SAYA menerima undangan dari pejabat Tengku Razaleigh Hamzah, untuk menghadiri majlis pelancaran NGO baru, iaitu Amanah Warisan Merdeka (Amanah) yang diadakan pada 22 Julai 2011, di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur.
Sewaktu undangan dikemukakan, juga terbaca beberapa laporan sebelum ini, saya agak kabur dan tidak pasti NGO apakah yang hendak dilancarkan Ku Li. Apa matlamatnya, siapa keanggotaannya, semuanya bermain di benak kepala.
Saya bersama beberapa rakan dari Harakah tiba di Memorial Tunku kira-kira jam 9.30. Kami melihat tempat letak kenderaan sudah penuh. Ramai yang terpaksa parking berlapis dan ada yang terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari dewan di mana majlis dijadual berlangsung.
Kami disambut Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Beliau agak gembira apabila kami memperkenalkan diri, dari Harakah.
Saya melihat ramai Tan Sri, Dato' Seri, Dato' dan orang-orang kenamaan. Mereka terdiri daripada bekas Menteri, bekas Ketua Menteri, bekas Timbalan Ketua Menteri, bekas Timbalan Menteri, bekas-bekas Ahli Parlimen. Kesemuanya bekas-bekas pemimpin Barisan Nasional.
Yang mewakili pembangkang hanya dua orang, iaitu Naib Presiden KeADILan, Nurul Izzah Anwar dan Presiden Kita, Dato' Zaid Ibrahim.
Dalam dewan memorial yang sederhana besarnya, sesak dengan tetamu yang hadir. Mereka jelas menunjukkan minat untuk mengetahui NGO baru yang hendak dilancarkan.
Diperkenalkan kepada hadirin pemimpin utama Amanah seorang demi seorang. Ada wakil (bekas pemimpin yang masih menjadi ahli parti) dari Umno, MCA, MIC, Gerakan, wakil Sabah dan Sarawak. Kesemua mereka dari pelbagai kaum dan agama.
Kelihatannya seolah-olah NGO Amanah ini mengamalkan prinsip sebenar 1Malaysia.
Mereka memilih majlis pelancaran diadakan sebagai simbolik untuk menghidupkan kembali seruan Bapa Kemerdekaan yang mahu rakyat Malaysia bersatu sebagai sebuah keluarga, jujur dan ikhlas dalam muafakat, mengelakkan persengketaan dan tolong menolong antara satu sama lain tanpa mengambil kira latar belakang, kaum mahupun agama.
Sebagai peneraju utama Amanah, Ku Li lantas menafikan ianya bukan gerakan protes terhadap kerajaan, bukan juga hendak bermain politik.
Tetapi menurut Ku Li, Amanah ditubuhkan untuk menyedarkan warga Malaysia supaya tidak berpeluk tubuh, tidak menyerah dan tidak pasif terhadap buruk laku, rasuah, kronisme dan krisis perkauman yang berlaku dalam negara.
Kata Ku Li, Amanah mahu menyampaikan kehendak hati mereka kepada pihak berkuasa dengan cara tertib dan demokratik sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan negara.
Apa yang dipertegaskan Ku Li, pada saya, ianya saya hormati kerana itu cara beliau dalam menangani segala permasalahan dalam negara. Cara kita, cara Pakatan Rakyat sudah tentu berbeza.
Namun kita mempunyai hasrat yang sama, cuma pendekatan sahaja berbeza. Persoalannya apakah pendekatan yang diambil Ku Li dan rakan-rakannya, mampu memberikan impak?
Ya, kita akui, kita harus bertindak berdasarkan Perlembagaan dan membuat teguran berdasarkan ruang yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Namun apakah yang hendak Ku Li harapkan kepada kerajaan Umno-BN yang sudah terlalu banyak melanggar tata etika Perlembagaan?
Ku Li dan rakan-rakannya harus ingat bahawa tidak ada siapa (khususnya Pakatan Rakyat) yang mahu melanggar Perlembagaan, yang kita tentang ialah kerajaan yang menyebabkan kedudukan Perlembagaan tunggang langgang.
Daripada pemerhatian saya, apa yang pasti, Amanah digerakkan majoritinya oleh bekas-bekas pemimpin yang masih menganggotai parti-parti komponen BN.
Mereka begitu kritis dengan kerajaan, tetapi mereka tidak berani bersuara seperti Pakatan Rakyat. Mereka hendakkan reform dalam negara, tetapi mereka adalah Bersih versi elit. Iaitu golongan yang tidak berani turun ke jalan raya.
Tidak dinafikan beberapa hasrat yang dinyatakan Ku Li dan Kadir dalam ucapan mereka berkisar kepada persoalan yang sama dibangkitkan Pakatan Rakyat.
Hasrat Amanah adalah hasrat yang murni. Pendekatan yang mahu diambil Amanah adalah pendekatan yang berhemah. Ya, ianya sesuatu yang noble.
Namun, harus ditanya Ku Li dan rakan-rakannya, golongan manakah yang akan menyokong NGO baru seperti Amanah yang dilancarkannya?
Amanah sudah tentu tidak akan se-agresif Perkasa. Amanah tidak se-rasis Perkasa. Perkasa tidak ramai penyokong. Hanya dua tiga kerat sahaja. Amanah barangkali akan mendapat penyokong yang lebih.
Persoalannya yang hendak dilontarkan kepada Ku Li dan rakan-rakan ialah, siapakah sasaran kempen mereka? Kepada siapakah mesej mereka hendak disampaikan.
Ku Li dan rakan-rakan tidak sesekali boleh mengharap media arus perdana yang senantiasa menjadi hamba kepada goverment of the day. Ku Li sendiri dan beberapa orang rakannya dalam Amanah, pernah 'dibakul sampahkan' kerana agak kritis dengan kerajaan.
Dengan lain bahasa, no way NGO tajaan Ku Li akan mendapat tempat di dada media arus perdana, kerana mereka tidak sealiran dengan BN.
Sasaran Amanah juga bukan pendukung Pakatan Rakyat. Bukan juga pendukung perjuangan Bersih. Pakatan Rakyat dan Bersih adalah penentang tegar kemungkaran Umno-BN. Tidak ada maknanya Amanah berkempen kepada rakyat yang mendukung perjuangan Pakatan Rakyat.
Justeru Ku Li dan rakan-rakannya tidak ada pilihan selain berkempen untuk menarik seramai mungkin anggota BN dan menyedarkan mereka tentang salah laku yang berlaku dalam negara.
Tidak dinafikan Ku Li seorang pemimpin yang jujur dan ikhlas, seorang anak Raja yang sanggup turun berjuang untuk kepentingan rakyat. Namun kejujuran dan keikhlasan tidak memberi apa-apa makna, jika perjuangannya tidak disokong.
Amanah tidak akan dilihat mempunyai kredibiliti jika ia gagal menarik sokongan dari dalam BN. Pada pandangan saya secara peribadi, Amanah akan lebih disokong rakyat, akan jadi lebih credible jika ia menggabungkan dirinya dengan Pakatan Rakyat.
Kita berganding bahu dalam menjalankan tugas. Pakatan Rakyat sudah mempunyai 48 peratus undi rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008. Ku Li dan rakan-rakannya dalam Amanah, harus mencari antara tiga hingga lima peratus sahaja undi dari kalangan penyokong BN.
Moga dengan kerjasama kita menghapuskan kemungkaran politik dalam negara, akan mengembalikan negara ke landasan yang sebenar. Kepada Amanah, saya ucapkan selamat berjuang!
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/4531-persoalan-kritikal-untuk-tengku-razaleigh
No comments:
Post a Comment