SEREMBAN: “Memang saya rasa amat teruja dan tidak percaya akan menamatkan zaman bujang, namun harus percaya semua ini ketentuan Allah kerana kita hanya merancang, tetapi Dia yang menentukan,” kata pemain bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak.
Mohd Zaquan, 23, bakal diijabkabulkan dengan pelakon popular, Ayu Raudhah Che Wan, 26, pada majlis akad nikah yang akan berlangsung hari ini di Masjid Sultanah Bahiyah Alor Setar, selepas solat Jumaat disusuli majlis resepsi pada malamnya di Bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Pernikahan kedua-dua pasangan sensasi itu sekali gus menamatkan desas-desus mengenai hubungan mereka sebelum ini apabila mengikat tali pertunangan pada 17 Oktober tahun lalu.
Mohd Zaquan berkata, persiapan bagi meraikan hari bersejarah itu berjalan lancar apabila semua ahli keluarganya termasuk abang kembarnya, Mohd Aidil Zafuan turut serta dalam rombongan pengantin ke Alor Setar.
Menurutnya, pihaknya berasa amat bersyukur kerana semua ahli keluarga memberi sokongan padu untuk bersama meraikan detik bersejarah itu.
“Saya membawa barangan hantaran tujuh dulang manakala pihak perempuan membalas sembilan dulang.
“Semakin dekat rasanya semakin bersemangat, namun apa yang penting mengharapkan supaya majlis ini nanti selesai dengan baik dan selamat,” katanya yang sudah merancang untuk menetap di Seremban selepas berkahwin kerana sudah membeli rumah di sini.
Sementara itu, Mohd Aidil Zafuan tidak menyangka adiknya bertemu jodoh seorang pelakon selepas dia menjadi suami kepada seorang pelakon terkenal, Rita Rudaini Mokhtar.
Menurutnya, dia menyifatkan ia adalah jodoh dan sudah menjadi ketentuan Allah di mana pihaknya hanya mengharapkan yang terbaik buat adik kembarnya dalam membina rumah tangga bahagia.
“Ini bukan soal mengikut jejak langkah selepas saya mengahwini seorang pelakon (Rita Rudaini), tetapi perkahwinan antara Mohd Zaquan dengan Ayu Raudhah adalah kerana jodoh.
“Saya akan terus memberi nasihat dan sokongan kepadanya (Mohd Zaquan) dan berharap kariernya sebagai pemain bola sepak bertambah baik selepas mendirikan rumah tangga,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011012102394920110121023949/Article/index_html
No comments:
Post a Comment