Saturday, January 22, 2011

Kuan Yew mahu rumahnya dirobohkan selepas mati


LEE KUAN YEW (kiri) mendedahkan gambar beliau dan isterinya, mendiang Kwa Geok Choo dalam pelancaran buku berjudul Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Goingdi Singapura semalam.


SINGAPURA - Bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew mahu rumah keluarganya dirobohkan bagi tujuan pembangunan semula selepas beliau meninggal dunia.

Kuan Yew yang kini memegang jawatan menteri mentor berkata, beliau tidak mahu rumahnya dijadikan sebuah bangunan bersejarah.

Dipetik daripada sebuah buku yang dilancarkan semalam, beliau telah mengarahkan pemerintah merobohkan rumahnya itu yang merupakan banglo era kolonial British yang terletak di lokasi beli-belah utama, Orchard Road.

"Saya sudah memberitahu Kabinet, apabila saya meninggal dunia, runtuhkannya. Saya melihat rumah-rumah lain seperti rumah Jawaharlal Nehru (hero kemerdekaan India) dan Shakespeare akhirnya tidak teratur," kata Kuan Yew yang berusia 87 tahun.

Syarikat Singapore Press Holdings menerbitkan buku bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going yang berdasarkan kepada temu ramah eksklusif bersama wartawan-wartawan akhbar Straits Times.

Kuan Yew yang terkenal dengan sikap jujur dan tidak sentimental itu menjelaskan rumahnya yang dibina sejak lebih seabad lalu oleh seorang ahli perniagaan Yahudi itu merupakan sebuah rumah besar yang uzur.

Ia mempunyai lima bilik tidur dan tiga lagi bilik pada ruang belakangnya selain retakan-retakan pada dinding.

Kuan Yew yang ditemu ramah sebelum kematian isterinya, Kwa Geok Choo pada Oktober tahun lalu menyatakan ahli keluarganya tidak akan merindui rumah tersebut yang dimilikinya sejak tahun 1940-an.

"Saya tidak fikir anak perempuan saya atau isteri saya atau saya yang tinggal di dalamnya atau anak-anak lelaki saya yang membesar di dalamnya (rumah itu) akan meratapi kehilangannya. Mereka mempunyai gambar-gambar lama untuk mengingati mereka pada masa lampau," katanya.

Mesyuarat-mesyuarat penting yang akhirnya membentuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dianggotai Kuan Yew diadakan di bahagian bawah rumah tersebut.

Menyuarat itu bertujuan membentuk strategi sewaktu tahun-tahun awal pembentukan Singapura. Parti PAP memerintah Singapura sejak tahun 1959.

Kuan Yew yang menjadi perdana menteri dari tahun 1959 hingga 1990 sangat pragmatik terhadap nilai ekonomi Singapura.

"Disebabkan rumah saya, jiran-jiran saya tidak boleh membina rumah yang tinggi. Sekarang robohkan rumah saya dan tukar peraturan perancangan pembinaan. Bina bangunan tinggi dan nilai tanah akan meningkat," kata Kuan Yew.

Sementara itu, dalam majlis pelancaran bukunya, Kuan Yew turut menggesa rakyat Singpura supaya memelihara keharmonian agama dan antara kaum.

"Saya tidak menipu diri saya walaupun satu detik bahawa perbezaan kaum, budaya, bahasa, agama telah hilang.

"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah mudah. Kita merupakan sebuah negara dalam pembinaan. Adakah kita akan berjaya melakukannya? Adakah saya yakin kita akan dapat mencapainya. Tidak, kita tidak boleh berkata begitu. Mungkin akan berlaku kesilapan dan kita akan berpecah.

"Ini adalah urusan generasi anda dan generasi yang membuatkan anda berjaya untuk memahami betapa rapuhnya masyarakat ini dan pastikan masyarakat dalam kepaduan, teruskan bersatu dan kekalkan seperti yang ada pada hari ini, bertoleransi dan bersikap tolak ansur antara satu sama lain.

"Anda mempunyai sebuah negara seperti China atau Jepun. China boleh musnah, dirobohkan tetapi rakyatnya kembali bersatu untuk membina semula negara. Saya tidak pasti jika Singapura rosak, musnah atau dirobohkan, rakyatnya akan mampu untuk datang bersatu bersatu semula. Menurutnya, negara yang telah dibina itu mesti diperkukuhkan dan dibina secara berhati-hati. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...