Saturday, November 27, 2010

Parlimen selamat tapi dewan persidangan perlu dipindah

Parlimen selamat tapi dewan persidangan perlu dipindah

S Pathmawathy
Nov 24, 10
2:56pm

Bangunan parlimen yang berusia hampir lima dekad perlu menjalani pengubahsuaian struktural yang menyeluruh, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

NONEShaziman yang mengadakan sidang akhbarnya di bumbung bangunan itu berkata parlimen tidak lagi boleh dibaik pulih secara “piecemeal” kerana ia tidak mampu menjamin masalah seperti kebocoran semalam tidak berulang.

"Kementerian Kerja Raya akan membuat cadangan mengenai pengubahsuaian itu kepada Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi," katanya

Shaziman (BN-Tampin) menghabiskan kira-kira 45 minit di bawah bahang matahari untuk meninjau sendiri kebocoran di bumbung ini.

Menurutnya, kebocoran yang berlaku di kafeteria ahli parlimen bersebelahan Dewan Rakyat semalam adalah akibat rekahan di bahagian sambungan bumbung yang sebelum ini melalui beberapa pengubahsuaian.

Beliau juga memberi jaminan bangunan parlimen selamat digunakan, tetapi bagaimanapun memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian secara menyeluruh.

NONEUntuk berbuat demikian, katanya dewan persidangan perlu dipindahkan buat sementara waktu ke dewan serbaguna berdekatan Parlimen dan keputusan itu hanya boleh dibuat oleh Kabinet.

"Setiap kali Parlimen bersidang, Jabatan Kerja Raya akan sentiasa memantau dan melakukan tinjauan terhadap keadaan bangunan Parlimen terutamanya selepas hujan untuk memeriksa sama ada berlakunya sebarang kebocoran," katanya.

Shaziman berkata beliau meletakkan keutamaan tinggi terhadap bangunan Parlimen dengan memastikan keadaan keseluruhan sentiasa dijaga.

Beliau juga mengarahkan JKR supaya melakukan pemeriksaan ke atas bumbung-bumbung Parlimen terutama selepas hujan lebat untuk memastikan tiada kebocoran.

Jurugambar dihalang rakam

Pada sebelah pagi, kakitangan penyelengaraan JKR memeriksa bumbung bangunan parlimen bagi mengesan sumber kebocoran ketika hujan lebat semalam.

NONESekumpulan jurugambar media kemudian bergegas mengikuti petugas berkenaan tetapi kehadiran mereka tidak disenangi oleh pekerja tersebut.

Jurugambar dan wartawan diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan berada di bahagian bumbung parlimen dan tempat mereka dikhususkan di lobi parlimen dan tempat wartawan di Dewan Rakyat.

Mereka yang telah merakamkan gambar diminta memadamkannya di kamera DSLR serta meninggalkan kawasan larangan itu serta-merta.

Bagaimanapun, jurugambar berjaya memulihkan gambar-gambar berkenaan.

NONESemalam, Dewan Rakyat terus dilanda masalah kebocoran dan kali ini air menitis pula di kafeteria ahli parlimen.

Ini berikutan hujan lebat petang semalam sehingga menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja menyedut keluar air.

Selain lantai yang basah, kebocoran tidak menjejaskan perjalanan Dewan Rakyat.

http://malaysiakini.com/news/149044

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...