Saturday, January 15, 2011

Selangor teliti butiran Projek Loji Air Langat 2

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan mengkaji dengan terperinci Projek Loji Air Langat 2 (Langat 2) sebelum memberi kelulusan sepenuhnya.

Kenyataan dikeluarkan Sekretariat Akhbar, Pejabat Menteri Besar Selangor semalam berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan untuk menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.


“Secara prinsipnya, kerajaan negeri tidak membantah Langat 2 kerana apa dipersoalkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini ialah keutamaan menyiapkan projek itu segera sebelum isu penstrukturan semula industri air diselesaikan. “Bagaimanapun, sebelum kerajaan negeri memberi kelulusan sepenuhnya terhadap Langat 2, butir-butir terperinci rancangan mesti diteliti rapi,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Selangor berpendirian bahawa isu air di negeri itu mesti ditangani secara holistik.

Pembinaan loji baru adalah satu daripada beberapa langkah yang harus dipertimbangkan secara keseluruhan, termasuk pengurusan aset dan industri air di Selangor.

Pegawai kerajaan negeri kini sedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk meneliti unsur teknikal Projek Langat 2 dan menentukan sekiranya memanfaatkan rakyat Selangor.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SelangortelitibutiranProjekLojiAirLangat2/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...