Thursday, November 18, 2010

PM: Pandangan Anwar 'suara sumbang minoriti'

Nov 17, 10 3:44pm

Datuk Seri Najib Razak berkata pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Malaysia adalah satu suara sumbang yang tidak mencerminkan pendapat pemimpin-pemimpin dunia.

Perdana Menteri berkata pandangan ketua pembangkang itu merupakan "satu suara sahaja tetapi suara yang minoriti".

"Pemimpin-pemimpin dunia mengiktiraf kejayaan kita... bererti bahawa dia (Anwar) merupakan suara sumbang sebenarnya.

"Dan (pandangan Anwar) tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia terhadap Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang video bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di enam buah negara, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar, yang mendakwa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia Julia Gillard supaya memberi tekanan kepada kerajaan BN atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.

Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia dua hari lalu, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.

Tak perlu raikan 13 Mei

Mengenai cadangan sesetengah pihak berhubung kolum Cuit Utusan Malaysia baru-baru ini, yangmencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan, Najib berkata tidak perlu untuk menjadikan peristiwa itu sebagai hari yang perlu diperingati.

"Tidak perlu sebab 13 Mei ini kita jadikan satu peristiwa dalam lipatan sejarah sebagai iktibar, sebagai sempadan untuk kita supaya ia tidak berulang," katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini, mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan peristiwa hitam 13 Mei sebagai hari yang diperingati.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan belum lagi menerima cadangan atau memikirkan soal itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148453

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...