Friday, July 29, 2011

Sultan Azlan: Polis kena lebih bijak

Posted by admin on July 28th, 2011

Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah fenomena mencabar autoriti yang kini menjadi norma dalam budaya hidup generasi muda baru di negara ini perlu difahami serta ditafsirkan dengan bijak supaya dapat menggubal langkah-langkah untuk menghadapinya. Baginda bertitah kegagalan memahami senario itu secara tepat dan ditafsirkan secara bijak akan mencetuskan konflik antara organisasi yang melambangkan autoriti dengan konstituen yang dipertanggungjawabkan kepada pasukan polis.

“Pasukan (polis) kini berada dalam era yang memerlukan kebijaksanaan mengimbangkan antara tugas menguatkuasakan undang-undang dengan tuntutan pihak awam yang mempercayai mereka memiliki hak-hak tertentu menurut Perlembagaan dan undang-undang negara,” titah baginda ketika merasmikan pangkalan latihan Unit Udara Polis di sini, Khamis.

Titah baginda pada masa yang sama individu dan organisasi yang berhasrat memperjuangkan sesuatu isu turut mempunyai tanggungjawab terhadap negara dan masyarakat.

Mereka turut mempunyai tanggungjawab sosial dan undang-undang untuk bersifat adil kepada pasukan polis serta terhadap negara, titah baginda.

Sultan Azlan bertitah peraturan dan undang-undang yang digubal bertujuan menjamin wujudnya keharmonian dalam kehidupan harian rakyat oleh itu adalah penting jalinan persefahaman dan kerjasama antara jentera kerajaan dan rakyat serta pentingnya sikap menghormati undang-undang.

Baginda bertitah masyarakat di era pada masa sekarang adalah berbeza dengan masyarakat pada era pra dan pasca merdeka.

“Masyarakat kini sedang melalui proses perubahan yang berlaku pada kadar yang sangat pantas dan tuntutan untuk melakukan perubahan juga semakin bertambah. Tuntutan melakukan penambahbaikan adalah lumrah apatah lagi apabila masyarakat bertambah celik, terpelajar, maju dan terdedah,” titah baginda.

Titah baginda, tuntutan kepada penambahbaikan yang sedang dihadapi merupakan satu cabaran kepada mana-mana pihak berkuasa dan mana-mana kerajaan di dunia.

Ia memerlukan kebijaksanaan pihak berkuasa dan kerajaan untuk menilai, mentafsir dan memahami situasi yang sedang berlaku, titah baginda.

Pangkalan Latihan Unit Udara Polis di sini merupakan pangkalan latihan pertama bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negara ini bagi melatih pegawai polis sebagai juruterbang Unit Udara dengan memperoleh Lesen Penerbangan Persendirian serta melatih anggota polis sebagai Pemerhati Udara.

Pangkalan yang dibina dengan kos RM109 juta ini juga bertanggungjawab menjalankan kursus peralihan dan lanjutan bagi semua juruterbang dan pemerhati udara untuk semua pesawat operasi serta kursus dalam perkhidmatan bagi semua anggota dan pegawai awam Unit Udara Polis.

Kompleks yang siap pada 10 Ogos 2010 dan memulakan operasinya pada 1 Mac lepas itu dilengkapi bangunan pentadbiran, kelas kuliah, auditorium, asrama, sembilan unit rumah pegawai, hangar, dewan serbaguna serta kemudahan sukan.


http://www.kl-today.com/2011/07/sultan-azlan-polis-kena-lebih-bijak/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...