Saturday, January 15, 2011

AJK beri kata dua

Oleh Mohd Hilmie Hussin

GIGIH...gelagat Chong Wei dan Seu Bock (kanan) ketika sesi latihan di Stadium Juara, kelmarin.
GIGIH...gelagat Chong Wei dan Seu Bock (kanan) ketika sesi latihan di Stadium Juara, kelmarin.

BEBERAPA ahli jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin meletak jawatan dalam jawatankuasa itu jika persatuan menerima semula Datuk Misbun Sidek dan mengikut syarat ditetapkan jurulatih itu.

Setiausaha Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBPP), Tony Tan Gim Hin yang turut menganggotai jawatankuasa itu berkata beliau akan meletak jawatan jika BAM memutuskan untuk merombak semula struktur program yang sudah dibentuk atas persetujuan semua, termasuk jurulatih.

Beliau berkata, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, ahli Majlis dan Exco sudah meluluskan struktur baru itu dan tidak sepatutnya diubah semata-mata kerana rasa tidak puas hati seseorang.

“Sejak bila individu lebih berkuasa daripada majoriti,” kata Tony ketika dihubungi di Pulau Pinang, semalam.
Tony berkata, keputusan meletakkan anaknya, Misbun Ramdan di bawah jurulatih pelapis Hendrawan yang dipersetujui bersama dalam mesyuarat jawatankuasa itu disifatkan sebagai punca utama isu peletakan jawatan Misbun.

“Struktur baru sudah dipersetujui majoriti ahli jawatankuasa. Presiden dan ahli Majlis juga sudah meluluskannya. Jadi tidak patut berlaku perubahan kerana permintaan segelintir pihak. Saya sedia meletak jawatan sebagai ahli jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan jika presiden bersetuju mengikut syarat Misbun.

“Jika seseorang tidak mahu mengikut keputusan dibuat jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan dan mahu keputusan itu diubah semula, tiada sebab untuk saya kekal dalam jawatankuasa,” kata Tony sambil menekankan ramai lagi pemain lain yang berada di ranking lebih tinggi yang layak berada dalam pasukan elit, tapi tetap berada dalam skuad pelapis.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak (PBS) Abdul Hadi Abdul Kadir yang juga ahli jawatankuasa itu turut tidak bersetuju jika BAM mengikut telunjuk Misbun.

“Saya tidak setuju jika perubahan struktur latihan dilakukan demi seseorang. Perkara ini tidak perlu ada tolak ansur,” kata Hadi. “Misbun patut kembali tanpa meletak sebarang syarat, apa lagi mahu struktur latihan diubah semata-mata untuk melatih anaknya. Ada beberapa perkara boleh diambil kira tapi bukan 100 peratus mengikut kehendak Misbun,” kata Hadi yang berharap isu itu selesai selepas pertemuan antara Nadzmi dan Misbun.

Menurutnya, BAM melakukan banyak perubahan dalam struktur latihan selepas bedah siasat kegagalan skuad Piala Thomas negara Mei tahun lalu.

Kelmarin, mesyuarat Exco memutuskan supaya BAM meminta Misbun mempertimbangkan semula peletakan jawatan dan kembali melatih pemain elit yang bernaung di bawah badan induk badminton negara itu. Mesyuarat Exco itu juga memutuskan supaya presiden bertemu dengan Misbun bagi menjernihkan keadaan.

Namun, pada hari sama Misbun meminta BAM menjawab dulu surat yang beliau hantar kepada BAM dengan mengatakan hanya akan kembali jika badan induk sukan itu bersetuju dengan semua syarat yang terkandung dalam surat itu.

http://www.hmetro.com.my/articles/AJKberikatadua/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...