala Kedah mempunyai 4,500 anggota dan merupakan persatuan yang mempunyai anggota terbesar di negara ini.

Dua hari lalu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, dilaporkan sebagai berkata PNK dikesan menjadi dalang utama dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi kepada nelayan sehingga mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit kepada kerajaan.

Katanya, kegiatan penyelewengan itu berjaya dibongkar hasil risikan sepanjang lima bulan membabitkan 80 anggota serta pegawai SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) empat negeri iaitu Perak, Pahang, Perlis serta Kedah, di mana semua yang ditahan terdiri daripada ejen PNK, pengusaha jeti, "orang tengah" dan pemandu lori.

http://malaysiakini.com/news/149144

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...