Monday, November 29, 2010

Pembantu: Samy 'masuk' jika ada perebutan kuasa

Nov 28, 10 11:56am

Sungguhpun Datuk Seri S Samy Vellu enggan menerima jawatan penasihat parti selepas menyerahkan jawatan presiden kepada timbalannya, Datuk G Palanivel, tetapi dipercayai beliau akan memantau dengan rapat keadaan dalam MIC, kata pembantunya, lapor Bernama.

Cadangan supaya Samy Vellu menjadi penasihat MIC selepas melepaskan jawatan presiden dibuat oleh sesetengah pemimpin parti itu.

Menurut pembantunya, Samy Vellu akan “masuk” sekiranya ada perebutan kuasa atau sebarang percubaan untuk menggugat kestabilan parti itu yang Samy Vellu bina sejak mengambil alih pucuk pimpinan pada 1979 daripada mendiang Tan Sri V Manickavasagam.

“Samy Vellu masih lagi dihormati dan disokong oleh ramai pengerusi cawangan dan bahagian MIC, dan pada pemilihan parti 2012, beliau masih boleh menggunakan kuasanya,” kata pembantunya itu.

Sementara itu, akan memberi pesanan terakhirnya sebagai presiden MIC supaya dikekalkan perpaduan dan kestabilan parti di mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu 6 Disember ini.

Dalam ditemuramah oleh stesen radio RTM, Minnal FM Tamil hari ini, Samy Vellu berkata, beliau akan menekankan perlunya parti itu mengekalkan satu kepimpinan berkesan dan memelihara perpaduan bagi memastikan survival MIC.

“Saya mahu mereka (anggota CWC) untuk mengekalkan satu hubungan kerja yang kuat agar parti itu boleh berfungsi secara berkesan,” kata Samy Vellu yang dijangka menyerahkan kepimpinan parti Palanivel tidak lama lagi selepas mesyuarat CWC 6 Disember ini.

Samy Vellu yang sebelum ini mengumumkan beliau akan mempengerusikan mesyuarat CWC kali terakhir pada 6 Disember, juga berkata beliau akan menggesa semua anggota parti memberikan sokongan sepenuhnya kepada Palanivel untuk memimpin parti tersebut.

Bekas Menteri Kerja Raya itu menyifatkan Palanivel, bekas setiausaha akhbarnya sebagai seorang yang dedikasi dan kuat agama.

"Beliau mungkin tidak sekuat seperti saya memimpin parti, tetapi ada kalanya beliau boleh kuat. Saya percaya beliau boleh menjalankan tugas itu (memimpin parti), dan saya mahu semua anggota memberikan sokongan penuh mereka kepada beliau," katanya.

Samy Vellu berkata perpaduan hendaklah dikekalkan oleh semua pihak dalam parti untuk memastikan MIC terus mewakili masyarakat India untuk memberikan undi kaum India kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

“Adalah penting bahawa MIC kekal kuat, gigih dan berkesan untuk terus berjuang bagi hak-hak masyarakat itu. Ini hanya boleh berlaku jika ada
kepimpinan yang berkesan dan stabil,” katanya.

Pemerhati berkata kenyataan Samy Vellu boleh dianggap sebagai memberikan ingatan kepada pemimpin pemimpin agar tidak terbabit dengan perebutan kuasa khasnya menjelang pemilihan MIC pada 2012.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/149380

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...