Thursday, November 18, 2010

NGO Kelantan bantu mangsa banjir di Perlis

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 16 Nov: Kesusahan mangsa banjir di Kedah dan Perlis baru-baru ini turut mendapat simpati Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Kelantan (Ikram) apabila tampil menghulurkan bantuan.

NGO itu berjaya mengutip barangan dan peralatan yang diperlukan mangsa-mangsa banjir bernilai RM7,000 yang dikumpul dalam masa dua minggu.

Ketua Misi Bantuan Bencana Ikram, Hamdan Ariffin, 42 berkata, seramai 26 sukarelawan Ikram bertolak ke Arau, Perlis 11 November lalu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

”Sepanjang berada di sana kami dibantu Ikram Perlis dalam menjalankan misi Cakna Rakyat. Kami menjalankan gotong royong membersihkan rumah-rumah penduduk yang ditenggelami bah,” katanya di sini.

Bantuan yang dibawa Ikram termasuk pelbagai jenis pakaian, lampin pakai buang, makanan serta peralatan pembersihan rumah.

Ikram pertama kali terbabit bagi membantu mangsa-mangsa banjir semenjak pertubuhan itu didaftar Julai lalu.

Hamdan berkata, Ikram amat memahami perasaan mangsa banjir di Perlis dan Kedah kerana situasi serupa pernah dialami rakyat di Kelantan.

Oleh itu beliau berharap mana-mana pihak tampil memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas kenyataan pemimpin tertentu yang memperlihatkan seolah-olah kerajaan Kedah tidak membantu mangsa banjir.

“Media seharusnya memainkan peranan yang adil dalam menyebarkan maklumat dan bukan dipolitik. Banjir tidak hanya terkena kepada penyokong parti politik tertentu sahaja,” katanya.

Hamdan turut mengucap terima kasih di atas sokongan beberapa badan korporat dan ahli perniagaan yang memberi bantuan barangan untuk membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan. Mereka boleh menghubunginya talian 019-5729092.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29493:ngo-kelantan-bantu-mangsa-banjir-di-perlis&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...