KUALA LUMPUR: “Saya reda dengan segala tuduhannya, saya bukan manusia yang sempurna dan pasti melakukan kesilapan, namun saya sedih kerana ada tuduhan yang keterlaluan dan tidak benar sama sekali,” kata seorang bekas anggota kumpulan rock terkenal era 90-an yang didakwa menyebabkan hidup seorang wanita sengsara sejak empat tahun perkenalan mereka.
Pemain gitar berusia 38 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata, dia tidak mahu mengiyakan atau menafikan semua tuduhan itu kerana tidak mahu memanjangkan perkara terbabit.
“Ada (tuduhan) yang benar dan ada juga yang salah sama sekali, tetapi biarlah selagi dia rasa dengan berbuat demikian dia mampu meluahkan kemarahan dan ketidakpuasan hati.
“Saya percaya ada hikmah di sebalik perkara ini, Tuhan itu maha adil dan setiap orang ada bahagiannya. Jika saya menjawab tuduhan hari ini, mungkin esok dia akan membalas pula dengan kenyataan lain, sampai bila perkara ini akan berakhir,” katanya yang dihubungi semalam.
Dia turut mengakui sedih dengan kenyataan wanita itu yang mendakwa mereka berkawan kerana menerusi hubungan itu dia mendapat pekerjaan.
“Dalam kenyataannya, dia berkata sayang dan cintakan saya, tetapi kenapa sampai begitu sekali menuduh saya. Kalau ada orang mahu memberi pekerjaan memang saya terima kerana itu rezeki saya dan tuduhan itu membuatkan saya amat terkilan,” katanya.
Mengenai dakwaan dia mengambil barangan rumah wanita itu, pemain gitar berkenaan berkata, dia hanya menolong menyimpan barangan itu sementara wanita itu mendapat kuarters kediaman tahun depan.
“Dia keluar dari rumah dan menumpang di kediaman rakan. Kami sudah berbincang dan saya bersedia menyimpan buat sementara waktu kerana rumah kawannya itu tidak ada ruang,” katanya. Sementara itu, wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 30-an, berkata dia membuat laporan polis bukan sebab menuduh pemain gitar itu melarikan barang rumahnya sebaliknya risaukan keadaan barangan itu.
“Buat masa sekarang, saya hanya mahu memulakan hidup baru. Saya juga memintanya memaklumkan saya sehari awal sebelum menghantar semua barang itu,” katanya yang dihubungi semalam.
Harian Metro semalam melaporkan seorang penggiat industri hiburan yang hanya mahu dikenali sebagai Mas mendakwa hidup sengsara selepas bercinta dengan seorang bekas anggota kumpulan rock terkenal itu kerana dipukul dan wangnya dikikis. Mas mendakwa pemain gitar itu berbaik dengannya kerana dia banyak membantu mengadakan persembahan selain menyara hidup lelaki itu.
Dia juga mendakwa, baru-baru ini, lelaki itu melarikan semua barang miliknya yang ditempatkan di rumah sewanya di Bukit Jalil, di sini, selepas membenarkan kekasihnya itu menumpang sementara waktu di situ. Menurutnya, dia tidak tinggal di rumah sewa itu dan hanya menempatkan semua barangan sementara menunggu kuarters.
“Selepas saya memperoleh kuarters baru-baru ini, dia menghubungi saya menawarkan diri mahu membantu memindahkan barang, tetapi barangan rumah seperti set televisyen, sofa, meja makan, almari, peti ais dan mesin basuh tidak sampai kepada saya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tuduhanketerlaluan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment