Monday, November 29, 2010

Subsidi gula diteruskan untuk pastikan liberalisasi harga dilaksa berperingkat

KUALA LUMPUR -- Kerajaan akan meneruskan subsidi gula pada tahun depan bagi memastikan rakyat tidak terbeban selain memastikan proses
ke arah liberalisasi harga dapat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata tindakan penamatan program subsidi akan menjejaskan kredibiliti kerajaan terutamanya di kalangan rakyat yang telah menikmati faedah besar daripada subsidi itu.

"Kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan terpelihara akibat kesan kenaikan harga terutama barang keperluan semasa.

"Oleh itu kerajaan masih meneruskan subsidi bagi gula dan tepung gandum demi memastikan harga barangan akhir tidak meningkat secara mendadak," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 (Bajet 2011) di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Dalam pada itu Tan berkata, kementerian bercadang untuk melanjutkan kontrak 2,000 orang Pegawai Pemantau Harga bagi tempoh tiga tahun bagi memantapkan lagi tugas-tugas pemantauan harga.

Katanya kementerian itu turut mengkaji cadangan untuk menyerapkan
sebahagian pemantau tersebut ke jawatan tetap.

Ketika ini terdapat seramai 1,600 orang Pegawai Pemantau Harga di bawah
Majlis Harga Barang Negara (MHBN) selain 1,922 orang pegawai penguatkuasa di seluruh negara.

Selain itu Tan berkata empat entiti perniagaan melibatkan sembilan individu telah dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menganjurkan aktiviti"kutu" sehingga bulan lepas.

"Dari aspek pencegahan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengambil inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang awam mengenai skim-skim pelaburan itu yang berleluasa melalui kempen selain maklumat melalui siaran media massa," katanya.

Larangan terhadap perniagaan yang mempromosikan dana kutu dan aktiviti
penganjurn wang kutu adalah tertakluk mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Tan berkata kesedaran orang ramai terhadap skim "kutu" yang cuba
memperdayakan orang ramai juga semakin meningkat berdasarkan kepada banyak maklum balas yang diterima SSM bagi mendapatkan pengesahan mengenai skim tertentu anjuran pelbagi perniagaan dan syarikat.

Justeru, kementerian meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan aktiviti sedemikian yang bermotifkan penipuan serta mengaburi mata peserta dengan janji-janji kosong perolehan keuntungan berlipat kali ganda.

Orang ramai juga dimohon untuk membantu kementerian untuk memberi maklumat lengkap berhubung aktiviti mencurigakan yang dijalankan mana-mana pihak agar tindakan awal dapat diambil bagi membendung aktiviti seumpamanya. -- BERNAMA

http://www.sinarharian.com.my/bterkini/7557.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...