Saturday, January 22, 2011

Suami kena rasional

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Bukan satu tindakan yang rasional dan bermaruah bagi seorang suami untuk mengamuk hingga sanggup mendatangkan kecederaan kepada keluarga isteri, hanya semata-mata mahu wanita di bawah tanggungjawabnya itu kembali ke pangkuan.

Malah, perbuatan terbabit yang didorong nafsu amarah tak terkawal hanya mengundang masalah lebih buruk berikutan hubungannya dengan isteri dan keluarga mentua berkemungkinan renggang ibarat retak menanti belah.


Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Awal, (gambar) berkata masih terdapat beberapa lagi alternatif boleh digunakan suami untuk mengajar isteri supaya menurut perintah, bukan dengan cara kekerasan.

“Dalam undang-undang keluarga Islam, kita mempunyai peruntukan yang boleh digunakan suami iaitu perintah untuk meminta isteri supaya taat suami boleh mendapatkannya di mahkamah syariah bagi mengarahkan isterinya pulang ke pangkuan.


“Cara ini rasanya lebih elok daripada dia mengamuk, marah-marah di rumah keluarga isterinya. Sebagai anak menantu, dia kena mengambil hati dan berusaha mengerat hubungan antara mereka, bukan menambah masalah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang lelaki yang naik angin kerana isterinya tidak mahu pulang selepas menghadiri majlis pertunangan adiknya.

Laporan menyebut, kejadian berlaku di rumah bapa mentua lelaki itu di Jinjang, di sini, malam Ahad lalu menyebabkan cermin dua kereta dipecahkan, malah bapa mentua dan adik ipar sendiri turut dicederakan berikutan campur tangan.


Mengulas lanjut, Noor Aziah berkata, tidak dinafikan terdapat kes mentua dan menantu yang tidak sebulu dalam masyarakat hari ini, namun sebagai anak, dia perlu bijak mengendali keadaan selain tahu bagaimana mahu mengambil hati keluarga mentua.

“Saya tak nafikan pergeseran mentua dan menantu pasti ada, tapi sebagai yang muda perlu tahu cara mengambil hati kerana ibu bapa ini ibarat kerak nasi juga, kalau kena caranya (melentur) akan jadi lembut akhirnya. Sebab itu kita jangan menambah bara lagi.


“Lagi satu, adat berumah tangga perlu ada persefahaman antara suami isteri, isteri perlu patuh pada perintah dan larangan suami walaupun dia melarang pergi ke rumah keluarga sendiri....isteri kena patuh, kalau tidak nusyuz.


“Cuma suami kena rasional, jangan bertindak melulu dan buat keputusan yang tidak munasabah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamikenarasional/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...