Thursday, December 9, 2010

Jerat cinta lelaki Pakistan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja ditipu puluhan ribu ringgit, malah sudah terlanjur dengan lelaki warga asing dari Pakistan yang kononnya mahu berkahwin dan memberikan kesenangan kepadanya.

Semuanya bermula melalui perkenalan di sebuah laman sosial Julai tahun lalu sebelum dia jatuh cinta selepas dijanjikan kemewahan luar biasa kepadanya.


Perkenalan dengan lelaki dikenali dengan nama Malik, 24, pada mulanya hanya atas dasar kawan sebelum lelaki itu cuba memikat wanita berusia 26 tahun itu bagi membantunya dalam perniagaan yang kononnya bakal mendapat keuntungan luar biasa.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, ketika dihubungi berkata, dia kenal lelaki berkenaan yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara manakala dia ketika itu sudah bekerja di sebuah syarikat petroleum.


Katanya, selepas beberapa lama berkenalan, lelaki itu mula menceritakan perniagaan dan pelaburan yang kononnya menjamin keuntungan berlipat ganda dan mahu dia membantunya. “Dia mula meminta saya membantunya dalam perniagaan dan memperkenalkan saya dengan tiga lagi rakan serta saudaranya yang juga pelajar dan masuk ke negara ini menggunakan pas pelajar.


“Mereka meminta saya membuka sebuah syarikat perniagaan menggunakan nama saya dan dijanjikan kedudukan pengarah di syarikat berkenaan,” katanya.

Dalam tempoh setahun itu Malik menggunakan hampir RM11,000 wang Ida dan berjanji membayarnya, namun janji hanya tinggal janji.


Menurutnya, dia mula sedar ditipu pada Oktober lalu apabila lelaki itu gagal dihubungi.

Katanya, syarikat yang didaftarkan atas namanya itu juga tidak beroperasi dan percaya lelaki itu hanya mahu menggunakannya bagi mendapatkan wang serta membuka syarikat berkenaan.


“Saya juga memberi kereta Proton Persona milik saya kepadanya konon untuk kegunaan perniagaan kami, namun dia menggunakannya bagi disewakan kepada pelanggan untuk mendapatkan wang poket.


“Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia mula menjauhkan diri dan keluar dari rumah yang kami tinggal bersama di Kondominium Villa Putra di sini,” katanya.


Ida berkata, mereka tinggal bersama sejak pertengahan tahun lalu dan terlanjur akibat pujuk rayu mahu menjadikan dirinya isteri dalam masa terdekat, namun selepas bertanyakan perkara berkenaan, lelaki itu mula memberi alasan tidak munasabah.


Katanya, ia lebih buruk apabila mendapat tahu seorang gadis tempatan yang juga teman wanita rakan lelaki itu yang dikenali dengan nama Waheed Abas juga sudah mengandung akibat termakan janji manis rakannya itu dan terpaksa menggugurkan kandungannya.


Ida berkata, dia mengambil tindakan membuat laporan polis kerana bimbang ramai lagi gadis tempatan menjadi mangsa lelaki berkenaan mendapatkan wang dan memuaskan nafsu mereka.


Menurutnya, dia membuat dua laporan polis pada Oktober dan bulan lalu berkenaan penipuan empat lelaki warga asing berkenaan dan mahu polis mengambil tindakan sewajarnya sebelum lebih ramai wanita lain terjebak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JeratcintalelakiPakistan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...