Nov 24, 10
4:36pm
Katanya, pandangan mengenai 'third force' telahpun giat disuarakan sejak pilihan raya umum 2008, namun beliau masih belum melihat “potensi” kumpulan tersebut seperti yang diuar-uarkan.
"Selalu orang mengaitkan 'third force' dengan apa macam di England, (ada) yang kata Liberal Party. Liberal Party itu wujud sudah beratus tahun dan ia merupakan satu organisasi.... Dan bila meraka bekerjasama, mereka mempunyai 'force' yang tertentu.
"(Jadi) kita belum nampak lagi, 'third force' ini sebagai 'force' dan sebagai 'third' kerana di kalangan mereka banyak pandangan," katanya dalam satu temuramah eksklusif dengan Malaysiakini pada Jumaat lalu.
Syed Husin berpandangan, sekiranya 'third force' itu benar-benar wujud, kumpulan mungkin mengambil peranan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang "memastikan orang yang tidak suka Umno, tidak akan pergi kepada Pakatan".
Spekulasi mengenai kewujudan kumpulan 'third force' ini bertiup kencang susulan timbulnya bantahan mengenai proses pemilihan PKR yang didakwa dijalankan secara tidak telus.
Syed Husin yang juga bekas tahanan ISA itu mengakui bahawa beliau mengetahui "satu dua orang yang berada dibelakang" kumpulan yang didakwa sebagai 'third force' itu.
"Saya tahu lebih kurang. (Tetapi) kini satu persatu daripada mereka berkata mereka tidak terlibat termasuk (Datuk) Zaid (Ibrahim) dan termasuk (pemimpin yang) di Sabah, di semenanjung dan Sarawak," katanya.
'PKR boleh tapis calon sendiri'
Peguam dan penulis blog terkenal Haris Ibrahim – salah seorang yang dikatakan anggota 'third force' tersebut juga telah menafikan dakwaan berkenaan.
Haris sebelum ini berkata, Barisan Rakyat yang dicadangkannya itu hanyalah bertujuan untuk menapis calon Pakatan Rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya.
Namun, menurut Syed Husin perkara itu boleh diusahakan oleh PKR sendiri dan parti itu boleh memutuskan sama ada akan meletakkan calon daripada parti lain untuk bertanding di atas tiketnya.
"Tapi kita buat keputusan, bukan (kerana) orang lain menyatakan, kau mesti terima (calon) ini. Kalaupun seseorang mengatakan berbuat demikian, dia mesti tunjukkan kekuatan dia.
"Mana sokongan dia, mana kekuatan dia.... Seseorang yang berkaitan dengan Barisan Rakyat, saya tak mahu sebut nama, satu ketika nak dekat dengan pilihan raya, dia datang ke pejabat.
"Dia kata, boleh tak letak si anu si anu sebagai calon di Kota Damansara. Bukan (calon) yang sekarang ini. Dia sebut nama orang itu, kebetulan saya tahu orang itu.
"Saya cakap, 'awak tahu tak orang ini?' Dia cakap 'tak tahu sangat'. 'Awak tahu tak dia drunken (kaki mabuk)? Apa tapisannya? Awak datang sini nak berunding nak letak dia. Nak suruh orang lain berundur ketepi.'
"Jadi, kalau ini caranya, maaflah," katanya sambil ketawa.
Kumpulan berkenaan, seperti golongan yang mengemukakan manifesto Barisan Rakyat sebelum ini merupakan organisasi yang "tidak tersusun," kata Syed Husin lagi.
"Tapi tak tahulah sekarang ini. Saya tidak menafikan (kewujudan) sama sekali," katanya yang mengambil sikap tunggu dan lihat dengan perkembangan dan potensi kewujudan kumpulan tersebut.
Masalah pemilihan hanya 'sambungan'
Dalam wawancara yang sama juga, Dr Syed Husin - penulis buku Dua Wajah - turut mengulas mengenai mesyuarat agung tahunan cabang (MATC) dan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menjadi tumpuan umum sejak September lalu.
Tokoh veteran PKR itu berkata bahawa pertandingan sengit merebut jawatan timbalan presiden hanya menimbulkan "sedikit masalah" tetapi tidak dalam membuatkan PKR berpecah.
"Ia jadi sengit sebab ada penarikan diri. Masa mula-mula, apabila seorang calon ke depan, tak ada komplen. Tapi bila timbul keadaan di mana dia terkebelakang, (maka) timbul komplen.
"Tetapi sebenarnya komplen (itu) terhadap parti daripada calon ini, bukan berlaku semasa pemilihan.
"Lama sebelum itu, daripada seorang calon ini, sudah mengadakan interbiu (dengan media), dan sudah ada dalam blog yang memburukkan parti dan mempertikaikan kedudukan pimpinan parti. Jadi, ini hanya sambungan," katanya
Dr Syed Husin tidak menjelaskan identiti "calon itu" tetapi dipercayai merujuk kepada calon jawatan timbalan presiden Datuk Zaid Ibrahim yang menarik diri daripada bertanding ekoran pemilihan yang didakwa tidak memihak kepadanya.
Ekoran itu juga Zaid Ibrahim bertindak keluar parti dan mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baru.
'Siapa makan cili dia terasa pedas'
Mengulas kekecohan yang berlaku semasa MATC di beberapa cabang termasuk di Kapar, Klang, dan Subang, Syed Husin mendakwa ia dilakukan oleh "bukan anggota (PKR) tetapi daripada parti politik yang memusuhi" PKR.
Dr Syed Husin juga mendakwa masalah berkaitan pemilihan PKR diperbesar-besarkan oleh "orang dari dalam" tanpa bukti kukuh, namun beliau enggan mendedahkan identiti individu berkenaan.
"Tapi (individu itu) memang ada. Bukan seorang. Sebelum pemilihan pun sudah ada.... (Jadi) siapa macam cili, dia terasa pedas," katanya sambil ketawa.
Jelasnya, terdapat "sesetengah aduan itu yang remeh sangat" daripada sebanyak 162 aduan, menyebabkan sesetengah aduan tersebut ditolak.
"Cuma ada 12 sahaja (aduan) yang masih dalam kajian. Jadi tuduhan yang menyatakan tiada kajian, tak ada penyelidikan, tidak betul.
"Cuma barangkali kesilapannya ialah tidak diberitahu cepat-cepat tentang keputusan (aduan) itu. Jadi akhirnya apabila berlaku, kita beritahu (keputusan) dan kebanyakkan pihak menerima keputusan itu," katanya.
http://malaysiakini.com/news/149060
No comments:
Post a Comment