Monday, November 29, 2010

Tipu OKU, warga emas

Oleh Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my

BATU PAHAT: Sekumpulan lelaki menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum bertemu dengan penerima wang bantuan bulanan terdiri daripada warga emas serta orang kurang upaya (OKU) dan menyatakan wang diterima golongan itu adalah palsu.

Kumpulan terbabit kemudian meminta mangsa memulangkan wang berkenaan kononnya untuk ditukar kepada wang tulen sebelum melarikan diri.


Pegawai JKM Daerah, R Chitarthany berkata, kumpulan terdiri daripada empat hingga lima lelaki berusia 20-an hingga 40-an memaklumkan kepada mangsa, pegawai JKM tersilap memberi wang palsu kepada mereka.

“Kumpulan terbabit akan pergi ke rumah mangsa sebelum memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM dan meminta mangsa menunjukkan kad penerima bantuan.


“Mereka kemudian mengatakan pegawai JKM tersilap memberi wang palsu sebelum bersungguh-sungguh mahu menukar kepada yang tulen,” katanya di Kampung Parit Guntong di sini, semalam. Menurut Chitarthany, sejurus menerima wang berkenaan, kumpulan terbabit terus melarikan diri dan pihaknya sudah mengesan beberapa kes seperti itu di Ayer Hitam dan Parit Raja.


Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis untuk mengesan kumpulan terbabit dan berharap penerima bantuan JKM tidak terpedaya apabila dihampiri individu menggunakan taktik berkenaan.

“Kumpulan terbabit sanggup mengambil kesempatan terhadap kesusahan hidup warga emas, OKU serta ibu tunggal semata-mata mahu mendapatkan wang mudah.


“Kami harap kegiatan mereka dapat ditumpaskan segera kerana jika dibiarkan, lebih ramai akan menjadi mangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chitarthany menolak dakwaan beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang melaporkan pasangan OKU, Ahmad Masri, 71, dan Senah Agil, 70, yang tinggal di Kampung Parit Guntong, Mukim Satu Lubok, Semerah di sini, tidak mendapat pembelaan sewajarnya dalam kejadian anjung dan bumbung rumah dihempap pokok dalam ribut, bulan lalu. “Kiriman SMS itu tidak berasas dan berbentuk fitnah kerana JKM tidak pernah mengabaikan pasangan berkenaan malah bantuan bencana kini sedang diproses.


“Bantuan bencana alam itu akan diserahkan kepada pasangan berkenaan selepas ia diluluskan,” katanya.


Menurut beliau, Ahmad menerima bantuan bulanan RM300 daripada JKM sejak 10 tahun lalu dan pihaknya sedang memproses bantuan bantuan untuk diberikan kepada Senah, yang juga seorang OKU, sebanyak RM150 sebulan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TipuOKU_wargaemas/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...