There was an error in this gadget

Friday, July 29, 2011

Lynas : Perjuangan rakyat menentangnya

Huzir Sulaiman

Dua tahun sudah berlalu, Ahli Parlimen Kuantan Hjh.Fuziah Salleh dari PKR secara solo cuba menentang Lynas daripada bertapak di Gebeng Kuantan. Namun beliau dikatakan gagal. Namun saya tidak fikir begitu.

Selepas perhimpunan bersama penduduk dari Bandar Kuantan pada 20hb Mac 2011 yang lalu, sambutan cukup menggalakkan sehingga pada hari yang sama, 1500 tandatangan berjaya dikumpul dalam masa 2 jam sahaja dan diikuti dengan perhimpunan rakyat khususnya dari Kuantan di Parlimen kemudiannya sebagai bantahan kepada hasrat Kerajaan Negeri Pahang dan Persekutuan untuk membenarkan Lynas daripada mula beroperasi pada bulan September atau November tahun ini di Kawasan Perindustrian Gebeng Kuantan di mana terletaknya juga kepentingan pelaburan lain kepada negara seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals, syarikat Petro-Kimia yang besar di pantai timur negara dengan pelaburan yang hampir mencecah ratusan juta ringgit.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam tulisan beliau di Harakah baru-baru ini, memaklumkan kesan loji nadir bumi di Bukit Merah 20 tahun yang lalu masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan sisa radioaktif sebanyak RM300 juta sehingga ke hari ini, termasuk dikaitkan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kematian. Syarikat yang dimiliki oleh Mitsubishi Chemical itu telah ditutup pada tahun 1992 selepas mendapat protes dan bantahan daripada pihak awam.

Di Kemaman Terengganu, poster menentang Lynas dilihat terpampang di semua Markas Parti Islam Semalaysia (PAS) sebagai usaha membantah keputusan Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan yang dilihat seolah-olah membelakangkan keselamatan dan kesihatan rakyat serta impak negatif kepada persekitaran demi mengejar keuntungan wang ringgit semata-mata kerana mungkin terdesak dengan laporan Merrill Lynch, Bank of America, melalui tinjauan ‘Fund Managers’ mereka bahawa kedudukan Malaysia sebagai pilihan pelaburan rantau Asia telah jatuh ke kedudukan tercorot berbanding negara lain.

Saya juga melihat, Kerajaan Persekutuan seolah-olah cuba mengambil peluang daripada jangkaan penurunan export nadir bumi atau ‘rare earth’ China dari 72% kepada 37% pada tahun ini. China merupakan pembekal nadir bumi terbesar dunia sebanyak 95% dan penurunan export itu menyebabkan beberapa syarikat nadir bumi seperti Lynas berlumba-lumba untuk meningkatkan pengeluaran masing-masing kesan daripada pengurangan bekalan dunia itu yang banyak digunakan di dalam industri berteknologi tinggi seperti Smartphone, Kereta hybrid, Skrin LCD dan Komputer khususnya di Amerika Syarikat dan di Jepun.

Kita tahu, kebocoran radiasi di Fukushima mendesak kerajaan negeri Jepun yang dikatakan cukup maju dalam pengurusan bencana untuk melebarkan kawasan evakuasi dari 16KM kepada hampir 40KM termasuk mengisytiharkan tahap 7 kebocoran radiasi, sama seperti yang dialami di Chernobyl Ukraine pada tahun 1986 yang telah meragut hampir 200,000 ribu kematian akibat kanser seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace ketika itu.

40KM kawasan evakuasi jika diambil kira dari Gebeng Kuantan, lokasi pusat pemprosesan nadir bumi Lynas akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang.

“Saya membantah Lynas kerana kesan negatifnya kepada penduduk setempat khususnya kepada keselamatan, kesihatan dan harta benda kami sekeluarga. Membenarkan Lynas untuk beroperasi akan menyebabkan nilai hartanah merudum teruk kerana tiada siapa yang mahu tinggal berdekatan Lynas. Banyak syarikat yang berdekatan termasuk Pusat Pelancongan terkemuka Cherating akan terjejas. Mereka yang kaya mempunyai pilihan untuk berpindah tetapi kami yang tidak kaya, tidak akan berupaya untuk berpindah. Hanya ini sahaja harta benda yang kami ada dan kami tidak yakin dengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memastikan Lynas kekal selamat untuk beroperasi dalam tahun yang mendatang kerana masalah bumbung Parlimen yang bocor pun tidak dapat mereka selesaikan, inikan pula Lynas. Malah, Jaminan 100% tidak akan dapat menyakinkan kami. Jika keputusan mereka selepas ini ialah untuk terus membenarkan Lynas beroperasi, kami, seluruh rakyat Kuantan dan Malaysia akan terus komited untuk menukar mereka dari terus memerintah negara ini di PRU-13 nanti”, amaran keras dari sahabat saya Mr.Alex yang berbangsa Cina yang kini sedang menetap di Kuantan Pahang.

