ffarlin@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Pengetua dan guru besar sekolah di seluruh negara diminta tidak memaksa guru mereka bertugas pada Sabtu, selain patuh pada peraturan dikeluarkan kerajaan yang menetapkan hari berkenaan sebagai cuti buat kakitangan sekolah.
Sehubungan itu, guru yang tidak berpuas hati ditugaskan pengetua mereka untuk bekerja pada setiap Sabtu di sekolah masing-masing, diminta tampil membuat aduan bertulis kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya hak mereka untuk berehat pada hari itu dapat dibela.
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, masih ada pengetua atau guru besar sekolah yang tidak memahami peraturan serta ingkar dengan arahan kerajaan yang menetapkan Sabtu sebagai hari cuti berehat untuk semua guru.
Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan itu masih fleksibel kerana guru berkenaan boleh dipanggil oleh pengetua untuk bertugas pada mana-mana dua Sabtu dalam sebulan jika keadaan benar-benar memerlukan bagi menjayakan sesuatu acara yang tidak dapat dilakukan pada hari persekolahan biasa.
“Ada pengetua menganggap keputusan mereka mengarah guru bertugas pada Sabtu terutama untuk mengadakan kelas tambahan kononnya untuk mempertingkatkan lagi pencapaian pelajar sedangkan kelas yang sudah diadakan dari Isnin hingga Khamis sepatutnya sudah mencukupi
“Pengetua yang mahu mengarah guru bekerja pada Sabtu sepatutnya mengeluarkan arahan dalam bentuk surat arahan rasmi dan bukannya secara lisan kerana jika apa-apa perkara tidak diingini berlaku, pihak sekolah dan pengetua akan bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi semalam.
Hashim berkata, guru mempunyai hak untuk berehat pada Sabtu bersama keluarga serta menenangkan fikiran dan tidak sepatutnya dikerah bekerja hingga mengganggu masa senggang mereka.
Katanya, beliau memahami keadaan guru yang tersepit dan serba salah dengan arahan pengetua serta akan mengikut saja berikutan bimbang dikenakan tindakan jika enggan bertugas pada Sabtu walaupun ia sudah diisytiharkan sebagai hari cuti buat mereka.
“Ada guru yang sukarela bertugas dengan mengadakan kelas tambahan pada Sabtu atau menganjurkan program berbentuk sukan, tetapi bagi mereka yang tidak rela, jangan duduk diam dan kita minta mereka membuat aduan supaya hak mereka terbela.
“Manakala guru yang terpaksa bertugas pada Sabtu perlu berani meminta pengetua mengeluarkan satu surat rasmi yang tertera arahan mengenai tugas supaya pihak sekolah akan bertanggungjawab jika ada masalah,” katanya.
Sementara itu, Hashim turut memberi pandangan supaya beberapa perkataan yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum India di negara ini seperti yang terkandung dalam novel Interlok dihitamkan saja dengan dakwat bagi memuaskan hati semua pihak.
http://www.hmetro.com.my/articles/LaranggurukerjaSabtu/Article
No comments:
Post a Comment