PARIS - Syarikat Continental Airlines menyifatkan keputusan sebuah mahkamah Perancis mendendanya berhubung nahas pesawat Concorde pada tahun 2000 yang mengorbankan 113 orang sebagai 'tidak munasabah' dan mengesahkan ia akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut.
Kelmarin, sebuah mahkamah di mahkamah di Paris memutuskan bahawa syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), Continental Airlines dan seorang mekaniknya didapati bersalah membunuh 113 orang dalam nahas pesawat supersonik Concorde yang terhempas di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di sini.
Pesawat Concorde milik Air France itu yang menuju ke New York itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle pada 25 Julai 2000 mengorbankan 109 orang yang menaikinya, kebanyakannya warga Jerman dan empat orang di darat.
Mahkamah di bandar Ponoise di sini mengarahkan syarikat penerbangan Continental membayar denda AS$265,000 (RM833,716) manakala mekaniknya, John Taylor didenda sebanyak AS$2,650 (RM8,335) serta hukuman penjara 15 bulan yang pelaksanaannya ditangguhkan.
"Kami amat tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah berhubung Continental Airlines dan John Taylor dan tentunya akan merayu terhadap keputusan yang tidak munasabah ini," kata kenyataan seorang jurucakap syarikat penerbangan berkenaan.
Taylor didapati silap memasang sekeping logam titanium yang tercabut dari sebuah pesawat DC-10 milik syarikat penerbangan itu yang berlepas sebelum Concorde.
Kepingan logam itu dilanggar tayar Concorde menyebabkannya pecah manakala serpihannya mengenai tangki minyaknya menyebabkannya terbakar.
Mahkamah sama memerintahkan Continental Airlines yang kini dikenali sebagai United Continental Holdings selepas satu penggabungan dan kumpulan EADS yang memiliki kilang Concorde, membahagikan pembayaran ganti rugi kepada saudara mara mangsa nahas tersebut dengan nisbah 70-30.
Nahas udara itu menyebabkan perkhidmatan pesawat supersonik tersebut yang boleh terbang selaju 2,160 kilometer sejam, ditamatkan pada 2003. - Agensi
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm
No comments:
Post a Comment