Thursday, December 9, 2010

Zambry bentang bajet tambah hutang

Harakahdaily

IPOH, 9 Dis: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mahu Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan kepada rakyat bagaimana perbelanjaan negeri diuruskan sehingga gagal meminima bahkan akan menambahkan hutang negeri yang sedia ada.

Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali dalam satu kenyataan berkata, sehingga hari ini Zambry gagal meyakinkan rakyat berhubung keupayaan kerajaan negeri untuk mempertahankan simpanan tetap negeri dari susut akibat bajet perbelanjaan yang tinggi.

"Malah apa yang lebih membimbanglan ialah ketidakmampuan Datuk Seri Dr Zambry memberi prospek jelas terhadap pendapatan kerajaan negeri hasil pelaburan asing bagi mengimbangi defisit bajet yang dibentangkan," katanya.

Ujarnya, kegagalan kerajaan menarik pelaburan asing, berikutan isu pergolakan politik kesan rampasan kuasa Barisan Nasional (BN), akan menjejaskan pendapatan kerajaan negeri ditambah dengan pembelanjaan tidak berhemah kerajaan yang pastinya mengakibatkan defisit yang lebih besar pada pembentangan bajet tahun depan.

Keadaan itu jelasnya perlu diawasi dan dipertegaskan kerana dibimbangi kemerosotan pelaburan asing ini berterusan sehingga berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

Ini kerana faktor yang akan menentukan kelicinan pentadbiran kerajaan negeri kelak banyak bergantung kepada kukuhnya keadaan ekonomi sesebuah kerajaan tersebut.

"Walaupun Datuk Seri Zambry menafikan bahawa kerajaan negeri tidak akan muflis tetapi beliau tidak mampu menolak hakikat bahawa hutang pada tahun 2011 akan bertambah dengan hanya bergantung kepada sumber air Perak sebagai punca utama pendapatan sedia ada.

"Kesan pengurusan perbendaharaan negeri yang tidak efisyen oleh kerajaan BN akan secara langsung bakal terkena kepada rakyat jika tiada langkah drastik serta telus diambil. Sudah tentu pentadbir kerajaan negeri selepas PRU 13 nanti akan berhadapan dengan kesukaran yang sengaja dicipta oleh kerajaan sekarang," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29762:zambry-bentang-bajet-tambah-hutang&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...