Friday, July 29, 2011

Jeyakumar mulakan mogok lapar

Posted by admin on July 28th, 2011

Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), hari ini melancarkan mogok lapar ketika dalam tahanan. Perkara itu dimaklumkan oleh isteri beliau, Mohanarani Rasiah ketika menemui suaminya itu kira-kira jam 11 pagi, semalam. Menurut Moharani, suaminya itu sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadapnya dan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah EO sejak 2 Julai lalu.

“Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM 6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah.

“Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar,” kata Mohanarani dalam satu kenyataan hari ini.

“Apabila saya jumpa suami saya Dr Jeyakumar pada 11 pagi semalam, beliau suarakan perasaannya yang sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadap enam aktivis PSM yang ditahan sejak 2 Julai lalu.

“Menurutnya, polis enggan berganjak dari posisi asal mereka walaupun PSM 6 telah bekerjasama penuh dan menjawab semua soalan yang ditanya semasa soalsiasat dijalankan,” kata Mohanarani lagi hari ini.

Kata Monaharani, Dr Jeyakumar berkata walaupun sudah berkali menafikan kaitan PSM dengan Parti Komunis Malaysia (PKM) dan fahaman komunis tetapi pihak berkuasa itu tetap memaksa dengan tuduhan palsu.

Tuduhan menghidupkan komunisme itu katanya, hanya berdasarkan beberapa penemuan T-shirt.

Malah kebelakangan ini Dr Jeyakumar memberitahu polis berusaha mereka tuduhan baru, berdasarkan lawatan pemimpin PSM ke luar negara atas jemputan parti sosialis lain di dunia.

Ia termasuk dakwaan PSM ada hubungan rahsia dengan PKM di Thailand.

“Dr. Jeyakumar menafikan semua tuduhan palsu ini, semua soalan polis menjurus untuk mengeluarkan satu cerita karut untuk melanjutkan tempoh tahanan,” Kata Mahanarani.

Selain Dr Jeyakumar, turut ditahan di bawah EO ialah Timbalan Pengerusi PSM, M Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Pemuda PSM, Sarat Babu.

Dalam kenyataan media berasingan setiausaha agung PSM S Arutchelvan beliau akan ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan ahli parlimen itu.

“Oleh tida pengesahan daripada pihak berkuasa, kami percaya Dr Jeyakumar telah memulakan mogok lapar dan kami amat bimbang dengan keadaan kesihatannya,” katanya.

Undang-undang itu disifatkan sebagai kejam kerana hmenyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa bicara.

Enam tahanan itu bersama 24 yang lain sebelum ini ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Julai sewaktu menaiki bas menuju ke Pulau Pinang bagi menyertai siri kempen “Udah La Tu Bersaralah”.


http://www.kl-today.com/2011/07/jeyakumar-mulakan-mogok-lapar/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...