Friday, August 5, 2011

Tukar warganegara: Penjelasan JPN meragukan

Nazri Abdullah KUALA LUMPUR, 4 Ogos: PAS mempersoalkan kenapa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil masa sehingga 7 bulan mengemaskini data barunya yang melibatkan pertukaran status penduduk tetap kepada warga negara.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, adalah sangat mencurigakan apabila begitu lama masa diambil JPN mengemaskini datanya apatah lagi berlaku sekaligus terhadap ribuan penduduk tetap semalam

"Macamana sudah 7 bulan, sistem baru update. Bukan satu pulak tu, beribu data sekaligus.

"Tak kan semua datang ambik kad sama-sama pada satu masa. Ini sesuatu yang meragukan," katanya yang juga Pengerusi Pemulihan dan Mobilisasi Pemuda PAS.

Beliau mempersoal demikian sebagai membidas penjelasan Ketua pengarah JPN, Datin Jariah Mohd Said berhubung pendedahan pertukaran status individu bernama Mismah, daripada penduduk tetap kepada warganegara hanya dalam masa empat jam.

Jariah dalam kenyataannya semalam berkata, Mismah sebenarnya telah mendapat taraf penduduk tetap pada 17 Julai 1982 dan telah diluluskan taraf kewarganegaraan Malaysia pada 31 Januari 2011.

Namun yang mengejutkan banyak pihak semalam apabila Mismah yang dikesan berstatus penduduk tetap dalam senarai JPN didaftar sebagai pengundi di Ijok.

Selepas Malaysiakini melaporkan isu tersebut pada pagi semalam, semakan sebelah petang ke atas nama Mismah menunjukkan status beliau sudah bertukar menjadi warganegara.

"Ini yang kita ragui dengan penggunaan sistem biometrik. Data JPN tidak diupdate dan SPR terima bulat-bulat," kata Suhaizan lagi.

Sehubungan itu juga Dewan Pemuda PAS mahu mana-mana individu yang mengenali Mismah yang bernombor kad pengenalan 640704715238 dan mengudi di Dun Ijok, agar dapat menghubungi mereka.

Kediaman Mismah beralamat di No 12A, Desa Coalfields, Tuan Mee, ijok, Kuala Selangor.

Selain Mismah, 52 lagi kes serupa di kesan oleh PAS Titiwangsa.

Mereka pagi semalam mahu menyerahkan memorandum kepada JPN ekoran mendapati 52 penduduk tetap didaftar sebagai pengundi.

Ketika sampai ke JPN, kesemua nama yang dilampirkan itu bagaimanapun telah bertukar status menjadi warganegara.

Selain kes itu, PAS juga mendedahkan 1,597 lagi pengundi dalam draf daftar pemilih tambahan bagi pemilih berdaftar sehingga akhir bulan Jun, yang disenaraikan di laman web JPN sebagai penduduk tetap.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4723-tukar-warganegara-penjelasan-jpn-meragukan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...