Sokongan masyarakat India kepada kerajaan BN masih menjadi persoalan, kata presiden MIC Datuk G Palanivel, yang juga mengakui partinya dan juga BN hilang sebahagian besar sokongan pada pilihan raya umum 2008.”Kami (masyarakat India di Malaysia) hanya dibantu semasa pilihan raya kecil dengan pemberian kecil, peruntukan kerdil untuk sekolah, kuil, pinjaman mudah – (tetapi) kami perlukan bantuan berkenaan dalam skala besar.
Hanya dengan itu, masyarakat India akan kembali menyokong kerana tidak ada sesiapa yang boleh kami harapkan kecuali kerajaan BN,” katanya pada sidang media hari ini.
Dengan spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Dewan Rakyat pada akhir tahun ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan, Palanivel berkata penyelesaian segera diperlukan bagi manangani masalah masyarakat India itu.
“Jika mereka (BN) bantu, maka kita akan dalam keadaan baik. Kita perlukan bantuan, Masyarakat ini adalah masyarakat minoriti… kita bukan masyarakat majoriti, hanya minoriti,” katanya yang juga adalah timbalan menteri industri perladangan dan komoditi.
Penahanan berterusan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) menarik “perhatian dunia” dan mungkin memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang, tambah presiden MIC itu .
“Jika awak tonton televisyen setiap hari, ada demonstrasi (di luar negara) dan polis menggunakan gas pemedih mata, meriam air dan semua (untuk menyuraikan orang ramai).
“Tetapi kemudian, mereka akan disuruh berbaris dan dimasukkan ke dalam lori dan dibawa ke balai polis (di mana penunjuk perasaan) akan dikurung selama tiga atau empat jam sebelum dibebaskan,” kata Palanivel pada sidang media hari ini.
Bagaimanapun dalam kes ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan lima yang lain, mereka ditahan kerana menjadi “penggerak utama” perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, beliau berkata tindakan kerajaan itu hanya memburukkan imej negara.
“Perwakilan rakyat yang dilantik itu akan masih dalam tahanan dan semasa pilihan raya, mereka tidak perlu keluar untuk berkempen – mereka boleh terus menetap di penjara dan menang kerana rakyat akan mengundi mereka,” katanya.
Bimbang dengan sentimen rakyat berhubung penahanan itu, Palanivel menasihatkan Perdana Menteri , supaya fokus untuk mendapatkan sokongan pada pilihan raya ke-13 ini.
Palanivel berkata beliau sedar tindakan kerajaan itu terus menerima bidasan dari dalam dan luar negara dan telah berhubungan dengan Najib beberapa hari lalu dan meminta tahanan itu dibebaskan.
http://www.kl-today.com/2011/07/mic-mula-beri-ingatan-pada-najib/
No comments:
Post a Comment