Thursday, November 18, 2010

Tidak sorok majlis pertunangan




IMEJ vokalis kumpulan Hujan, Noh, sebagai lelaki nakal, yang kerap bertukar kekasih nampaknya bakal berubah apabila dia sendiri mengumumkan secara rasmi telah menjadi tunangan kepada Mizz Nina yang juga seorang penyanyi pada 6 November lalu.

Majlis yang berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga Nina di Ampang, Kuala Lumpur itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Disoal mengapa menyembunyikan majlis pertunangan mereka, Nina menjawab: “Sebenarnya kami tidak ada sebarang benda yang ingin disorokkan cuma, kami menghormati permintaan kedua ibu bapa kami yang mahukan sebuah majlis kecil, sederhana serta diadakan penuh dengan privasi.

“Sebagai anak kami mahukan mereka gembira dan menuruti permintaan mereka. Dalam majlis pertunangan itu, lebih 50 keluarga terdekat yang hadir termasuk ibu bapa serta keluarga Noh yang datang dari Miri, Sarawak.”

Nina yang ditemui pada sidang akhbar khas di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur semalam juga memberitahu, majlis pertunangan diadakan sedikit tergesa-gesa kerana kedua-dua ibu bapa mereka mempunyai jadual yang agak padat

“Selepas majlis pertunangan ibu Noh pergi mengerjakan haji dan bapa saya pula pergi ke Jepun atas urusan kerja. Sebab itulah kami mengadakan majlis pertunangan dalam keadaan kecil dan privasi,” ujar Nina yang secara terbuka meminta maaf kerana menyembunyikan pertunangan mereka.

Tidak mahu bertunang dalam tempoh yang lama, mereka menetapkan 1 Julai tahun depan sebagai tarikh pernikahan sempena dengan tarikh hari lahir Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman.




Majlis tersebut akan berlangsung di kediaman keluarga Nina dan secara tertutup tanpa kehadiran pihak media.

Tarikh 1 Julai 2011 dipilih sebagai tarikh pengikat kasih antara Nina dan Noh kerana tarikh tersebut dirasakan sesuai, memandangkan kini kedua-dua mereka sibuk dengan album baru.

“Kalau diikutkan, kami mahu bernikah dalam tahun ini juga tetapi jadual pula tidak mengizinkan.

“Hujan akan muncul dengan album baru hujung bulan ini, begitu juga dengan saya yang akan keluar dengan album baru tahun hadapan,” ucap Nina yang akan mengadakan dua majlis resepsi selepas majlis pernikahan itu.

Bakal bernikah dengan anak Tan Sri Azman Hashim iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad memberi sedikit tekanan kepada Noh. Dia mengakui agak gugup saat pertama kali bersua dengan bakal bapa mertuanya itu.

“Sebelum bertunang, saya ada berjumpa bapa Nina pada hari raya kelima juga di Restoran Seri Melayu, mulanya memanglah berdebar-debar. Tetapi selepas berjumpa, dia buat saya rasa selesa, jurang yang saya sangka besar antara kami dihapuskan begitu sahaja.

“Kami mempunyai fikiran yang sama dan dia menghormati kerjaya saya sebagai seorang pemuzik, alhamdulillah keluarga Nina menerima saya seadanya,” luah Noh penuh serius.

Bibit-bibit cinta

Saat diminta mengimbas semula bagaimana perkenalan antara mereka boleh berlaku, Noh mahupun Nina hanya ketawa besar dan mengatakan mereka berdua tidak menyangka hubungan yang bermula sekitar Disember tahun lalu bakal berakhir dengan sebuah pernikahan.

Lagu Kurnia duet mereka berdua, merupakan bukti cinta mereka yang mula mekar ketika itu.

“Saya kenal Noh sejak tahun 2007 tetapi kenal macam itu sahaja dan mula rapat sekitar Disember tahun lalu ketika bekerjasama dengannya menerusi lagu Kurnia.




“Kemudian pada Januari pula, hubungan kami mula serius. Tidak sangka selepas selesai rakaman, saya boleh jatuh cinta dengannya,” tutur Nina.

Noh pula membalas: “Sebenarnya kami mula serius selepas selesai rakaman lagu Kurnia dan memang tidak sangka hubungan kami boleh pergi sejauh ini. Rakaman lagu Kurnia yang merapatkan kami berdua.”

