Saturday, January 15, 2011

Ibu alami tekanan jiwa

KUALA LUMPUR: Ibu yang dipercayai mendera anak lelakinya berusia lapan tahun hingga maut dua hari lalu diarah menerima rawatan psikologi dan kaunseling di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan, wanita berusia 30-an itu perlu menerima rawatan berkenaan selepas siasatan polis mendapati dia mengalami tekanan jiwa.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata ibu mangsa mengalami tekanan kerana terpaksa bekerja dan menjaga kanak-kanak itu sendirian.

“Hasil siasatan juga mendapati suami wanita terbabit bekerja di luar negara dan tidak pernah mengirimkan wang untuk menyara mereka dua beranak.


“Berikutan itu, wanita terbabit bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya dan memberhentikan persekolahan anak tunggalnya itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.


Menurutnya, wanita itu mendakwa kesan lecur pada badan anak lelakinya itu akibat tertumpah air panas.

“Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia petang semalam (kelmarin). Laporan bedah siasat mendapati budak itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah,” katanya.


Chin Wah berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Kanak-kanak dan kertas siasatan sudah dikemukakan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibunya meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini, petang semalam.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ibualamitekananjiwa/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...