Friday, August 5, 2011

Cubaan jatuhkan Najib dalam UMNO?

Posted by admin on August 4th, 2011

PAS mendakwa wujud gelombang besar dalam Umno sendiri yang mahu menggulingkan Datuk Seri Najib Razak ekoran kebimbangan bahawa Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) dalam mengekalkan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13. Bagaimanapun parti itu berkata Najib memang sedar tentang usaha sedemikian tetapi enggan meletakkan jawatan kerana bertegas mahu mengetuai BN menghadapi pilihan raya umum, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar)berkata, itu sebabnya Umno sengaja mewujudkan khabar angin konon pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

“Ada gerakan serius yang meminta supaya Najib berundur daripada (jawatan) perdana menteri.

“Najib dan Rosmah dilihat liabiliti kepada BN kerana pada waktu ini ia memberi kesan negatif kepada pilihan umum akan datang,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan wujudnya ‘pertemuan sulit’ antara Menter Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang.

Mustafa mendakwa isu pertemuan tersebut sengaja dibangkitkan bagi mengalih isu dalaman Umno iaitu gerakan menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri yang disifatkan setiausaha agung PAS itu sebagai “agak serius”.

Mustafa bagaimanapun enggan mendedahkan identiti gerakan tersebut walaupun dipujuk pemberita berkali-kali tetapi mengesahkan wujud ‘gerakan’ tersebut dan ianya “agak kuat”.

“Ia bukan perang psikologi, tapi ia memang betul… Tunggu satu atau dua minggu lagi akan lebih nyata (kedudukannya),” katanya.

Ditanya mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa Penawar – sekumpulan bekas ahli parlimen Umno yang diketuai bekas menteri kabinet Tan Sri Aziz Shamsuddin – mengetuai gerakan tersebut, Mustafa berkata:

“Saya tidak tahu, saya tidak boleh mengesahkannya. Boleh jadi sama. Saya tidak mahu mengesahkannnya”.

Mustafa mendakwa Najib yang juga presiden Umno menyedari kewujudan gerakan tersebut.


http://www.kl-today.com/2011/08/cubaan-jatuhkan-najib-dalam-umno/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...