Saturday, November 27, 2010

PAC tidak boleh siasat Sime Darby, kata Azmi Khalid

Nov 23, 10 7:25pm

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak layak untuk menyiasat Sime Darby Bhd (Sime Darby) kerana konglomerat itu bukan sebuah jabatan kerajaan.

pac meeting on rmaf engine missing 200110 azmi khalidPengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata Sime Darby adalah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan pemegang saham terbesarnya ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau menjelaskan bahawa PNB dan KWSP bukan ditakrif sebagai jabatan kerajaan kerana sumber kewangannya datang daripada individu-individu yang membuat pelaburan.

"Kalau KWSP, dana-dana yang dikeluarkan adalah yang disimpan oleh penyimpan KWSP dan dana yang digunakan PNB datang dari pelabur-pelabur persendirian," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Berpandukan perkara 77 peraturan mesyuarat Parlimen, PAC boleh memeriksa sebarang kira-kira badan pentadbiran raya dan pertubuhan lain yang menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam Parlimen, katanya.

"Berdasarkan kepada peraturan mesyuarat Parlimen ini, Sime Darby bukanlah satu badan yang layak untuk disiasat oleh PAC," kata Azmi.

azlanPada Mei lalu, Sime Darby mengumumkan kerugian kira-kira RM1.63 bilion berikutan berlakunya lebihan kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.

Akibat kerugian itu, pelbagai pihak menggesa supaya PAC membuat siasatan berhubung kerugian yang dialami oleh syarikat konglomerat itu.

Sementara itu, berikutan Laporan Audit 2009, PAC akan memanggil Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberi penjelasan berhubung Politeknik Muadzam Shah di Pahang yang masih belum siap walaupun pembinaannya telah dimulakana kira-kira 10 tahun lalu, katanya.

PAC juga akan memanggil Kementerian Pertahanan berhubung pembinaan Kompleks 7 Briged Kem Skudai, Johor dan Kementerian Kesihatan mengenai aktiviti rawatan penyakit buah pinggang.

"Minggu depan, PAC akan panggil Pengurusan Pembangunan Pelaburan Antarabangsa Tuna Malaysia yang berada di bawah badan berkanun persekutuan," katanya.

azlanSelain itu, pihaknya telah memanggil beberapa badan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Badan (PTPTN) ini sudah dipanggil sebanyak dua kali termasuk pagi tadi manakala Kementerian Pelajaran pula dipanggil dua bulan lalu mengenai pengurusan rancangan makanan tambahan (RMT) di sekolah-sekolah," katanya.

Azmi berkata PAC akan mengeluarkan laporan siasatan tidak lama lagi dan enggan memberi penjelasan lanjut mengenai agensi yang sudah disiasat.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148978

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...