MASJID TANAH: Sekilas pandang, orang ramai mungkin menyangka dia tidak siuman dengan gaya berjalan dan reaksinya yang sering mundar-mandir sekitar kawasan pekan ini, namun bagi yang mengenali lelaki itu, dia tidak mendatangkan masalah.
Perjalanan hidupnya penuh kecelaruan kesan pengambilan dadah berlebihan sejak berusia belasan tahun hingga kehidupan berkeluarga juga musnah.
Menurut lelaki yang hanya dikenali sebagai Hazrul, 41, dia sebenarnya mengalami sakit urat saraf hingga peluh sentiasa mengalir di badannya tanpa henti.
Hazrul mendakwa dia sebelum ini seorang kontraktor berjaya dan hidup mewah dengan limpahan wang ringgit bersama bekas isteri dan dua anak perempuan tetapi kini hanya tinggal kenangan selepas bekas isteri nekad meninggalkannya.
“Saya kehilangan 25 tahun daripada usia remaja kerana mula menghisap ganja pada usia 14 tahun sebelum berlarutan hingga menamatkan alam persekolahan. Apabila mula bekerja sendiri sebagai kontraktor, saya beralih kepada heroin pula.
“Ketika itu, saya belum berkahwin dan hidup mewah menyebabkan dalam sehari membelanjakan hampir RM300 semata-mata untuk membeli dadah manakala selepas berkahwin dengan bekas isteri tabiat itu sukar dihapuskan.
“Sepanjang menagih belum pernah saya mencuri atau memecah masuk rumah orang semata-mata untuk membeli dadah kerana wang bukan masalah, yang penting dadah perlu sentiasa ada,” katanya ketika ditemui.
Dia yang pernah dipenjara selama 10 tahun di Penjara Kajang, Selangor kerana kesalahan memiliki heroin mendakwa tidak mampu bekerja sendiri tanpa menghisap dadah terlebih dulu.
“Selepas puluhan tahun bergelumang dengan najis dadah, saya ditimpa sakit yang teruk tetapi doktor mengatakan ia bukan jangkitan HIV tetapi penyakit saraf otak hingga tidak mampu bekerja beberapa bulan sebelum membuat keputusan berhenti menagih dadah.
“Ketika menderita sakit apabila badan sentiasa berpeluh, bekas isteri memohon cerai dengan alasan saya sudah tidak mampu memberi nafkah kepadanya dan dua anak selama enam bulan tetapi saya tidak mahu kerana masih menyayanginya.
“Akhirnya, saya akur selepas mahkamah memutuskan kami bercerai dan saya turut disisih keluarga serta dihalau keluar dari rumah dan merempat menumpang tidur di mana-mana surau sebagai tempat berteduh dan sejak itu hidup menjadi tidak menentu,” katanya.
Hazrul berkata, dia tidak malu mendedahkan pengalaman hidupnya kerana mahu menjadi pengajaran kepada orang lain terutama mereka yang terjebak supaya menghentikan tabiat sia-sia itu.
“Disebabkan dadah saya hampir menemui ajal kerana mengambil dadah berlebihan. Mujur usia masih panjang biarpun kini tidak secergas dulu tetapi berpeluang untuk mengecapi kehidupan sendirian.
“Ini kesudahan hidup saya yang dulu hidup mewah, Apa saja boleh diperoleh tetapi kini hendak bernafas pun susah hingga terpaksa merempat,” katanya dengan nada menyesal ketika ditemui, semalam.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keranadadahtiadanoktah/Article/index_html
No comments:
Post a Comment