Thursday, December 9, 2010

Hubungan sulit punca pembantu rumah disyaki bunuh majikan

PASIR MAS: Kes membabitkan pembantu rumah Indonesia yang disyaki membunuh majikannya, Yeap Siok Pen, 60, di Kampung Lubuk Tapah dekat sini semalam, dipercayai berpunca daripada hubungan sulit antara pembantu rumah itu dan suami mangsa, kata polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Mazlan Lazim berkata siasatan awal mendapati pembantu rumah berumur 21 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan suami mangsa yang berumur 64 tahun, dan ini menyebabkan berlaku pergaduhan antara mangsa dan pembantu rumah itu.

"Mangsa juga dikatakan cemburu dengan layanan suaminya terhadap suspek yang dikatakan malas bekerja tetapi suami mangsa tetap memberi layanan yang baik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan berkata ketika pergaduhan itu, suspek yang tidak tahan dengan sikap Yeap, mengambil sebilah pisau lalu menikamnya bertubi-tubi di bahagian muka.

Melihat mangsa berlumuran darah, pembantu rumah itu melarikan diri.


Kejadian itu disedari oleh anak lelaki Yeap, Lee Che Keong, 30, yang pulang ke rumah pada 2 petang semalam.

"Siasatan mendapati, mangsa yang sebelum ini menghidap Parkinson, meninggal dunia akibat kecederaan parah di muka," katanya.

Suspek yang berjaya ditahan polis semalam, dikenakan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Mazlan berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/Hubungansulitpuncapembanturumahdisyakibunuhmajikan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...