Saturday, January 22, 2011

Kuan Yew arah roboh rumah

SINGAPURA: Ahli politik veteran Singapura, Lee Kuan Yew, mahu rumahnya dimusnahkan bagi membolehkan tapak itu dibangunkan selepas dia mati dan tidak dijadikan makam bersejarah.

Dalam petikan buku terbaru Kuan Yew yang dilancarkan semalam, bekas Perdana Menteri Singapura itu berkata, arahan diberi kepada kerajaan untuk merobohkan banglo dibina pada 1869 di Jalan Orchard itu apabila dia tiada nanti.


“Saya memberitahu Kabinet, apabila saya mati nanti, robohkan rumah itu,” katanya dalam buku itu dan disiarkan akhbar Straits Times, semalam.

Buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going itu diterbitkan syarikat Singapore Press Holdings berdasarkan temubual eksklusif dengan tokoh berkenaan.


Temu bual itu diadakan sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo, Oktober tahun lalu.


Kini menjadi penasihat kepada anaknya yang menjadi perdana menteri, Kuan Yew, 87, berkata dia pernah melihat rumah warisan pemimpin terkemuka dunia, termasuk Jawaharlal Nehru dan William Shakespeare, yang terabai selepas tempoh waktu tertentu.

Terkenal sebagai negarawan yang berterus-terang dan tidak sentimental, Kuan Yew menganggap rumah dibina lebih seabad lalu oleh saudagar Yahudi itu sebagai kediaman ‘lima bilik tidur dan tiga lagi di belakang’ yang retak di sana-sini.


Kata Kuan Yew, keluarganya pasti tidak akan merindui rumah itu yang dimiliki sejak 1940-an lagi.

“Saya tak fikir anak perempuan atau isteri saya, malah saya yang pernah tinggal di dalamnya, atau anak lelaki saya yang membesar di situ, akan meratapi kehilangannya.


“Mereka ada gambar lama jika mahu mengingatinya,” katanya.


Menurut Straits Times, tingkat bawah rumah Kuan Yew itu pernah menjadi tempat mesyuarat pemimpin utama Parti Tindakan Rakyat merangka strategi pada era awal penubuhannya.


Kata Kuan Yew, tapak rumah itu mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.


“Disebabkan rumah saya, jiran sekeliling tidak boleh membina bangunan tinggi.


“Jika rumah saya nanti dirobohkan, nilainya pasti meningkat lebih tinggi,” katanya.
- AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KuanYewarahrobohrumah/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...