Saturday, January 15, 2011

Tuan rumah berhati mulia

MELAKA: “Akibat kesempitan hidup, kami anak beranak sering tidak menjamah nasi bagi tempoh dua atau tiga hari dan kadang-kadang menebalkan muka untuk menagih simpati dengan mendapatkan makanan di gerai berdekatan serta jiran tetangga,” kata ibu tunggal, Aisah Saadun, 45.

Aisah yang menyewa rumah di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang, di sini, sejak hampir dua tahun lalu mendakwa selalu sakit perut akibat tidak mempunyai makanan untuk dijamah.


Menurutnya, kehidupan keluarganya menjadi lebih sukar selepas arwah suaminya, Kahar Jamaah, penduduk tempatan, meninggal dunia kira-kira 16 tahun lalu.

Katanya, sepanjang ketiadaan suami, dia dan empat anaknya yang kini berusia antara 18 dan 24 tahun sering hidup menumpang di rumah jiran tetangga yang bersimpati sebelum tinggal menyewa di rumah sekarang.


Dia yang berstatus penduduk tetap (PR) dan berasal dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia mendakwa anak ketiganya iaitu perempuan sudah berkahwin, manakala yang lain masih belum mendirikan rumah tangga dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.


“Semua anak saya warga negara ini, tetapi mereka tidak pernah bersekolah akibat kemiskinan hidup, manakala dua anak lelaki yang masih bujang berusia 18 dan 24 tahun pula melakukan pekerjaan sampingan sekadar mengisi perut mereka sendiri dan itu pun kalau ada kerja.

“Disebabkan hidup susah, sehingga tiga atau empat bulan kami tidak mampu membayar sewa rumah sebanyak RM150 sebulan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurut Aisah, mereka sungguh bernasib baik kerana tuan rumah berkenaan, Said Aim, 80, memahami masalah keluarganya, malah tidak pernah mendesak dia supaya melunaskan sewa bulanan rumah termasuk tunggakannya sekali.

Malah, katanya, atas dasar simpati, tuan rumah itu sering memberi mereka makanan dan meminjamkan wang jika terpaksa.


Katanya, akibat kemelaratan hidup, dia terpaksa mencari kerja di kebun sayur di Klebang.


“Selain bekerja di kebun sayur, saya juga buat kerja mengemas rumah jika ada orang meminta berbuat demikian. Saya sangat berterima kasih, malah terhutang budi dengan tuan rumah yang banyak membantu dan prihatin dengan nasib kami.


“Bagaimanapun, saya masih berharap ada pihak yang sudi membantu kami mendapatkan rumah rakyat yang boleh disewa, sekali gus dapat meringankan beban dan dapat hidup dengan lebih selesa,” katanya.


Sementara itu, Said berkata, dia amat bersimpati dengan nasib keluarga Aisah dan tidak kisah sangat jika mereka tidak mampu membayar sewa rumah.


“Apa nak buat, dia orang miskin. Kalau dia ada duit nak bayar sedikit demi sedikitpun saya tak kisah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tuanrumahberhatimulia/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...