Thursday, November 18, 2010

SPR: Penempatan tentera tingkatkan pengundi pos

Salhan K Ahmad
Nov 16, 10
2:46pm

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, penambahan pengundi pos di satu-satu kawasan mungkin melibatkan beberapa faktor, termasuk program penempatan tentera bagi suatu tempoh tertentu.

Ia juga mungkin melibatkan pembinaan kem tentera atau balai polis baru serta tindakan pasangan kepada anggota keselamatan berkenaan untuk turut sama mengundi pos, katanya lagi.

"Mungkin ia melibatkan penempatan sementara di satu-satu kem itu untuk tugas-tugas khas seperti kawalan sempadan, melibatkan tempoh setahun atau dua tahun.

"Selain daripada itu, saya tidak fikir ada sebab lain berlakunya pertambahan pengundi pos," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan daripada PAS Pulau Pinang semalam yang curiga dengan penambahan jumlah pengundi pos di beberapa kawasan negeri itu melalui beberapa kes yang penukaran status pengundi yang dikesan.

PAS Pulau Pinang khuatir penambahan sebenyak 630 orang seperti yang dikesan di kawasan parlimen Tasek Gelugor itu akan digunakan BN untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 yang dijangka berlangsung tahun depan.

Perkembangan itu dicurigai kerana pengundi pos berkenaan sebelum ini telahpun mengundi sebagai pengundi awam, namun kini didakwa telah hilang kelayakan tersebut.

"Kalau benar seperti yang PAS Pulau Pinang dakwa itu (peningkatan jumlah pengundi pos), ia mungkin melibatkan peningkatan jumlah pasangan anggota keselamatan yang memohon menjadi pengundi pos.

"Tapi di kawasan itu saya tidak tahu berapa jumlah dia. Saya kena semak dengan pengawai saya di Pulau Pinang," kata Wan Ahmad lagi.

Ditanya lanjut, beliau menjelaskan bahawa peningkatan atau pengurangan jumlah pengundi pos di seluruh negara biasanya tidak akan melebihi jumlah seramai 200,000 orang pada satu-satu masa.

"Sebab ada yang akan bersara tapi kemudian ada pula kemasukan baru," katanya yang menegaskan bahawa permohonan untuk menjadi pengundi pos tidak boleh dilakukan tanpa kehadiran pengundi itu sendiri.

"Di bawah undang-undang (pasangan berkenaan) boleh memohon untuk menjadi pengundi pos seperti suami (atau isteri) dia.

"Kita melantik pegawai yang mewakili SPR (untuk mendaftar). Tapi pengundi berkenaan perlu hadir sendiri dan mereka kena tandatangan Borang B untuk untuk memohon sebagai pengundi pos," katanya lagi.

Sementara itu, satu laporan hari ini menyebut, seramai 10,000 orang anggota PGA akan ditempatkan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor sebagai sokongan kepada fungsi kawalan keselamatan dalam negeri oleh pasukan polis.

Langkah itu melibatkan pengambil alihan kawalan persempadanan negara oleh Angkatan Tentera Malaysia yang sebelum ini dikawal oleh PGA melalui perjanjian selama enam bulan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...