Friday, August 5, 2011

Kadar Melayu Pulau Pinang semakin susut

Posted by admin on August 4th, 2011

Masyarakat Melayu di Pulau Pinang semakin berkurangan iaitu daripada 654,300 orang pada 2009 kepada 636,136 pada tahun lalu.Sebaliknya, kaum Cina kini sah merupakan kaum majoriti di negeri ini selepas merekodkan kependudukan sebanyak 42.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri tersebut, ataupun 2.2 peratus melebihi kaum Melayu. Menurut laporan terkini Bahagian Statistik dari Jabatan Perangkaan, bilangan orang Cina di Pulau Pinang ialah 670,400 orang berbanding dengan 639,136 orang Melayu pada tahun lalu.

Dari segi peratusan, kaum Cina merangkumi 42.9 peratus daripada 1.5 juta penduduk di Pulau Pinang, diikuti oleh kaum Melayu dengan 40.7 peratus dan kaum India (9.8 peratus).

Lain-lain bangsa yang terdiri daripada bukan warganegara dan Bumiputera pula merekodkan 6.6 peratus daripada jumlah penduduk.

Laporan bertajuk Taburan Penduduk dan Sifat-Sifat Asas Demografi 2010 itu adalah berdasarkan banci yang dijalankan di seluruh negara pada tahun lalu.

Pada 2009, penduduk Melayu adalah sebanyak 654,300 orang, melebihi orang Cina seramai 651,600 atau perbezaan sebanyak 0.1 peratus.

Ia turut menyatakan masyarakat India meningkat daripada 153,100 orang kepada 155,600 orang pada 2009.

Penduduk Pulau Pinang berkurangan sebanyak satu peratus berbanding dengan tahun lalu.

Kumpulan pada peringkat umur 25 hingga 29 tahun mempunyai bilangan penduduk paling ramai iaitu 151,735 orang.

Bilangan lelaki melebihi wanita di negeri tersebut dengan lelaki mencatatkan sebanyak 782,061 orang manakala wanita (779,322 orang).

Laporan tersebut boleh diperoleh di laman web jabatan http://www.statistics.gov.my/portal/index.phpoption=com_content&view=article&id=363&Itemid=149&lang=en#8.

Sementara itu, Setiausaha MCA negeri, Lau Chiek Tuan berkata, peningkatan penduduk Cina di negeri ini berkemungkinan berpunca daripada lebih ramai yang berhijrah ke negeri tersebut.

“Peluang pekerjaan di Pulau Pinang berkemungkinan merupakan salah satu faktor migrasi ke negeri tersebut selain peningkatan mereka yang dilahirkan di negeri tersebut,” katanya.

Tambahnya, lebih banyak orang Melayu berhijrah ke negeri lain turut menyumbang kepada penurunan saiz kaum tersebut di Pulau Pinang.


http://www.kl-today.com/2011/08/kadar-melayu-pulau-pinang-semakin-susut/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...