Friday, August 5, 2011

LPK tiada kewangan kukuh untuk beli tanah

Ogos 4, 11 9:34pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk membuat pembelian tanah seluas 830 ekar bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Mukim Klang.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata berikutan itu Kementerian Pengangkutan dicadangkan untuk membeli tanah berkenaan dan menyewakannya kepada LPK.

"LPK tidak mampu untuk membeli tanah berkenaan kerana tidak mempunyai dana yang mencukupi, sekiranya LPK membeli tanah tersebut kedudukan kewangan LPK akan menjadi lebih teruk," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah.

Saksi keempat pendakwaan bagi perbicaraan kes Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik itu memberitahu walaupun kerajaan memberikan subsidi sebanyak 50 peratus untuk pembelian tanah itu, LPK masih tidak mampu membelinya kerana ia masih dalam defisit.

Selain itu, Abdul Rahman memberitahu bahawa LPK turut dicadangkan untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan berhubung pembelian tanah tersebut.

Katanya menerusi satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Penyelarasan Syarikat MKD, Kementerian Kewangan, Abdul Rahim Mokti menyatakan LPK dicadangkan untuk membuat pinjaman daripada kerajaan bagi pembelian tanah berkenaan.

"Menerusi satu mesyuarat berhubung cadangan untuk membeli tanah seluas 830 ekar di Pulau Indah dari Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dihadiri oleh saya di Kementerian Kewangan yang mana mesyuarat itu dipengerusikan oleh Abdul Rahim pada 2 November 2000 ada membincangkan mengenai pembiayaan kerajaan untuk beli tanah itu," katanya.

Abdul Rahman berkata beliau telah memaklumkan mengenai mesyuarat tersebut kepada Dr Ling menerusi satu surat bertarikh 6 November 2000.

Terdahulu itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan berhasrat untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pusat pemuggahan utama untuk semua kargo dari Malaysia.

Beliau menambah atas sebab itu kerajaan berhasrat membeli tanah seluas 830 ekar tersebut berbanding 400 ekar yang ditawarkan oleh penjual (KDSB).

"Tawaran pertama KDSB untuk pembelian tanah itu ialah seluas 400 ekar, namun LPK tidak menerimanya disebabkan keluasan tanah yang terlalu kecil untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab utama," jelasnya.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam menentukan nilai kadar
RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172042

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...