Friday, July 29, 2011

Legasi srikandi gerakan Islam di tengah kota


Ahmad Lutfi Othman

Saya menerima berita kematian Almarhumah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, pada malam pertama saya di wad surgeri 5E, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, 17 Julai lalu. Saya diminta mengikuti rawatan lanjutan termasuk menjalani angiogram saraf tunjang tulang belakang dan pelbagai ujian lain semasa empat hari di sana.

Sebelah siangnya, saya dihujani pelbagai pertanyaan: "Betulkah Dr Lo'Lo' meninggal?" Tidak mudah menjawab SMS seumpama itu memandangkan tahap kesihatannya begitu kritikal dalam tempoh yang agak lama. Derita kanser lebih dua tahun lalu sudah merebak, namun srikandi berjiwa kental ini tidak pernah patah semangat, malah mampu mendorong orang lain -- termasuk saya -- untuk lebih waja berdepan penyakit.

(Ziarah terakhir di Wad Sutera, HUKM, 23 Jun lalu.)

"Lutfi, jangan berhenti berubat, kuatkan semangat, terus berjalan," nasihatnya, meminta saya rajin bersenam dan mengikuti sesi fisioterapi apabila mengetahui saya mengalami stroke kecil dan masalah saraf tunjang selepas pembedahan pintasan jantung.

Saya dan rombongan Harakah, sempat menjenguknya di Wad Sutera, HUKM, pada 23 Jun, tidak sampai sebulan sebelum beliau dipanggil menghadap Ilahi. Biarpun nampak cukup uzur dan terlantar di katil, Dr Lo'Lo' yang ditemani suaminya, Prof Madya Dr Aminudin Abd Hamid Karim, seperti lazimnya ceria melayan kami. Gurauannya begitu menyenangkan. Beliau masih sempat berjenaka tentang mukanya yang nampak tembam. Di penjuru bilik, Dr Amin menjelaskan tahap kesihatan isterinya yang semakin kritikal.

(Di wad yang sama, lebih setahun lalu, sehari sebelum saya menjalani bypass surgery (CABG), Dr Lo'Lo' dan Dr Amin merupakan tetamu terakhir pada petang Ahad itu -- selain anggota keluarga saya -- datang menyuntik keyakinan dan menitipkan nasihat bermanfaat. Sungguh, watak keibuannya cukup menyerlah, begitu prihatin dan nampak jelas ketulusannya.)

Dari atas katil, Dr Lo'Lo' meminta bantuan isteri saya, Siti Hawa mengenakan tudung yang lebih sesuai (dan lebih labuh) apabila diminta bergambar kenangan. (Kelahiran dua anak kami sebenarnya dibidani Dr Lo'Lo). Mulanya Dr Amin agak keberatan untuk bergambar bersama kami. "Inilah orang yang bersama saya di saat senang dan sukar ...," kata Dr Lo'Lo' tersenyum.

Segera saya teringat ketika saya dan isteri berkunjung ke rumah Dr Lo'Lo' di Keramat pada awal tahun ini. Ya, meskipun beliau kelihatan sukar bergerak, hatta payah untuk bangun menyambut kedatangan kami, dan bau ubat memenuhi ruang tamu, Dr Lo'Lo' ghairah bercerita tentang "perjuangan".

Temanya tidak lari daripada membedah secara terbuka rantaian masalah yang masih menyerkup aktivis parti. Dan itulah keunikan dan keistimewaan Dr Lo'Lo' ... berbicara langsung dari hati, kadang-kadang seolah-olah "tanpa berlapik", dan mungkin bagi sesetengah orang perwatakannya dianggap sebagai "sering membebel dan terlalu cerewet".

"Saya perhatikan ramai ahli-ahli kita seolah-olah tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab selepas menang. Rasa rendah diri tidak bertempat. Tidak berani ke depan untuk memimpin masyarakat, malah di banyak kawasan, orang Umno yang sudah kalah itu seolah-olah masih menjadi ketua dalam komuniti," kritiknya, sambil meminta saya menggunakan Harakah untuk memperbaiki keadaan tersebut.

(Menghadiri majlis Aidilfitri 2009 anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, di Ampang Hilir.)

Dalam satu majlis makan malam anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya pimpin pada tahun 2001, sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, di Hotel Vistana, Dr Lo'Lo' kebetulan melewati meja yang diduduki saudara-saudara terdekat saya. Apabila diminta memperkenalkan diri, seorang daripadanya berkata: "Saya ... anak saudara Lutfi."

Segera Dr Lo'Lo' memintas: "Saya tak suka kita mengaitkan diri dengan orang lain. Setiap orang ada kekuatan tersendiri." Memang beliau amat menekankan keperluan membina keyakinan diri yang tinggi pada setiap individu, terutama di kalangan petugas jemaah.

Dr Lo'Lo' yang juga ahli jemaah pengarah Harakah sering melahirkan rasa tidak puas hati dengan kualiti dan persembahan lidah rasmi PAS itu. "Banyak lagi yang boleh dilakukan Harakah," tegurnya langsung kepada saya. Mungkin disebabkan "serangan tanpa selindungnya" itu, maka editor-editor Harakah agak "kecut perut" jika menerima panggilan daripadanya!

Malah, apabila diminta pemberita menghubungi Dr Lo'Lo' untuk mendapatkan komen atau mengikuti programnya, saya perhatikan ramai yang cuba mengelak. Apa pun, selepas kehilangannya, saya yakin mereka -- dan saya sendiri -- pasti merindui suara teguran dan nasihat ikhlas daripada seorang ibu yang sentiasa terbuka dan penyayang.


Saya juga masih terbayang bagaimana mesra dan intimnya hubungan Dr Lo'Lo' dengan anak-anak muda Titiwangsa, bagaikan hubungan anak dengan ibu, seperti ditunjukkan semasa majlis Aidilfitri 2009 yang dianjurkannya di Taman Ampang Hilir. Rupanya beliau hanya sempat menabur bakti, dalam keadaan sihat, kepada masyarakat ibukota hanya sekitar dua tahun sebelum keuzuran.

Yang pasti, Almarhumah meninggalkan legasinya yang bakal terpahat dalam lipatan sejarah sebagai seorang srikandi gerakan Islam di tengah jantung Kuala Lumpur.

Seorang rakan saya, yang kerap menghantar SMS -- sebahagiannya sarat dengan kritikan -- kepada pimpinan PAS merakamkan: "Dr Lo'Lo' antara pejuang PAS yang tak pernah abaikan SMS saya. Dia tetap membalas, kadang-kadang sampai berdebat. Debat membina. Terasa benar kehilangan kakak srikandi muslimah sejati."

Takziah buat Dr Amin dan keluarga. Dr Lo'Lo' tetap di hati kami. Dan secara peribadi saya merasakan obor semangatnya tidak pernah padam, termasuk membekalkan kekuatan buat saya berdepan sekelumit rintangan ...


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/4528-legasi-srikandi-gerakan-islam-di-tengah-kota-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...