There was an error in this gadget

Friday, July 29, 2011

Rosmah enggan layan,anggap fitnah

Posted by admin on July 29th, 2011

Setelah dua minggu khabar angin bertiup kencang tentang pembelian cincin bernilai RM24 juta, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akhirnya bersuara dan menyifatkannya sebagai satu fitnah dan tidak ada masa mahu melayannya. “Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh).
“Ini bukan perkara seronok-seronok, ini adalah fitnah…. apa yang saya tidak rasa? Semua saya sudah rasa (difitnah).

“Justeru, daripada saya layan perkara seumpama ini lebih baik saya beri perhatian kepada hal rakyat kerana itu lebih penting,” katanya Pokok Sena, Kedah, semalam dan dipetik Berita Harian Online hari ini.

14 Julai lalu, pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembelian sebentuk cincin oleh Rosmah.

Menurutnya berdasarkan maklumat yang diterima SAMM, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke negara ini.

Badrul Hisham berkata beliau juga mempunyai salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Shaharin tidak percaya isteri Perdana Menteri itu membeli cincin RM24.45 juta, hanya untuk tujuan pameran ‘sulit’.“Kalau diikutkan dengan sifat Rosmah yang sukakan publisiti besar-besaran tentang apa jua yang melibatkan beliau, takkanlah beliau hendak mempamerkan cincin jutaan ringgit di Pameran yang Sulit?,” kata Badrul atau lebih popular dengan nama Chegu Bard.

Sebelum ini, sebuah blog, Edyesdot.com mendedahkan bahawa pameran sulit tersebut berlangsung pada 17-19 April 2011, di sebuah tempat yang turut dirahsiakan.

Berlian itu kemudian dibawa ke Singapura empat hari selepas itu dengan menggunakan borang K2 yang dikeluarkan Kastam di Raja Malaysia sebagai bukti pengeluaran.

Namun borang tersebut menimbulkan banyak keraguan termasuk status pegawai yang menurunkan tandatangan ke atas borang kastam berkenaan.

Satu borang dikeluarkan yang dinamakan K2 oleh pihak Kastam di Raja Malaysia, bagi membuktikan berlian berkenaan dibawa keluar ke Singapura selepas empat hari memasuki negara ini. Borang K2 yang ditandatangani oleh Pegawai Kastam bernama Abd Najid Razak.

Namun menurut blogger itu, pegawai tersebut sebenarnya bertugas di Cawangan Perkhidmatan/Latihan (Latihan) yang bertempat di Aras 9 Selatan, Kastam Putrajaya berdasarkan cop yang bertindan pada borang itu.

Menurutnya, beliau mengesahkan maklumat itu yang dikenalpasti dari laman web rasmi Kastam Diraja Malaysia yang dikemaskini hingga Julai 2011.

“Saya telah membuat pemeriksaan dilaman portal rasmi, dan walaupun dengan maklumat yang terhad. Maklumat tentang pegawai yang diragui itu dapat dikesan,”

“Ini kerana tidak munasabah, seorang pegawai yang jelas namanya bertugas di Putrajaya menurunkan tandatangan ke atas borang K2 tersebut yang berada di KLIA,” kata penulis blog itu.

Rosmah yang berada di Kedah mengiringi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri itu semalam diminta mengulas dakwaan pembelian cincin bertatahkan berlian itu.

Katanya, sebagai isteri Perdana Menteri yang mempunyai kelulusan dan kelayakan lebih wajar baginya untuk menyumbang kepada usaha membantu rakyat termasuk usaha memantapkan pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar.

“Saya lebih senang dengan apa yang saya lakukan sekarang bagi membantu rakyat terutama dalam hal memperkasa pendidikan awal kanak-kanak terutama di luar bandar kerana bagi saya ilmu adalah harta paling bernilai untuk masa depan mereka,” kata Rosmah.

Malaysiakini baru-baru ini ada menghubungi Airoceanic Express Sdn Bhd – yang didakwa agen bagi urusniaga tersebut. Bagaimanapun syarikat berkenaan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.



http://www.kl-today.com/2011/07/rosmah-enggan-layananggap-fitnah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...