Saturday, January 15, 2011

Mahathir bimbang budaya 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah

Muhayat Jasmin

KUBANG PASU, 14 Jan: Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed mendakwa wujudnya amalan 'cantas-mencantas' dalam Umno Kedah yang boleh menggugat usaha parti tersebut merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

Kata Mahathir, tabiat yang sekian lama menjadi amalan pimpinan Umno ini harus segera dikikis sekiranya ingin memenangi semula pilihan raya.

"Masalah ini kerap berlaku dalam pimpinan Umno. Apabila ada orang lain hendak naik, maka yang tidak dapat naik akan cuba mencantas yang hendak naik. Manakala apabila ada orang yang tidak naik mendapat kenaikan, maka yang lain pula akan mencantas yang ini.

"Sikap buruk ini, sepatutnya tidak menjadi amalan dan dihapuskan sekiranya Umno dan BN ingin merampas kembali kerusi yang terlepas dalam pilihan raya umum yang lalu, " katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Giat Mara Prima di sini semalam.

Kata Mahathir lagi, tabiat buruk pimpinan Umno ini perlu dihapuskan bukan saja diperingkat kepimpinan tetapi juga sehingga ke peringkat 'grass root' .

Baru-baru ini Umno membuat rombakan kepimpinan di Kedah melibatkan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai pengerusi dan Datuk Mukhriz Mahathir dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Sehubungan itu, ramai pemerhati melihat kenyataan terbaru Mahathir itu berkaitan dengan perlantikan anaknya yang dikatakan tidak disenangi sesetengah pimpinan Umno negeri itu.

Sebelum ini Mahathir juga pernah menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau terbabit dalam mempengaruhi keputusan pucuk pimpinan Umno dalam melantik anaknya sendiri sebagai timbalan pengerusi Umno Kedah atas tujuan untuk mempersiapkan tokoh muda itu sebagai Menteri Besar pada masa depan.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30351:mahathir-bimbang-budaya-cantas-mencantas-dalam-umno-kedah&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...