Kuantan yang kini dikenalpasti sebagai Zon Ekonomi Khas atau ‘Special Economic Zone (SEZ)’ di bawah ECER (East Coast Economic Region) dijangka akan menghasilkan hampir RM 90 Billion pelaburan dan RM23 Billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk menyediakan hampir 200,000 ribu peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Saya berharap Jawatankuasa Khas Pelaburan ECER yang dianggotai oleh MOF, MITI, MIDA dan Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan implikasi Lynas kepada kesihatan, keselamatan dan persekitaran rakyat Malaysia dan tidak gelap mata dengan pelaburan infrastruktur Lynas hampir RM700 juta di kawasan itu dan potensi nilai pengeluaran Lynas yang dijangka sekitar RM5 Billion pada tahun pertama dan RM8 Billion pada tahun yang ke-2 dan seterusnya.

Saya ragu-ragu, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi (MOSTI) yang pastinya duduk di bawah telunjuk Kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pelaburan Lynas sebanyak itu dan potensi keuntungan tinggi kepada ekonomi negara khususnya kepada SEZ ECER akan berpihak kepada rakyat Kuantan dan Kemaman khususnya untuk tidak membenarkan Lynas beroperasi walaupun kajian semula sedang dilakukan selama sebulan oleh panel yang dikatakan bebas dengan dibantu oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Lebih-lebih lagi, kenyataan wakil syarikat Lynas yang cukup yakin bahawa panel bebas itu akan berpihak kepada mereka.

Saya juga bertambah ragu apabila Kerajaan Persekutuan bercadang untuk membuka 2 lagi reaktor nuklear di mana salah satunya dicadangkan untuk dibuka di Temerloh Pahang dan berkemungkinan, sumber tenaga atau ‘fuel’ yang akan digunakan untuk menjana reaktor nuklear itu adalah dari sisa thorium yang dihasilkan oleh Lynas.

Saya tidak pasti AELB akan bersikap telus dalam kajian semula itu lebih-lebih lagi hanya RM50 juta sahaja denda yang akan dikenakan kepada Lynas untuk setiap kebocoran radiasi daripada potensi pendapatan atau ‘revenue’ RM8 Billion Lynas yang dijangka diperolehi pada tahun 2013 dan tahun seterusnya sedangkan kebocoran radiasi itu walaupun hanya sekali mampu memberi impak yang cukup besar dan tidak ternilai kepada kesihatan, keselamatan dan persekitaran penduduk dan syarikat berdekatan. RM50 juta denda kepada Lynas adalah ibarat ‘kacang putih’ tetapi kemudaratan yang mungkin berlaku akan mengambil berpuluh malah beratus tahun untuk dipulihkan seperti yang berlaku kini di Bukit Merah dan di Chernobyl.

Saya pasti tiada jaminan 100% keselamatan dari Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Kuantan dan Kemaman khususnya. Risiko kebocoran radiasi dari Lynas berpotensi masih ada walaupun kecil, kesannya cukup besar.

Kita juga tahu, kadar pertumbuhan penduduk di Kuantan adalah yang terbesar di pantai timur pada kadar 3.88 seperti yang dilaporkan oleh World Gazetter. Sejauh mana semua ini diyakini akan terus selamat dan kekal akan terus dipersoalkan oleh seluruh rakyat Malaysia khususnya di Kuantan dan Kemaman jika Lynas atau syarikat lain yang dikaitkan dengan pemprosesan atau pengurusan bahan radioaktif ini dibenarkan untuk bertapak dan beroperasi di negara ini menjelang suku ke-3 atau ke-4 tahun ini.

Kita tahu kesan radiasi kepada tubuh badan manusia seperti kanser tiroid, kanser tulang, kanser paru-paru, kanser usus, kanser pundi kencing, kanser otak, kanser buah pinggang, kanser buah dada dan leukemia.

Malah ia juga boleh menyebabkan hilangnya selera makan, lemah, demam, sawan, loya, muntah, cirit birit, rosaknya tulang sum-sum dan juga kesan alahan dan kanser kepada kulit manusia termasuk impak yang besar kepada sumber air, binatang ternakan, sayur dan pelbagai sumber makanan lain jika berlakunya kebocoran radiasi.

Peristiwa kebocoran radiasi yang sedang dialami Jepun dan sejarah hitam di Toyama Pulau Honshu kerana sikap tidak bertanggungjawab Syarikat Kamioka Mines seharusnya mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan bahan radioaktif.

Sejauh mana Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan dapat memberi jaminan 100% bahawa Lynas akan sentiasa bertanggungjawab?

Malaysia lebih selamat tanpa Nadir Bumi atau ‘Rare Earth’. Perjuangan yang menuntut setiap rakyat Malaysia untuk berjuang demi masa hadapan anak dan cucu kita.

Marilah bersama Pakatan Rakyat!. Katakan TIDAK pada LYNAS!!!.

LAPORAN BERKAITAN

Lynas : Apa yang perlu anda ketahui

Penduduk Kuantan resah dengan Lynas

Lynas: Badar mahu jumpa Adnan


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/depth/4564-lynas--perjuangan-rakyat-menentangnya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...