Saturday, January 15, 2011

Selangor usaha perbanyak kemudahan pelancongan

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 15 Jan: Pameran Pelancongan Antarabangsa MATTA Selangor; Umrah dan Destinasi Muslim (MASUM) ke-4 sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dekat sini sehingga esok.

Perasmian MASUM petang semalam telah disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berucap memberikan penekanan peri pentingnya bidang pelancongan dibangunkan khususnya di Selangor.

Menurutnya, jika diambil satu perempat sahaja jumlah umat Islam seramai 1,000 juta di seluruh dunia, bidang pelancongan mampu dikembangkan dengan pesatnya kerana ia boleh memberi pulangan besar kepada industri ini.

"Sudah pasti jumlah pelancong sebanyak 250 juta itu boleh mendatangkan pulangan besar kepada bidang ini yang lebih banyak terarah kepada sektor perkhidmatan," tegasnya.

Abdul Khalid memberi jaminan berusaha untuk memperbanyakkan lagi kemudahan pelancongan di Negeri Selangor khususnya bagi memastikan negeri ini mampu berada dalam peta pelancongan dunia.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pihak berwajib agar mewujudkan satu tabung khas berbentuk insuran bagi menjaga kemaslahatan pelancong jika apa-apa berlaku terhadap mereka ketika berada dalam pakej terlibat.

Katanya, isu ini boleh dijayakan dengan penglibatan ramai peserta menjadikan jumlah premiumnya rendah namun dapat menampung keperluan mereka yang mencarum untuk mencapai hasrat terbabit.

"Setelah itu, adalah lebih baik ganjaran yang diperolehi itu boleh dikeluarkan dengan segera secara tunai di mana-mana mesin auto-teller di seluruh dunia," tambahnya lagi.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Exco Kerajaan Negeri Selangor seperti Elizabeth Wong, Teresa Kok dan Dr Halimah Ali serta Pengerusi MATTA Malaysia, Datuk Mohd Khalid Harun dan Pengerusi MATTA Selangor, Mohd Akil Yusof.

Menurut Akil, sebanyak 110 petak telah dipenuhi dalam pameran kali ini yang melibatkan syarikat kembara sebanyak 34 agensi, bukan agensi kembara (22), syarikat penerbangan (8) seperti Gulf Air, Egypt Air, Oman Air, Jet Airways, Firefly, MAS, Qatar Airlines dan Fly Emirates.

MASUM 2011 ini adalah anjuran MATTA Cawangan Selangor dengan kerjasama Tourism Selangor, PADAT, MBSA dan SACC yang memberikan fokus umrah dan destinasi pelancongan Muslim ke seluruh dunia.

Sepanjang program berlangsung, diadakan satu pameran dibawa khas dari Negara Turki dengan tema The Sacred Trust of Prophet Muhammad SAW. difahamkan pertama kali diadakan di luar negara itu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30359:selangor-usaha-perbanyak-kemudahan-pelancongan&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...