Sambung Noh lagi, sikap Nina yang tenang dan memahami dirinya merupakan faktor utama mengapa wanita itu disunting sebagai suri hidupnya.

“Susah sebenarnya mahu mencari orang yang benar-benar faham diri dan kerjaya saya, mungkin kerana dia turut berada dalam bidang yang sama menyebabkan dia mudah memahami saya.

“Saya memang jenis bising begitu juga dengan Nina tetapi dia lebih tenang dan faham tentang perangai baran saya. Paling penting dia menghormati kedua-dua ibu bapa saya,” kata Noh.

Nina yang tersipu malu di sebelah Noh pula tertarik dengan sikap gila-gila dan rendah diri yang dibawa Noh.

“Noh menjadi dirinya tidak kira ke mana dia pergi dan sentiasa jujur dengan saya. Dia boleh jadi romantik bergantung kepada mood dia ketika itu dan boleh menjadi garang pada satu-satu waktu,” jelas Nina mengenai tunangnya itu.

Bercakap tentang lamaran, ujar Nohlagi lamaran kepada Nina terjadi dengan sendirinya tanpa perlu melakukan aksi romantik seperti di dalam filem.

“Tidak ada adegan melutut, semunya berlaku secara semula jadi kerana, sejak kami mula serius, kami ada berbincang mengenai perkahwinan. Pada majlis Anugerah Juara Lagu awal tahun ini, saya telah membawa Nina berjumpa dengan ibu bapa saya.

“Boleh dikatakan itulah masanya saya melamar dia. Menerusi perbincangan yang betul akhirnya kami memilih bulan Julai sebagai tarikh untuk bernikah,” cerita Noh lagi mengenai rentetan percintaan mereka.

Status suami isteri


GAMBAR atas, kenangan bersama keluarga pihak perempuan manakala gambar bawah, bersama keluarga pihak lelaki ketika majlis pertunangan berlangsung.


Walaupun baru memulakan persiapan perkahwinan, namun kedua-dua mereka sedar akan tanggungjawab yang bakal dipikul kelak.

Banyak mengubah diri demi melengkapi Nina, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh kini lebih matang, berbeza dengan awal kemunculannya dalam dunia seni.

Meskipun mengenali hati budi Nina dalam masa tidak sampai setahun, Noh yang kini berusia 26 tahun yakin bahawa pelantun lagu What You Waiting For merupakan wanita yang dicari-carinya selama ini.

“Walaupun perkenalan dan percintaan kami agak singkat saya percaya dia (Nina) adalah untuk saya. Saya juga percaya lepas berkahwin kami masih dalam proses mengenali diri dan hati masing-masing.

“Bagi saya apa yang penting adalah toleransi kepada pasangan, selain tahu tanggungjawab masing-masing. Kalau dia boleh berubah untuk saya, mengapa saya tidak boleh berubah untuk dia,” kata Noh yang mengakui Nina banyak terlibat dalam perubahan diri dan perangainya.

Nina yang duduk di sebelah Noh mencelah: “Sebagai wanita yang bakal bergelar isteri, saya banyak bertanya kepada ibu, kakak dan mak cik tentang tanggungjawab dan peranan isteri dalam sebuah rumah tangga.

“Sekarang ini saya masih dalam proses mempelajari masakan makanan kegemaran Noh iaitu Laksa Sarawak.”

Mengenai kerjaya pula Noh tidak melihat perkahwinan akan menjatuhkan populariti kumpulan Hujan.

Dia juga tidak pernah menghalang bakal isterinya itu untuk terus terlibat dalam dunia hiburan tetapi dengan syarat, Nina tidak boleh lagi berpakaian seksi.

“Saya sentiasa sokong apa sahaja yang dilakukan Nina termasuk teruskan kerjaya nyanyian. Adanya saya adalah untuk menjadikan dia seorang yang lebih baik begitu juga sebaliknya.

“Ramai yang tanya kenapa muda sangat nak kahwin sedangkan Hujan tengah popular, jawapan saya senang sahaja, ada juga orang kata rezeki lepas kahwin lebih banyak, jadi kita kena fikir positif,” tutur Noh.

Nina yang kini berusia 30 tahun menjelaskan, dia tidak akan membiarkan kerjayanya mengawal kehidupan peribadinya,

“Saya tetap akan terus keluarkan album, tentang kahwin kita kena ikut hati,” ucapnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...