Monday, November 29, 2010

Pembeli Sri Hijauan buat laporan polis

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Nov: Kira-kira 50 pembeli apartmen Sri Hijauan, Ukay Perdana membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati hari ini ekoran kegagalan pemaju menyiapkan rumah selepas tujuh tahun berlalu.

Mereka membuat laporan itu selepas berkumpul beramai-ramai di kawasan apartmen itu mulai jam 10 pagi tadi.

Kira-kira jam 11 pagi polis datang dan menasihatkan mereka agar membuat laporan polis untuk membolehkan mereka membantu.

Ketua Balai Polis Taman Melawati, Cif Inspektor Muhamad Ruslin kemudiannya berjanji kepada mereka untuk menyiasat dan mempertemukan pembeli dengan pihak pemaju.

Mereka telah membeli apartmen berkenaan pada tahun 2003 dari Talam Corporation dan sepatutnya boleh diduduki tiga tahun kemudian selepas perjanjian jual beli ditandatangani iaitu dijadual siap pada tahun 2006.

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, pembeli rumah terbabit bercadang untuk memasuki rumah mereka pada 28 November.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berjanji akan mengkaji isu dan mula Disember ini selepas menyelesaikan beberapa kes projek terbengkalai di Selangor.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya telah meminta pemaju menyambung perbentungan ke pusat pemerosesan air kumbahan berpusat kerana sambungan sekarang dibuat ke pusat pemerosesan sementara yang telah penuh.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29603:pembeli-sri-hijauan-buat-laporan-polis&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...