am@hmetro.com.my
LANGKAWI: “Saya malu dan hanya berkurung dalam rumah. Dalam hati memang ada azam untuk bekerja bagi membantu ibu yang sudah tua, tapi majikan mana yang nak ambil saya bekerja jika muka cacat begini,” kata Shahrul Nizam Shuib.
Shahrul Nizam, 31, yang cacat bahagian muka sejak lahir akibat penyakit ensephalacelo atau lebihan cecair otak berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuah, Mukim Kuah, di sini, semalam.
Anak ketujuh daripada sembilan beradik yang tinggal bersama ibunya itu berkata, dia hanya bersekolah setakat darjah satu sebelum mengambil keputusan berhenti kerana tidak tahan diejek rakan-rakan.
Berikutan itu, Shahrul Nizam tidak tahu membaca dan menulis menyebabkan hidupnya ditanggung sepenuhnya oleh ibunya, Isyah Yunus, 63, yang juga seorang ibu tunggal selepas kematian suami, Shuib Ali kira-kira 17 tahun lalu.
“Saya mahu bekerja kerana kasihan melihat ibu yang sudah tua terpaksa melakukan apa saja kerja asalkan kami dapat duit dan boleh beli beras untuk sepinggan nasi serta pakaian ala kadar.
“Dalam keadaan begini (kecacatan muka) sukar bagi saya keluar bekerja, malah jauh sekali menyimpan cita-cita untuk berkahwin,” kata pemuda itu yang turut mengalu-alukan jika ada pihak mahu membuat kajian mengenai penyakitnya.
Sehingga kini, katanya, dia belum pernah menerima apa-apa bantuan kewangan dan barangan makanan daripada agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Sejak sekian lama, hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, kami juga tiada pilihan dan terpaksa tinggal di rumah subsidi kerajaan yang dibina atas tanah orang.
“Walaupun benjol dari bahagian dahi hingga hidung ini tak sakit, tapi ia menyebabkan muka kelihatan tidak sempurna dan saya jadi malu untuk berhadapan orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Isyah berkata, dia pernah beberapa kali membawa Shahrul Nizam berjumpa doktor di Hospital Langkawi (HL) sejak lahir bagi mendapatkan nasihat dan rawatan sesuai untuk mengubati penyakit ganjil anaknya itu.
“Pihak hospital ada memaklumkan jika mahu melakukan pembedahan ke atas Shahrul, dia terpaksa menanggung risiko tinggi kerana ada kaitan dengan lelehan cecair otak yang membentuk benjolan sebesar penumbuk itu.
“Sejak itu, kami tak pernah berfikir untuk buat pembedahan kerana mahu makan anak beranak pun susah apatah lagi untuk cakap mengenai pembedahan yang menelan kos tinggi,” katanya sebak.
Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, dia tidak mampu mengumpul wang untuk membolehkan Shahrul Nizam dibedah malah kudratnya kian berkurangan untuk terus bekerja.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taktahanjadimangsaejekan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment