Friday, January 9, 2009

Hizbollah bedil roket ke Israel


SEORANG kanak-kanak Palestin memakan sebuku roti sambil membawa anak patung semasa menyertai demonstrasi membantah misi ketenteraan Israel di Tebing Barat semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

BAITULMAQADIS - Pejuang Hizbollah di Lebanon melancar tiga roket ke wilayah utara Israel semalam sekali gus meningkatkan ancaman tercetusnya peperangan baru antara kedua-dua pihak.

Serangan roket itu menyebabkan beberapa kediaman rosak ketika askar Israel meneruskan serangan ganas di Gaza yang kini meragut lebih 700 penduduk Palestin.

Operasi ketenteraan Israel itu turut menyebabkan ramai penduduk awam cedera.


SEKUMPULAN penduduk Palestin melihat sebuah masjid yang runtuh setelah dibedil pesawat pejuang Israel di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Tentera Israel kemudiannya melancarkan siri serangan mortar ke wilayah Lebanon sebagai membalas serangan roket tersebut.

Pihak berkuasa Israel berkata tiada kecederaan serius dilaporkan dan serangan tersebut meningkatkan lagi ketegangan antara rejim Zionis dengan kumpulan Hizbollah.

Satu roket yang dilancar Hizbollah menembusi atap sebuah rumah jagaan orang-orang tua di bandar Nahariya, lapan kilometer dari sempadan Israel sebelum meletup di bahagian dapur.

Sementara itu, kerajaan Lebanon mengecam serangan roket ke atas Israel tersebut dan berjanji untuk mencari pihak yang bertanggungjawab.


SEORANG remaja perempuan menagis setelah menemui bapanya mati dibom
tentara Israel di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Peperangan antara Israel dan Hizbollah tercetus pada 2006 bagaimanapun pertempuran selama 34 hari itu tamat apabila rejim Zionis mengumumkan gencatan senjata.

Peperangan antara Israel dan kumpulan Hizbollah itu juga tercetus ketika tentera rejim Zionis sedang melancarkan satu operasi ketenteraan di Gaza.
- AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Syarat saman tali keledar belakang boleh dibatalkan


Oleh SAHLIZAH MOHAMED
sahlizah.mohamed@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Jika anda disaman, baik oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana kenderaan tidak dipasang dengan tali keledar penumpang belakang, ia akan dibatalkan.

Ini kerana saman tidak boleh dikeluarkan jika penumpang belakang tidak mempunyai tali keledar untuk dipakai manakala pemandu pula diberi tempoh sehingga 31 Disember 2011 untuk memasang peralatan tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, surat saman itu boleh diserahkan untuk pembatalan kepada pihak berkuasa yang mengeluarkannya.

"Kemungkinan perkara itu terjadi kerana masalah komunikasi.

"Tapi kalau ada tali keledar belakang dan penumpang tak pakai, memang wajar kena saman,"
katanya kepada Kosmo! bagi memperjelaskan kekeliruan yang masih timbul di kalangan pemandu mengenai peraturan yang berkuat kuasa 1 Januari lalu itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

Pak Ungku kecewa, letak jawatan YDP Angkasa


KUALA LUMPUR - Tunduk kepada pelbagai desakan akibat kemelut yang melanda Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Profesor Diraja Ungku Aziz (gambar) akhirnya meletak jawatan sebagai Yang Dipertua organisasi itu yang dipimpinnya sejak 38 tahun lalu.

Beliau mengumumkan peletakan jawatannya itu menerusi satu kenyataan ringkas semalam.

Pada masa yang sama, beliau yang juga dikenali sebagai Pak Ungku tidak mahu lagi dicalonkan semula untuk jawatan yang sama pada persidangan kebangsaan tahunan Angkasa di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok.

Ungku Aziz ketika memberitahu Bernama semalam berkata, beliau tidak didesak meletak jawatan tetapi kecewa kerana siasatan dakwaan penyelewengan wang dalam Angkasa gagal diselesaikan.

"Ini seratus peratus keputusan saya. Sudah dua bulan saya fikir benda (letak jawatan) ini dan saya nampak tiada jalan lain, selain letak jawatan,'' katanya.





Israel perlu dipaksa keluar Gaza - PM


PELANGGAN sebuah kedai runcit di Keramat, Kuala Lumpur, Aktilah Ariffin mencari minuman sambil melihat poster boikot produk keluaran Amerika dan Yahudi yang ditampal oleh pengusahanya.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Sebarang resolusi oleh Perhimpunan Agung Khas Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB) dalam sidang khasnya hari ini (kira-kira 5.30 pagi waktu Malaysia) di New York perlu memastikan Israel dipaksa keluar dari bumi Gaza, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon kerana mengadakan sesi itu yang disarankan oleh banyak negara termasuk Malaysia, beliau berkata, Amerika Syarikat tidak harus menghalang apa-apa usul yang bakal menyentuh Israel yang telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 27 Disember lepas.

"Kita telah cadangkannya (perhimpunan)... jadi biasanya Malaysia akan terlibat (berkaitan resolusi),'' katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perhimpunan khas itu yang telah disentuh oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam ucapannya pada majlis perasmian Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDRF) di sini semalam yang dirasmikan oleh Abdullah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Penyamun Geng Colombia berkubur


Oleh TURMADZI MADUN
turmadzi.madun@kosmo.com.my



POLIS menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan pecah rumah Amerika Selatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Lelaki-lelaki Amerika Latin itu bukan calang-calang pelancong.

Mereka mempunyai pengetahuan luas mengenai selok belok kawasan perumahan dan tahu status penghuni di sekitar ibu negara terutama di kawasan perumahan mewah Bangsar.

Bagaimanapun, pengetahuan yang sepatutnya memudahkan mereka bergerak semasa berada di negara ini disalahgunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah.

Bagi melakukan jenayah yang mereka rancang, tiga lelaki 'Geng Colombia' itu masing-masing dari Peru, Guatemala dan Mexico akan menyewa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang bercermin gelap.

Seterusnya, kumpulan yang terdiri daripada jejaka kacak tersebut akan berlegar-legar di kawasan perumahan mewah di ibu negara sebelum memilih mana-mana rumah untuk dipecah masuk.

Bagaimanapun, kegiatan selama hampir dua bulan kumpulan itu berakhir selepas mereka memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan warga India di Jalan Balau, Bukit Damansara di sini pukul 12 tengah hari Ahad lalu. Kes itu membawa kepada penangkapan dua hari kemudian.

Kesemua suspek ditahan berdasarkan identiti yang diperoleh daripada pemilik kenderaan Naza Ria yang disewa oleh kumpulan tiga lelaki itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Penyelidik temui bukti kacip fatimah ubat awet muda


ZAINI menunjukkan sampel daun dan serbuk kacip fatimah yang didapati mempunyai agen antipenuaan di Kuala Lumpur semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - Penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pengkaji Korea Selatan berjaya mengukuhkan keyakinan umum terhadap khasiat herba kacip fatimah dengan penemuan agen antipenuaan yang merangsang pertumbuhan kolagen dan bertindak sebagai antioksida.

Kajian sejak 2007 oleh Profesor Fakulti Kejuruteraan Kimia UTM, Dr. Mohamad Roji Sarmidi dengan Profesor Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Biokimia Universiti Dongguk, Korea Selatan, Dr. Chan Seo Par itu mendapati pokok herba tersebut juga berkesan memutihkan kulit.

Naib Canselor UTM, Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kajian terhadap ekstrak bahan kimia daripada daun kacip fatimah menghalang penghasilan melanin yang menggelapkan kulit serta memulihkan kesan radang pada kulit akibat terdedah lama kepada cahaya matahari.

"Selama ini kacip fatimah lebih dikenali sebagai penguat kesihatan wanita, tetapi hasil kajian kami ini adalah yang pertama direkodkan mengenai kesannya mencantikkan kulit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, pakar Universiti Dongguk dipilih kerana mereka mempunyai makmal kemujaraban dalam penghasilan bahan kosmetik yang tidak terdapat di Malaysia.

Mohamad Roji menjelaskan, ekstrak kacip fatimah tidak mengandungi bahan toksik dan sesuai untuk kulit manusia.

"Ia telah diuji dalam makmal pada sel kulit manusia dan didapati sangat berkesan melambatkan proses penuaan," katanya.



Rahsia batu emas terbongkar

Oleh AZELI ALI ZAINI SAMSU HADI
berita@kosmo.com.my




INILAH rumah kayu milik bekas anggota polis yang disewa kepada penjenayah dan dijadikan markas oleh Geng Batu Emas sejak setahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


BALIK PULAU - Siapa sangka sebuah rumah kayu di Jalan Datuk Bashar, Pulau Betong di sini menyimpan rahsia besar aktiviti satu sindiket menjual batu mineral emas yang diseludup dari Aceh, Indonesia.

Kegiatan itu terbongkar berikutan polis menerima satu maklumat daripada seorang penduduk kampung pukul 2.50 pagi semalam yang memaklumkan ada sekumpulan lelaki India yang menaiki dua buah kereta iaitu BMW dan Perodua MyVi membuat kecoh di rumah tersebut.

Sepasukan polis yang tiba di rumah tersebut kemudian mendapati kumpulan lelaki India itu sedang mengugut dan mengurung lapan lelaki di dalam rumah kayu itu.

Pasukan polis cuba menyelesaikan perbalahan tersebut tetapi ia bertambah kusut apabila empat lelaki tersebut mempunyai senjata.



AYUB (kanan) menunjukkan sebahagian barang yang dirampas ekoran penahanan 12 lelaki di Pulau Betong, Balik Pulau semalam.
--------------------------------------------------------------------------------

Pasukan polis yang gagal memujuk kumpulan lelaki bersenjata itu menyerah diri terpaksa meminta tambahan anggota bagi memastikan semua yang ada di dalam rumah tersebut selamat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis kemudian mengepung seluruh kawasan rumah tersebut sebelum mengarahkan empat lelaki India yang berusia 19 dan 33 tahun dari Lembah Klang itu menyerah diri.

"Hanya pada pukul 9.30 pagi kesemua lelaki India itu menyerah diri sementara lapan mangsa turut dilepaskan oleh mereka," kata beliau

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Penyembur rambut dalam badan


GAMBAR X-ray menunjukkan tin penyembur rambut berada dalam badan seorang wanita di Romania.
--------------------------------------------------------------------------------


ARAD - Doktor-doktor di Romania bingung memikirkan bagaimana satu penyembur rambut boleh berada dalam belakang badan seorang wanita, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita itu, Mirela Gradinaru datang ke sebuah hospital di Arad, barat Romania dalam keadaan kesakitan dan merayu supaya doktor membantunya baru-baru ini.

Beberapa doktor kemudian melakukan pembedahan di bahagian belakang wanita berusia 37 tahun itu untuk mengeluarkan penyembur rambut itu.

Selepas pembedahan itu selesai, Mirela enggan menceritakan bagaimana benda itu boleh memasuki badan belakangnya.

"Kami melakukan ujian sinar-X bagi mengesan kedudukan objek itu dan melakukan pembedahan bagi mengeluarkannya. Pesakit sihat selepas pembedahan itu selesai," kata doktor yang melakukan pembedahan, Mirandolina Prisca.

"Pesakit itu berasa amat malu. Dia berada dalam kesakitan yang amat sangat,"
katanya.

Seorang kakitangan di hospital itu turut hairan memikirkan kejadian tersebut.

"Objek itu bukan tin kecil pewangi ketiak, ia merupakan tin penyembur rambut yang besar," jelasnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Dua taikun terkenal ditemui mati


SEBUAH komuter melintasi lokasi Merckle (gambar kecil) mati di Blaubeuren selatan Jerman kelmarin lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


CHICAGO - Pengerusi firma lelongan hartanah terbesar Amerika Syarikat (AS), Steven Good ditemui mati dipercayai akibat menembak dirinya sendiri, kata beberapa pegawai.

Syerif daerah Kane berkata, mayat Good, 52, ditemui berada di dalam kereta Jaguar miliknya di sebuah hutan berhampiran bandar raya Chicago pada pagi Isnin lalu.

Sekeping nota turut ditemui di dalam kereta itu menerangkan motif dia membunuh diri.

Bagaimanapun, sama ada kematian ketua firma Sheldon Good & Company Auctions International itu berkaitan dengan permasalahan syarikat masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Good meninggal dunia beberapa jam sebelum seorang bilionair Jerman, Adolf Merckle bertindak terjun di bawah sebuah kereta api kelmarin selepas hidupnya musnah angkara krisis kewangan global.

Firma Sheldon Good sudah menjual sebanyak 40,000 hartanah bernilai lebih AS$9.5 bilion (RM33.2 bilion) sejak firma itu diasaskan oleh bapa Good pada tahun 1965. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Transkrip perbualan penyerang didedahkan


GAMBAR fail menunjukkan seorang penyerang berjalan di stesen kereta api Chatrapathi Sivaji di Mumbai pada November lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


NEW DELHI - Transkrip perbualan seorang penyerang di Mumbai didedahkan sekali gus menjadi bukti terbaru dalam kes serangan yang berlaku pada November lalu.

Seorang penyerang bercakap di telefon satelit dengan berkata: "Kita menangkap tiga warga asing, termasuk wanita." Arahan yang diterima pula ringkas dan kejam: "Bunuh mereka," kata penyerang tersebut sebelum bunyi tembakan kedengaran.

Perbualan itu tercatat dalam transkrip panggilan telefon yang dipintas ketika serangan ke atas Mumbai November lalu dan merupakan sebahagian bahan bukti yang diserahkan oleh kerajaan India kepada Pakistan pada minggu ini.

New Delhi memberitahu, bukti tersebut turut melibatkan sejumlah gambar senjata yang ditemui, data telefon satelit dan maklumat hasil soal siasat terhadap satu-satunya penyerang Mumbai yang masih hidup.

Menurut New Delhi lagi, semua maklumat itu menunjukkan bahawa serangan di Mumbai tahun lalu itu dilancarkan dari Pakistan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Pakistan menolak semua bukti itu dan menyifatkannya sebagai propaganda direka bertujuan untuk meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

Transkrip perbualan telefon itu diperoleh oleh akhbar India, The Hindu dan menunjukkan serangan ke atas Mumbai dilakukan oleh 10 penyerang bersenjata yang terus berkomunikasi dengan ketua-ketua mereka sepanjang kepungan tersebut. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Sepertiga mangsa adalah kanak-kanak


GAZA – Hampir sepertiga daripada 689 penduduk Palestin yang terbunuh akibat serangan Israel menyerang wilayah Gaza ialah kanak-kanak, lapor sebuah agensi perubatan semalam.

Mereka berkata, kebanyakan golongan kanak-kanak itu maut apabila rejim Zionis memulakan operasi darat ke atas kerajaan Hamas seminggu selepas serangan udara dilancarkan.

Ketua perkhidmatan kecemasan, Moawiya Hassanein berkata, sejumlah 220 kanak-kanak terbunuh sejak Israel melancarkan Operation Cast Lead pada 27 Disember lalu. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Hamas turut henti serangan roket


DAMSYIK – Seorang pemimpin Hamas semalam menyatakan pergerakan berkenaan tidak akan membedil roket ke arah Israel ketika negara Yahudi menggantung serangan ke atas Gaza.

“Saya tidak menjangka sebarang roket akan dilancarkan ketika penangguhan serangan selama tiga jam itu,” pemimpin kanan Hamas di Damsyik, Mussa Abu Marzuk dipetik sebagai berkata oleh jurucakapnya.

Tentera Israel sebelum itu mengumumkan ia akan menggantung pengeboman di Gaza antara pukul 1 petang hingga 4 petang. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Penduduk Gaza bergegas ke kedai


SEORANG budak yang cedera dibawa ke Hospital Shifa, Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


ASAP menyelubungi satu lokasi selepas tentera Israel
melancarkan serangan di Khan Younis, Genting Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Penduduk Gaza mengambil kesempatan ketika tentera Israel menghentikan serangan selama tiga jam semalam.

Kebanyakan mereka bergegas ke kedai-kedai untuk membeli makanan sebagai bekalan bagi menghadapi serangan tentera Israel.

Orang ramai beratus di luar kedai roti dan runcit yang dibuka buat pertama kali selepas tentera rejim Zionis melancarkan serangan darat pada Sabtu lalu.

Sebahagian penduduk turut mengambil kesempatan dengan melawat saudara mara yang cedera di hospital dan mencari orang tersayang.

"Selepas gencatan senjata tiga jam diumumkan, orang ramai mengambil kesempatan untuk keluar dengan membeli makanan.

"Bagaimanapun, kedai-kedai itu tidak mempunyai bekalan makanan," kata seorang penduduk Gaza. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Israel henti serang selama 3 jam


SEORANG wanita membawa barangannya ketika berjalan melintasi runtuhan bangunan di Rafah semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR GAZA - Kerajaan Israel mengarahkan serangan tenteranya dihentikan selama tiga jam semalam bagi membolehkan bekalan makanan dan minyak dihantar untuk penduduk di Gaza.

Pemimpin-pemimpin rejim Zionis turut bebrincang sama ada menerima satu pelan gencatan senjata antarabangsa atau meningkatkan serangan terhadap pergerakan Hamas.

Jurucakap tentera Israel, Peter Lerner berkata, pemberhentian serangan itu bermula pada pukul 1 hingga 3 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, pihaknya turut menimbang untuk menghentikan serangan bagi tempoh sama pada hari lain.

Bagaimanapun, tentera Israel tetap melakukan tindak balas jika diserang oleh pejuang-pejuang Hamas ketika serangan itu dihentikan.



BEBERAPA penduduk Palestin mengisi air dalam bekas di sebatang jalan raya di Gaza semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


Ketika kepimpinan Israel bertemu untuk melakukan perbincangan di Tel Aviv, bunyi letupan dan asap hitam menyelubungi kawasan penduduk Zeitoun, bandar Gaza.

Beberapa pegawai kesihatan di Gaza menyatakan, sebanyak lapan orang terbunuh dalam satu serangan baru sebelum tentera Israel menghentikan operasi ketenteraan.

Setakat ini, lebih 670 penduduk Palestin terbunuh,

Jumlah pejuang Hamas yang terbunuh masih belum diketahui.

Namun, penduduk-penduduk Gaza menyatakan pejuang-pejuang Hamas sudah memakai pakaian orang awam.

Tentera Israel melancarkan serangan di Gaza bagi menghentikan serangan roket para pejuang Hamas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Ditahan tolak kekasih jatuh sungai


KUANTAN - Polis menahan reman seorang pemandu lori sehingga Ahad ini kerana dipercayai menolak seorang wanita sampai terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dekat Jambatan Bukit Rangin di sini dalam kejadian tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek lelaki berusia 42 tahun itu sebelum mendakwanya di mahkamah.

"Kita menahan reman suspek sehingga Ahad ini," katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis mempunyai saksi yang melihat pasangan itu bertengkar sebelum wanita itu ditolak jatuh ke Sungai Kuantan.

"Terdapat saksi yang sedang membaiki motosikal di situ pada waktu itu terdengar mereka bertengkar," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Thursday, January 8, 2009

Geng Serbuk Kari pula musnah


Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
zulsham@kosmo.com.my



Arjunaidi menunjukkan kereta yang dirampas daripada Geng Serbuk Kari di Balai Polis Kampung Baru Subang, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


--------------------------------------------------------------------------------

PETALING JAYA - Baru sebulan belajar mencuri kenderaan sudah kena cekup.
Demikian nasib dua beradik dan seorang lelaki lain yang dikenali sebagai Geng Serbuk Kari yang baru berjinak-jinak dengan jenayah mencuri kereta.

Geng tersebut diketuai lelaki berusia 32 tahun yang dilepaskan daripada hukuman penjara awal Disember tahun lalu kerana terlibat dalam pelbagai kegiatan samun.

Geng tersebut dinamakan Geng Serbuk Kari berikutan modus operandi yang menggunakan serbuk kari.

Serbuk kari yang menjadi pilihan ahli kumpulan tersebut ialah serbuk kari cap ayam atau ikan.

Tujuan mereka menggunakan serbuk kari adalah untuk memedihkan mata mangsa sebelum mereka melarikan kenderaan yang menjadi sasaran.

Geng Serbuk Kari itu tiada kaitan dengan Geng Jongos yang ditumpaskan polis Kuala Lumpur atau kumpulan mencuri kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed memberitahu pemberita di sini semalam, tangkapan pertama melibatkan ketua kumpulan itu dilakukan di tempat letak kereta di Subang Permai pada pukul 2 pagi 29 Disember.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Dua minggu dikurung, dipukul Kasanova Siam


SITI AIDA dibawa ke IPD Pasir Mas semalam selepas diselamatkan daripada penculik di Golok.
--------------------------------------------------------------------------------


RANTAU PANJANG - Siti Aida Norbani Mustafa selepas ini mungkin tidak berani lagi membeli-belah seorang diri di pasar pagi Sungai Golok dalam wilayah Thailand.

Disebabkan teguran seorang lelaki warga Thailand yang tidak dikenali, dia umpama dipukau. Dia mengikut lelaki itu ke sebuah rumah di Pangkalan Gergaji, Sungai Golok. Di situ dia dikurung selama dua minggu.

Siti Aida, 22, dari Kampung Bukit Payung, Terengganu juga lebam mata kanan akibat dibelasah oleh lelaki berusia 20-an itu yang mengajaknya berkahwin.

"Dia pukul saya setiap kali saya menjerit.

"Bagaimanapun, saya diberi makan dan telekung untuk bersembahyang,''
katanya di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Tokoh Pakatan lancar kempen PAS


Muda Mohd Noor Jan 7, 09 2:21pm
Pakatan Rakyat memulakan kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu dengan satu ceramah besar di Kampung Tanjung membabitkan empat tokoh utama PAS, PKR dan DAP.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang berkempen di depan hampir 10,000 orang malam tadi.

Calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan bekas ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim turut menyampaikan ucapan ringkas.
Kawasan tepi pantai seluas dua kilometer sesak sejak jam 9 malam dan Jalan Sultan Zainal Abidin yang menjadi laluan utama ke tempat ceramah penuh dengan kenderaan.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi mendakwa ada orang tertentu yang menyamar seperti orang PAS untuk mengelirukan penyokong-penyokong parti itu dalam pilihanraya kali ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan penyokong PAS tidak bertindak sendiri secara melulu.

"Biar kita (pemimpin) yang menentukan... biar kita bertindak," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tindakan yang akan diambil terhadap orang yang menyamar itu.

Anwar pula mendedahkan percubaan Umno yang mahu melaga-lagakan PAS dengan DAP dalam isu yang membabitkan syariat Islam.

Kata ketua pembangkang itu, tidak ada hak mana-mana orang bukan Islam untuk mempertikaikan hak orang Islam.

"Tetapi Umno khianat supaya kita berbeza pendapat dalam perkara tersebut. Berbeza pendapat dan pandangan bukanlah bermakna telah berlaku perpecahan sesama kita.

"Dalam Pakatan kita boleh berbeza pandangan politik,"
katanya mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Nik Aziz pula bercakap mengenai keperluan orang Islam mengundi calon PAS.

Menurut menteri besar Kelantan itu, menolak PAS bermakna menolak Islam.

"Kerana perjuangan PAS bukan sahaja untuk dunia tetapi di akhirat juga.

"Kalau Umno kata ia buat pembangunan, PAS pun buat pembangunan tetapi PAS perjuangannya kerana Islam,"
katanya lagi.

Kit Siang pula berkata, tsunami politik yang tercetus dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu akan menjadi gelombang lebih besar jika Pakatan menang dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Kerana itu, katanya, adalah penting supaya gabungan pembangkang menang kerusi parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini.

Abdul Wahid berdepan dengan calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas Azharudin Mamat.

http://www1.malaysiakini.com/news/95950

Wednesday, January 7, 2009

Anak muda hilang semangat perjuangan Umno


Abdul Rahim Sabri Jan 7, 09 10:51am
Pemuda Umno Padang Besar menggesa calon-calon Ketua Pemuda yang bertanding agar mengambil kira suara dan pandangan akar umbi sekiranya memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.

"Perjuangan Pemuda Umno untuk bangsa, agama dan tanahair. Tetapi (jangan) bila pegang jawatan (nanti), kami dilupakan," kata ketua Pemudanya, Mohsin Yusof kepada Malaysiakini.

Pemilihan jawatan ketua Pemuda akan berlangsung pada Mac depan yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; exco pergerakan Pemuda, Datuk Mukhriz Mahatir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Mohsin berkata, Pemuda bahagian itu berharap calon ketua Pemuda harus ikhlas dalam mengotakan apa yang dijanjikan kepada perwakilan pergerakan itu di seluruh Malaysia.

Menurutnya lagi, antara cabaran yang dihadapi oleh Pemuda hari ini ialah berhubung anak-anak muda yang sudah kehilangan akar dan semangat perjuangan Umno.

Sehubungan itu, katanya, semangat perjuangan Pemuda Umno harus diuar-uarkan kembali bagi meningkatkan semangat pergerakan tersebut.

Mohsin juga mengesahkan ketiga-tiga calon yang merebut jawatan ketua Pemuda telah menemui perwakilan-perwakilan di Perlis.

Perlis mempunyai tiga bahagian dan mengikut peraturan mesyuarat, setiap Pemuda bahagian diwajibkan menghantar empat perwakilan, termasuk ketua dan naib ketua.

Maklum balas

Menurut ketua pemuda Padang Besar itu, perjumpaan dengan 12 perwakilan itu berlangsung dalam bulan Disember lalu di tempat dan masa yang berasingan.

Pertemuan itu bertujuan untuk menerangkan misi dan visi calon yang bertanding agar perwakilan membuat penilaian terhadap calon ketua Pemuda.

Pada bulan Disember itu juga, jelas Mohsin, terdapat pertemuan kali kedua antara wakil-wakil calon dengan perwakilan bagi mendapatkan maklum balas hasil daripada pertemuan pertama.

Beliau berkata, pihaknya tidak menentukan perwakilan untuk memberi sokongan kepada calon tertentu.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya bersikap terbuka dengan memberi peluang kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

"Perwakilan matang untuk memilih (calon ketua Pemuda). Tidak ada usaha untuk mempengaruhi satu sama lain. Kita ada masa yang cukup (untuk membuat pilihan)," kata Mohsin.

Sehubungan itu, perwakilan bahagiannya turut memberi penilaian terhadap jentera-jentera kempen calon-calon kerana jentera kerja adalah cerminan kepada calon yang bertanding.

Politik wang

"Kita tengok tingkah laku kawan-kawan calon yang bertanding kerana mereka mencerminkan kejayaan calon. Jentera menggambarkan calon," kata Mohsin.

Mengulas berhubung politik wang berlaku dalam Umno khususnya sewaktu tiba pemilihan parti, Mohsin berkata:

"Bagi saya ia satu cubaan untuk mengelirukan perwakilan. Pemberian sumbangan dan cenderahati bukan politik wang.

"Kalau melibatkan jumlah wang yang besar, ia boleh dikatakan percubaan untuk membeli undi. Tapi kalau melibatkan sejumlah kecil, ia perkara biasa.

"Tiada garis panduan yang jelas, apa itu politik wang,"
kata Mohsin.

Sementara itu, 15 ahli jawatankuasa Pemuda Padang Besar akan menyertai kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari ini, kata Mohsin.

Mereka ditugaskan untuk memantau dan berkembang perjalanan pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada 15 Januari ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/95933

Gantung akhbar Kristian seperti tidak galakkan BM


Jan 7, 09 4:29pm

Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantungkan penerbitan edisi Bahasa Malaysia akhbar Katolik Herald minggu lalu seolah-olah tidak menggalakkan mereka menggunakan bahasa kebangsaan, kata Pemuda Majlis Gereja Malaysia.

"Bukankah orang beragama Kristian di negara ini juga warganegara yang berhak dan patut digalak menggunakan bahasa kebangsaannya dalam segala urusan hariannya?

"Bahasa Malaysia adalah hak milik bersama,"
kata setiausahanya, Daniel Chai.

"Sering kita mendengar seruan pemimpin-pemimpin negara kita agar rakyat Malaysia berbahasa Malaysia. Oleh demikian, Pemuda CCM berasa hairan atas larangan KDN ini."

Dalam satu kenyataannya hari ini, Chai menyifatkan larangan kementerian sebagai "penindasan atau diskriminasi terhadap penganut Kristian yang berbahasa dan berbangsa Malaysia".

Mingguan itu – diedarkan di kalangan 850,000 penganut Katolik di Malaysia – hampir ditarik balik lesen penerbitannya tahun lalu kerana menggunakan nama "Allah" sebagai terjemahan perkataan "Tuhan".

Pihak berkuasa melarang perkataan "Allah" digunakan oleh Herald dengan alasan ia hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Penggantungan itu berkuatkuasa awal bulan ini sementara menunggu mahkamah memutuskan sama ada akhbar tersebut boleh menggunakan "Allah" atau sebaliknya.

Chai bagaimanapun menegaskan perkataan tersebut telah digunakan oleh penganut Kristian selama beberapa generasi, khususnya di Malaysia Timur, seperti istilah "Allah" yang digunakan di kalangan mereka di negara-negara Arab dan Indonesia.

"Kami meminta kerajaan Malaysia supaya menghentikan penindasan oleh KDN ini dan membatal larangan tersebut, demi kebebasan rakyat beragama Kristian," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/95968

Gantung akhbar Kristian seperti tidak galakkan BM

Jan 7, 09 4:29pm
Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantungkan penerbitan edisi Bahasa Malaysia akhbar Katolik Herald minggu lalu seolah-olah tidak menggalakkan mereka menggunakan bahasa kebangsaan, kata Pemuda Majlis Gereja Malaysia.

"Bukankah orang beragama Kristian di negara ini juga warganegara yang berhak dan patut digalak menggunakan bahasa kebangsaannya dalam segala urusan hariannya?

"Bahasa Malaysia adalah hak milik bersama," kata setiausahanya, Daniel Chai.

"Sering kita mendengar seruan pemimpin-pemimpin negara kita agar rakyat Malaysia berbahasa Malaysia. Oleh demikian, Pemuda CCM berasa hairan atas larangan KDN ini."

Dalam satu kenyataannya hari ini, Chai menyifatkan larangan kementerian sebagai "penindasan atau diskriminasi terhadap penganut Kristian yang berbahasa dan berbangsa Malaysia".

Mingguan itu – diedarkan di kalangan 850,000 penganut Katolik di Malaysia – hampir ditarik balik lesen penerbitannya tahun lalu kerana menggunakan nama "Allah" sebagai terjemahan perkataan "Tuhan".

Pihak berkuasa melarang perkataan "Allah" digunakan oleh Herald dengan alasan ia hanya boleh digunakan oleh orang Islam.

Penggantungan itu berkuatkuasa awal bulan ini sementara menunggu mahkamah memutuskan sama ada akhbar tersebut boleh menggunakan "Allah" atau sebaliknya.

Chai bagaimanapun menegaskan perkataan tersebut telah digunakan oleh penganut Kristian selama beberapa generasi, khususnya di Malaysia Timur, seperti istilah "Allah" yang digunakan di kalangan mereka di negara-negara Arab dan Indonesia.

"Kami meminta kerajaan Malaysia supaya menghentikan penindasan oleh KDN ini dan membatal larangan tersebut, demi kebebasan rakyat beragama Kristian," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/95968

K'jaan digesa kaji semula penswastaan semua lebuhraya

Jan 7, 09 11:29am

MCA hari ini menggesa kerajaan supaya mengkaji semula penswastaan semua lebuhraya di negara ini bagi memastikan ia benar-benar menguntungkan rakyat.

Merujuk kepada langkah kerajaan mengklasifikasikan semula 22 perjanjian konsesi tol, jurucakap MCA, Lee Wei Kiat berkata, berdasarkan kajian awal Pemuda MCA, parti itu ingin mengemukakan dua syor seperti berikut:

"Pertama, kerajaan perlu mengkaji semula secara keseluruhan penswastaan lebuhraya di negara ini bagi memastikan ia benar-benar merupakan sebuah badan pengswastaan yang bertujuan untuk menguntungkan rakyat dan bukan sebaliknya," kata Wei Kiat dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, tunjuan kesemua projek penswastaan ialah syarikat-syarikat terbabit mestilah bersedia untuk berdepan dengan risiko dan menanggung liabiliti yang mungkin dihadapi.

"Bagaimanapun, apa yang kita dapat dari dokumen perjanjian tol yang telah diklasifikasikan semula itu, tujuan utamanya ialah untuk menjana keuntungan dan kepentingan kerajaan dan rakyat diabaikan.

"Kedua, Kementerian Kerjaraya sepatutnya membantu menyelesaikan semua masalah teknikal yang mungkin berbangkit secepat mungkin dengan mendedahkan kepada umum perjanjian-perjanjian yang berkaitan, tanpa melengah-lengahnya, untuk memberi peluang kepada semua pihak untuk membaca dan mengkaji kandungan perjanjian, yang merupakan amat penting sekali,"
tegas Wei Kiat.

Sediakan laporan

Beliau yang juga pengerusi biro komunikasi dan maklumat MCA berkata, biro penyelidikan undang-undang parlimen dan hal-ehwal undang-undang Pemuda MCA akan mengkaji perjanjian-perjanjian yang telah diklasifikasikan semula itu dan menyediakan laporan untuk dikemukakan kepada menteri-menteri MCA.

"Menteri-menteri MCA itu kemudiannya akan membawa laporan tersebut untuk dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

"Kita ingin mencadangkan supaya satu kajian semula yang terperinci dijalankan bagi memastikan kepentingan kerajaan dan rakyat tidak diabaikan dan matlamat asal pembinaan (lebuhraya) tol tidak dilupakan,"
tegasnya.

Katanya, MCA menyokong penuh langkah kerajaan mengklasifikasikan semula perjanjian-perjanjian terbabit untuk pengetahuan umum.

"Ini bukan sahaja merupakan langkah pertama ke arah ketelusan tetapi juga ke arah merealisasikan kerajaan yang cekap dan bersih," tegas Wei Kiat.

http://www1.malaysiakini.com/news/95936

Hudud: Akhirnya Anwar buka mulut di KT


Bahang malam pertama.. Ketua pembangkang, Mursyidul Am satu pentas di ceramah mega di Kuala Terengganu malam tadi. Foto ihsan Reuters

07 Jan 2009 11:38AM

KT: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan mengenakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam jika meneraju kerajaan pusat.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, pihaknya tidak akan memaksa masyarakat bukan Islam di bawah penguatkuasaan undang-undang hudud.

"Tiada niat untuk memaksa mereka (bukan Islam) tunduk kepada hudud," katanya ketika berucap pada ceramah perdana sulung di sini, malam tadi.

Ia merupakan ceramah besar pertama selepas penamaan calon bagi pilihan raya kecil Kuala Terenggani pagi semalam.

Malah ia juga adalah kenyataan pertama Anwar mengenai hudud sejak ia muncul dua minggu lalu.

Turut hadir berucap adalah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ketua Pembangkang di Parlimen itu mengakui bahawa memang wujud masalah perbezaan pandangan di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

"Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ada pandangan yang berlainan tetapi Umno yang menggunakan media untuk mengelirukan.

"Ronnie Liu (daripada DAP) mungkin kata Kristian adalah lebih baik manakala saya kata Islam lebih baik.

"Tetapi umumnya kami mempunyai matlamat sama untuk menjadikan negara lebih baik,"
katanya.

Isu undang-undang hudud dibangkitkan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam satu forum di Kota Bahru lebih dua minggu lalu.

Dalam forum tersebut, Khairy meminta Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyatakan pendiriannya mengenai hudud dan Husam menegaskan parti itu akan melaksanakan hudud dan qisas sebaik sahaja pakatan pembangkang memerintah negara ini. /Mstar

http://www.klpos.com/news/2009/01/07/7.html

Gaza: PM panggil sidang khas Parlimen, pakatan sambut baik



Rabu Januari 7, 2009

PUTRAJAYA: Kabinet hari ini bersetuju supaya Parlimen mengadakan sesi khas Isnin depan mengenai serangan Israel ke atas Gaza, kata Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim.


Beliau berkata sesi khas itu akan diadakan pada sebelah pagi.


Dalam pada itu, Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen.


Kata beliau yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, ia akan membolehkan semua parti mengambil pendirian bersama untuk mengutuk serangan Israel di Gaza dan mencari penyelesaian bagi membantu Palestin.


"Kami Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan kami pada pagi Isnin," kata beliau selepas majlis makan malam bersama Pakatan Rakyat di Kuala Terengganu di sini.


Anwar juga berkata walaupun usul pembangkang untuk meminta diadakan sidang khas telah ditolak sebelum ini, pihaknya akan menggunakan kesempatan ini dengan baik untuk Parlimen membuat satu keputusan konkrit berhubung isu Palestin-Israel.


Terdahulu pada sebelah pagi Anwar berkata: "Kalau kerajaan mempertimbangkan boleh walaupun pada tahap ini, lebih baik kerajaan, bukan setakat buat kenytataan, mengambil inisiatif lebih mendalam."


Sebelum ini, kata beliau, pembangkang ada meminta diadakan sidang khas Parlimen tetapi telah ditolak.


Kerajaan dan juga Anggota Parlimen pembangkang dilaporkan mengutuk keganasan Israel dan menggesa dilaksanakan gencatan senjata dan ditamatkan konflik yang bermula pada 27 Disember itu.


Kerajaan juga telah mendesak supaya diadakan Sesi Khas Darurat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menangani isu berkenaan.


Dr. Rais berkata Malaysia akan meneruskan inisiatifnya untuk meminta diadakan sidang itu jika Majlis Keselamatan PBB gagal menyelesaikan krisis itu dalam tempoh 48 jam akan datang.


Dr. Rais bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat delegasi antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Syria, Mohammed Naji Otri di pejabat Abdullah di sini.


Menteri itu berkata sesi khas darurat itu akan diadakan jika majoriti daripada 192 negara anggota PBB bersetuju berbuat demikian.


"Ini tidak memerlukan majoriti dua pertiga. Fasal PBB hanya menyebut majoriti," kata beliau.


Dr. Rais menjelaskan Majlis Keselamatan tidak boleh menggunakan kuasa veto terhadap sesi khas darurat kerana anggota majlis itu hanya boleh memveto keputusan yang dibuat dalam kerangkanya sendiri saja.


Bagaimanapun, beliau menarik perhatian Amerika Syarikat mungkin menggunakan pengaruhnya supaya sesi khas itu tidak dapat diadakan.


Satu lagi halangan, kata Dr Rais, sebarang perkara berkaitan dengan perang mesti ditangani oleh Majlis Keselamatan terlebih dulu dan selepas mereka melakukan segala usaha barulah perkara itu boleh dibawa ke Perhimpunan Agung.


Malaysia, katanya, tidak berputus harap supaya sesi khas darurat itu diadakan.


"Ini lebih baik daripada kita hanya duduk diam," kata beliau.


Mengenai perkara lain, Dr. Rais berkata Perdana Menteri Syria yang sedang melakukan lawatan rasmi empat hari ke Malaysia bermula semalam memutuskan untuk melanjutkan lawatannya sehari setengah lagi dengan memasukkan kunjungan ke Melaka atau mungkin ke Iskandar, Johor.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_mutakhir/20090107184657&sec=mstar_mutakhir

Anwar mahu Kuala Terengganu percepat menuju Putrajaya



Rabu Januari 7, 2009

Oleh G.MANIMARAN



KUALA TERENGGANU: Selepas dua sasaran untuk membentuk kerajaan persekutuan gagal, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan harapan itu hari ini dengan mengatakan bahawa "kemenangan di Kuala Terengganu" akan membantu mempercepatkan rancangan pihaknya bertapak di Putrajaya.


"Jangan selesa dengan kehadiran yang ramai (ketika ceramah perdana malam tadi dan ketika penamaan calon). Kita mahukan kemenangan yang lebih meyakinkan dan proses perjalanan ke Putrajaya dipercepatkan," kata beliau ketika berucap merasmikan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu di sini, pagi ini.


Ia merupakan majlis kedua Anwar selepas berucap dalam ceramah perdana malam tadi.


Anwar meletakkan sasaran 16 September lalu sebagai tarikh awal untuk membentuk kerajaan pusat diterajui Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.


Kemudian ia gagal menjadi kenyataan, beliau menjangkakan ia boleh dilakukan menjelang Hari Raya Aidiladha bulan lalu.


Anwar dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, menggantinya isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.


Kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh juga bertumpu kepada aspek membentuk kerajaan baru dan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.


Bagaimanapun ketika ditemui wartawan pada sidang media selepas majlis itu, Anwar berkata sasaran pihaknya itu bukan tidak menjadi, tetapi belum menjadi kenyataan.


Pun begitu, katanya, matlamat utama pihaknya sekarang ialah membolehkan penduduk Kuala Terengganu mempunyai seorang wakil rakyat yang boleh mewakili kepentingan rakyat, bukannya kepentingan diri dan kroni.


Barisan Nasional (BN) meletakkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu manakala PAS, anggota komponen Pakatan Rakyat, menurunkan Mohd. Ahmad Wahid Endut manakala calon Bebas ialah Azharudin Mamat @ Adam.


Kempen bermula semalam selepas proses penamaan calon manakala pengundian pula diadakan 17 Januari.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090107145001&sec=mstar_berita

Azmin Ali bebas tuduhan beri keterangan palsu


Rabu Januari 7, 2009



AZMIN bersama isterinya, Shamsidar Taharin kelihatan gembira selepas Mahkamah Rayuan memutuskan beliau dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memberi keterangan palsu, hari ini -fotoTHESTAR oleh Rohaizat Md Darus

PUTRAJAYA: Selepas menunggu hampir 10 tahun, naib presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali (gambar) akhirnya lega selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah lain sebelum ini yang membebaskan dan melepaskannya daripada tuduhan memberi keterangan palsu.


Hakim Datuk Md Raus Sharif yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Ma'arop dan Datuk Sulaiman Daud menolak rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen bagi membebaskan dan melepaskannya daripada tuduhan itu.


Bercakap kepada pemberita kemudian, Mohamed Azmin, 42, berkata beliau amat lega kerana keputusan itu menunjukkan beliau tidak melakukan kesalahan itu.


Pada 13 Julai 1999, Mohamed Azmin dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Hamdan Indah daripada tuduhan memberi keterangan pada perbicaraan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi pada 9 Mac 1999. Pihak pendakwaan kemudian membuat rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.


Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail membenarkan rayuan itu dan mengarahkan agar kes itu didengar semula di Mahkamah Sesyen bagi Mohamed Azmin membuat pembelaan.


Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir mendapati Mohamed Azmin bersalah dan mengenakan hukuman penjara 18 bulan tetapi membenarkan permohonan Mohamed Azmin menangguhkan hukuman bagi beliau membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.


Pada 1 Nov 2007, Mahkamah Tinggi bersetuju dengan keputusan awal Mahkamah Sesyen untuk membebaskan dan melepaskan Mohamed Azmin daripada tuduhan memberi keterangan palsu, dan ini mendorong pihak pembelaan membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090107150050&sec=mstar_berita

Asean sokong sidang tergembar PBB mengenai Israel



Rabu Januari 7, 2009

PUTRAJAYA: Gesaan Malaysia supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan serangan Israel di Semenanjung Gaza mendapat reaksi positif apabila ia turut disokong oleh Asean dan Indonesia.


Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, beliau telah pun menerima maklum balas daripada Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan dan Menteri Luar Indonesia Dr Hassan Wirajuda semalam, yang turut komited bagi menghentikan kekejaman tersebut.


"Ini merupakan petanda-petanda yang menunjukkan bahawa pendirian Malaysia yang cepat bertindak dan mengemukakan pandangan mengenai isu ini dapat diterima oleh sebahagian besar pihak berkaitan," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini. Isnin lepas, Rais berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghubungi Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon dan Presiden Persidangan PBB Miguel d'Escoto Brockmann, meminta mereka mengadakan sidang khas itu selepas Majlis Keselamatan PBB gagal mencapai keputusan untuk menghentikan serangan Israel terhadap penduduk Palestin.


Katanya, Abdullah juga akan menghubungi semua ketua kerajaan anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Asean dan beberapa pertubuhan antarabangsa yang lain untuk mendesak supaya sidang khas itu diadakan secepat mungkin.


Selain itu, Wisma Putra juga telah mengarahkan agar wakil tetap Malaysia ke PBb, Datuk Hamidon Ali supaya melobi beberapa pihak untuk mendapatkan sokongan agar sidang khas itu dapat diadakan. Sementara itu, Rais berkata, beliau juga berharap bakal Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang akan memulakan tugasnya 20 Jan ini, akan menggunakan sifat kemanusiaan dan pengaruhnya untuk menghentikan kekejaman itu, serta tidak menyebelahi Israel dalam apa-apa tindakan atau rundingan.


"Setakat ini kita belum lagi dapat melihat sebarang komen beliau yang membawa kepada pemberhentian tindakan serangan tersebut, dan beliau cuma menggunakan istilah yang umum sahaja.


"Jadi kita akan tunggu apa yang akan beliau lakukan, dan kita kebanyakannya yakin beliau tidak seperti George W.Bush," katanya.


Obama semalam dilaporkan buat pertama kalinya menyuarakan kebimbangan mengenai perkara itu, namun berkata beliau tidak akan campur tangan selagi belum memegang tampuk pemerintahan secara rasmi. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090107133253&sec=mstar_berita

Penduduk Gaza tiada tempat untuk selamatkan diri



Rabu Januari 7, 2009

DUBAI: Ketika Gaza terus dibedil oleh tentera Israel, seorang pegawai Pertubuhan Bangsa Bersatu yang menjalankan pemerhatian di darat mendapati tiada sebuah rumah mahupun tempat perlindungan PBB selamat bagi hampir 1.5 juta penduduk di perkampungan pesisir itu.


"Tidak ada tempat selamat untuk melarikan diri. Kami menyeru semua pihak mematuhi undangundang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam," kata penyelaras kemanusiaan PBB bagi Wilayah Palestin yang diduduki, Maxwell Gaylard.


Sebagai salah sebuah tempat kediaman yang paling sesak di dunia, kata beliau, adalah jelas lebih ramai orang awam akan terbunuh dan lebih banyak rumah, bangunan dan infrastruktur awam akan musnah jika konflik itu berterusan.


"Saya mengulangi desakan setiausaha agung PBB supaya dihentikan segera keganasan ini. Manusia mempunyai hak untuk hidup, mendapatkan kebebasan dan keselamatan tidak kira siapa mereka dan di mana mereka tinggal" kata Gaylard dalam komennya dikeluarkan di sini.


Beberapa usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menyelesaikan konflik itu yang telah mengorbankan kirakira 600 nyawa sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 27 Dis.


Laporan menyatakan kirakira 15,000 rakyat Palestin sesak memenuhi 23 buah sekolah PBB di Gaza kerana rumah mereka musnah atau mahu menyelamatkan diri dari keganasan Israel.


"Lama sebelum pertempuran sekarang berlaku, PBB telah memberikan pihak berkuasa Israel GPS yang menyelaras semua instalasinya di Gaza," kata Gaylard, merujuk kepada bedilan hebat Israel ke atas beberapa kemudahan PBB di sana.


Beliau berkata jika undangundang kemanusiaan antarabangsa telah dilanggar, mereka yang melakukannya mesti diminta bertanggungjawab. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090107172527&sec=mstar_berita

Sime Darby batal hasrat ambil alih IJN


Rabu Januari 7, 2009

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd hari ini mengumumkan yang ia tidak akan meneruskan rancangannya untuk menguasai kepentingan ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN).


Dalam satu kenyataan di sini, konglomerat itu menyatakan bahawa keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira sentimen awam dan maklum balas yang diterima berhubung cadangan itu.


Tindakan itu dibuat susulan pengumuman kerajaan menangguhkan keputusan untuk membenarkan Sime Darby memulakan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN.


"Kami merupakan syarikat yang pemegang sahamnya mewakili lebih 10 juta rakyat Malaysia dan kami perlu menghormati hasrat rakyat untuk IJN kekal dalam struktur sedia adanya," kata ketua pegawai eksekutif kumpulan dan presiden kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid.


"Kami percaya bahawa pelaburan yang berterusan dalam penjagaan kardiovaskular adalah penting kerana ia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital dan satu daripada sebab utama kematian di Malaysia," kata Ahmad Zubir.


"Perkongsian dengan IJN akan menjadi gabungan yang memberi manfaat yang besar kepada kami, IJN, mereka yang berkepentingan dan orang ramai dan atas dasar inilah kami menyatakan hasrat kepada kerajaan mengenai kemungkinan perkongsian dengan IJN," katanya.


Menurut Sime Darby, ia menulis kepada kerajaan pada Ogos tahun lepas bagi menyatakan minat untuk menjalin pakatan yang akan memberi faedah bersama dalam melebarkan skop dan skala operasi Sime Darby Healthcare dan IJN.


"Perkongsian sedemikian akan membawa bersama kedudukan IJN sebagai peneraju dalam penjagaan kardiovaskular dan torasik dan kepakaran Sime Darby Healthcare dalam penjagaan kesihatan tinggi swasta," kata Ahmad Zubir.


"Rancangan Sime Darby Healthcare adalah untuk menubuhkan pusat kecemerlangan dalam pelbagai bidang perubatan seperti kanser, jantung dan neurologi di Malaysia dan seberang laut," katanya.


Menurut Ahmad Zubir, bagi projek IJN, Sime Darby sentiasa mengambil kira kebajikan dan kepentingan golongan mereka yang kurang berkemampuan, satu pendekatan sejajar dengan falsafah syarikat terhadap tanggungjawab sosial.


Beliau berkata beliau kekal yakin mengenai prospek sektor penjagaan kesihatan dan akan terus meninjau peluang untuk pengembangan dan menjadikan Sime Darby Healthcare sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan standard emas di rantau ini.


IJN mempunyai reputasi sebagai pusat jantung utama dan telah memberi rawatan kepada berjuta pesakit termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Sebagai hospital separa kerajaan, ia menyediakan rawatan perubatan kelas pertama di bawah kadar pasaran dengan bayarannya dikawal oleh kerajaan. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/7/mstar_berita/20090106184910&sec=mstar_berita

Sindiket sasar gadis Filipina, Singapura

KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang memperalat gadis tempatan kurier dadah kini mensasar gadis Filipina dan Singapura yang berada di negara ini mangsa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin.

Beliau berkata, ini berikutan penahanan 13 orang terdiri daripada tujuh lelaki Afrika, seorang lelaki Pakistan, dua lelaki dan seorang wanita tempatan, serta dua wanita asing Filipina dan Singapura.

Dalam serbuan jam 6 pagi, seorang wanita Singapura ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang apabila beg troli yang dibawanya berisi 560 gram heroin.

“Pemeriksaan ke atas beg troli yang dibawa wanita yang hendak mengambil penerbangan ke Hainan, China itu membawa kepada penemuan dadah heroin yang disorok di dalam bahagian yang telah diubahsuai,” katanya dalam kenyataan semalam. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092133/Article/index_html

Sime Darby batal hasrat kuasai ekuiti dalam IJN

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd semalam mengumumkan tidak akan meneruskan rancangan untuk menguasai kepentingan ekuiti dalam Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam satu kenyataan, konglomerat itu membuat keputusan setelah mengambil kira sentimen awam dan maklum balas berhubung cadangan itu.

Tindakan itu susulan pengumuman kerajaan menangguhkan keputusan membenarkan Sime Darby memulakan rundingan dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN.

“Syarikat yang mewakili lebih 10 juta rakyat Malaysia perlu menghormati hasrat rakyat untuk IJN kekal dalam struktur sedia ada,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092148/Article/index_html

Petrol, diesel kekal pada harga semasa


PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel akan dikekalkan pada harga semasa memandangkan harga pasaran dunia kedua-dua bahan api itu tidak menunjukkan perubahan ketara ketika ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata pengekalan harga bahan mentah itu adalah selepas penurunan terakhir iaitu penurunan ketujuh sebanyak 10 sen bagi setiap liter pada 16 Disember tahun lalu.

“Saya lihat kiraan secara purata (harga pasaran dunia) pada akhir Disember lalu adalah pada AS$41 (RM143.50) setong dan kadar itu tidak banyak berbeza pada pertengahan bulan sama iaitu semasa kita membuat keputusan untuk turunkan 10 sen bagi setiap liter.

“Penurunan pada pertengahan Disember sepatutnya hanya 5 sen saja kalau pada kadar AS$40 setong, tetapi kerajaan memutuskan untuk menurunkan 10 sen menjadikan harga runcit petrol semasa RM1.80.

“Bagaimanapun, kami tak nampak akan ada kenaikan atau penurunan harga petrol dan diesel di peringkat runcit dalam bulan ini,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri di kementeriannya di sini, semalam.

Mengikut formula penyelarasan bahan api yang ditetapkan sebelum ini, harga runcit petrol dan diesel akan ditetapkan pada setiap awal bulan berdasarkan purata bulanan harga minyak mentah dunia ditolak dengan subsidi kerajaan 30 sen seliter.

Bagaimanapun, kerajaan mempercepatkan penurunan harga runcit sejajar aliran harga minyak mentah dunia supaya rakyat dapat menikmatinya segera.

Sehingga kini, rakyat sudah menikmati penurunan kali ketujuh sejak Ogos tahun lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092400/Article/index_html

Ganti produk import

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my



MESRA...Shahrir bersalaman dengan kakitangan KPDNHEP
pada Majlis Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri,
semalam.


PUTRAJAYA: Pengilang dan pengeluar barangan tempatan digalakkan memperkenalkan produk jenama bernilai bagi menjayakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang akan dilancarkan 16 Januari ini, bagi merancakkan pertumbuhan permintaan domestik, sekali gus mengurangkan pergantungan terhadap produk import.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata jenama bernilai membabitkan pengenalan produk baru berkualiti tinggi setanding barangan import dan boleh diperolehi dengan harga rendah.

“Pemilik jenama biasanya meletakkan jenama produk masing-masing sama ada premium atau pertengahan berasaskan kepada harga dan kualiti iaitu harga menjadi penentu kualiti barangan terbabit, jadi apabila kita minta me reka turunkan harga mereka akan menganggap tindakan itu akan merosakkan jenama.

“Sebagai contohnya, Petronas mempunyai jenama premium, tetapi mereka tak akan mengurangkan harga kerana bimbang menjejaskan jenama tetapi mereka boleh memperkenalkan jenama bernilai yang baru, supaya pengguna boleh mendapatkan produk alternatif berkualiti pada harga rendah.

“Jadi, kita berharap lebih banyak jenama baru yang bernilai diperkenalkan sepanjang 2009 untuk menjayakan kempen terbabit.

“Ini bermakna pengguna boleh mendapat produk sama dengan yang diimport manakala pemilik jenama tidak perlu mengorbankan jenama masing-masing,”
katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahun Baru dan Amanat Menteri di kementeriannya di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya, Jelaing Mersat dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Shahrir berkata, selain mengurangkan import, kempen yang berlangsung selama setahun itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa barangan buatan Malaysia berkualiti tinggi

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107092421/Article/index_html

Baju anak pengubat rindu

Oleh Mohd Rashidi Yusuf
am@hmetro.com.my


SAYU...Norlizawati (baju hitam di tengah) bersama ahli keluarga.


KUALA KANGSAR: “Hanya baju anak menjadi pengubat rindu. Setiap kali berbual dalam telefon dengan anak saya pasti saya akan mencium baju itu dan tanpa disedari air mata pasti mengalir,” kata Norlizawati Mat Nor, 26, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seterus, Sauk, dekat sini, semalam.

Norlizawati yang berkahwin dengan warga Indonesia, Sitiknor Nizam, 29, pulang seorang diri ke kampung halamannya sebulan lalu tanpa anaknya, Musmaulidul Maulana, 3 tahun 8 bulan berikutan masalah sijil kelahiran dan surat nikah manakala suaminya pula sudah meninggalkan mereka dua beranak sejak dua tahun lalu.

Katanya, setiap hari, dia hanya mampu menangis kerana merindui anak tunggalnya itu, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa dan tidak tahu bagaimana hendak mengurus kepulangan anaknya itu.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak membawa anak saya pulang supaya kami dapat bersama semula, lagi pun saya tidak ada wang.

“Jadi sekiranya ada pihak ingin membantu, saya sangat-sangat mengharapkannya,” katanya.

Norlizawati berkata, anaknya masih bersama ibu mentuanya di Desa Kadungbang Teng, Kecamatan Bakung, Blitar, Jawa Timur, Indonesia.

Katanya, suami meninggalkan mereka anak-beranak sejak Mei 2006 dan pulang seorang diri ke Johor untuk bekerja.

“Sejak itu, saya tinggal dengan mentua tetapi saya berjaya pulang ke tanah air sebulan lalu dengan usaha pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia serta bantuan kewangan oleh seorang tokoh korporat selepas empat tahun berada di negara itu.

“Saya mengikut suami pulang ke Indonesia pada Mei 2005 tanpa pengetahuan keluarganya dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak Musmaulidul Maulana.

“Bagaimanapun, selepas merasai keperitan hidup di rantau orang dan kecurangan suami, saya mengambil keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107094033/Article/index_html

Tinggal dalam reban


DAIF...seorang warga emas yang dipercayai menjadikan
reban ayam sebagai tempat tinggal di Jalan Betik, Tampoi.



JOHOR BAHRU: Memilukan! Begitu kehidupan sekumpulan warga emas di bandar raya ini yang terpaksa tinggal dalam reban ayam dengan hidup serba kekurangan.

Seorang peniaga, Abrizah Abu Bakar, 48, berkata kumpulan warga emas itu dipercayai tiada pilihan hingga menetap dalam reban sempit dan menjalani kehidupan serba daif.

Menurutnya, lebih menyayat hati, mereka hidup sebatang kara terpaksa melakukan apa saja demi mendapatkan sesuap nasi termasuk menyelongkar timbunan sampah untuk mendapatkan makanan, mengemis atau mengumpulkan barangan kitar semula.

“Saya dan ahli keluarga terserempak dua warga emas berpakaian lusuh dalam keadaan terbiar yang berjalan berhampiran Jalan Betik, Tampoi di sini.

“Kami terkejut melihat warga emas berusia 60-an sehingga 70-an itu memasuki reban ayam.

“Mereka mengalas reban ayam itu dengan pakaian dan dipercayai dijadikan sebagai tempat berehat dan tidur, “
katanya.

Abrizah berkata, apabila dia dan suaminya menghampiri warga emas itu, kedua-dua lelaki berkenaan lari ke laluan berhampiran dengan tempat tinggal mereka itu.

Menurutnya, apabila menghampiri tempat itu, dia mendapati tempat tinggal warga emas itu dalam keadaan busuk dan menakutkan kerana bersebelahan semak hingga boleh mengancam keselamatan mereka.

“Terdapat beberapa tong yang diisi air dipercayai digunakan untuk keperluan minum mahupun mandi oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar, Ezhar Abdul Rauf, 20, berkata dia menyedari kehadiran sekumpulan warga emas di sekitar kawasan berkenaan yang menjadikan reban ayam sebagai tempat tinggal.

Menurutnya, kadangkala kumpulan warga emas itu berkelakuan memalukan hingga kurang disenangi di tempat tumpuan ramai.

“Pada tengah hari, kira-kira empat sehingga lima warga emas boleh dilihat mengemis mahupun terbaring di tepi jalan biarpun pada cuaca panas.

“Mungkin ada yang mempersenda kelakuan mereka dan suasana berkenaan menunjukkan sikap kurang prihatin masyarakat terhadap warga emas kurang bernasib baik itu,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107095200/Article/index_html

Tolak isteri dalam sungai

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my



KUANTAN: Pertengkaran sepasang suami isteri di atas Jambatan Sungai Bukit Rangin di sini, tengah malam kelmarin, berakhir dengan wanita itu ditolak ke dalam sungai.

Namun, nyawanya masih panjang kerana terselamat walaupun terpaksa berpaut pada kayu bakau selama tiga jam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam, wanita berusia 45 tahun itu diselamatkan polis marin dan anggota Bomba dan Penyelamat Pahang selepas menerima maklumat orang awam.

Sumber memberitahu Harian Metro, sebelum kejadian, mangsa yang juga isteri kedua lelaki berusia 42 tahun itu bertengkar kerana berselisih faham.

Selain cemburu, wanita itu dikatakan tidak mengetahui dia sebenarnya isteri kedua. Ini berikutan ketika pasangan terbabit berkahwin di Thailand, dia dipercayai tidak mengetahui lelaki itu masih mempunyai isteri.

Perang mulut pasangan itu bertambah tegang menyebabkan suaminya hilang pertimbangan lalu menolaknya ke dalam sungai.

Lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu bagaimanapun panik sebaik isterinya terjatuh ke dalam sungai sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jasmani Yusoff, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, dua pemancing yang kebetulan berada berhampiran jambatan itu menyedari kejadian berkenaan bergegas menghubungi polis untuk meminta bantuan.

Katanya, sepasukan anggota polis marin dibantu anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui wanita itu terapung kira-kira 500 meter dari tempat dia ditolak jam 3.30 pagi.

Mohd Jasmani berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan.

“Susulan itu, polis menjejaki rumah lelaki itu di bandar ini dan menahannya untuk siasatan lanjut kira-kira jam 5 pagi.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai status pasangan itu yang bernikah di Thailand,”
katanya.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Sementara itu, cubaan Harian Metro mendapatkan kenyataan mengenai kejadian itu daripada mangsa gagal kerana dia dikawal rapi seorang anggota polis wanita.

Berdasarkan tinjauan, mangsa dipercayai masih trauma dan fobia dengan kejadian itu, tidur dalam keadaan berselimut menutup separuh muka.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107100554/Article/index_html

Pengorbanan ibu


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Demi mempertahankan maruah anak gadisnya daripada diperkosa beramai-ramai, seorang ibu tunggal sanggup bergelut dengan tiga penjenayah yang menyamar anggota polis khas dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, wanita berusia 44 tahun berkenaan sanggup mempertaruhkan nyawanya walaupun berhadapan dengan tiga lelaki yang menceroboh masuk kediamannya di Batu 4, Jalan Gombak di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku apabila tiga lelaki tidak dikenali mengetuk pintu rumah mangsa.

Wanita berkenaan membukanya sebelum tiga lelaki terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis khas dari Bukit Aman tanpa menunjukkan kad kuasa.

“Suspek yang tidak memakai pakaian seragam polis mendakwa mengesyaki mangsa menyembunyikan pembantu rumah warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

“Mereka terus meluru masuk ke dalam rumah sambil berpura-pura menggeledah rumah mangsa untuk mencari wanita Indonesia berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, pada masa sama suspek turut mengambil tali pinggang dan jam berjenama, duit syiling serta tiga telefon bimbit milik mangsa.

“Tidak cukup dengan apa diperoleh, suspek mengugut mangsa bersama dua anak perempuannya berusia 25 dan 28 tahun supaya menanggalkan semua barang kemas dipakai.

“Mangsa yang ketakutan terpaksa menyerahkan cincin, rantai leher, rantai tangan dan rantai kaki kepada suspek,”
katanya.

Menurutnya, selepas mengambil semua barang kemas berkenaan, seorang daripada suspek bertindak liar cuba merentap tangan anak mangsa berusia 25 tahun.

“Suspek yang berusia 30-an itu cuba mengheret mangsa masuk ke dalam bilik dipercayai untuk memperkosanya.

“Menyedari niat jahat suspek, ibu mangsa bertindak melawan sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan tiga lelaki berkenaan,”
katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek segera melarikan diri selepas mangsa menjerit meminta tolong.

“Siasatan mendapati suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Wira Aeroback. Mangsa yang mengalami kerugian lebih RM9,000 segera membuat laporan polis,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090107100642/Article/index_html

Transformasi Adat Perpatih


Oleh NOOR HASLIZA NUSI dan ADHAM SHADAN
rencana@kosmo.com.my

Adat Perpatih secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum Hawa dari sudut harta pusaka. Persoalannya, adakah ia masih utuh dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan?


YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawar (kiri) menerima Mas Merah daripada Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Petra Mubarak Dohak.
--------------------------------------------------------------------------------

ADAT Perpatih yang bermula 650 tahun lalu adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya ketika itu adalah petani.

Tiada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat itu mula diwujudkan. Namun, Adat Perpatih telah dibawa ke Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau sejak ratusan tahun lalu.

Di Malaysia, Adat Perpatih masih wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian penduduk di Melaka terutama di Naning, Alor Gajah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Menyelami prinsip Adat Perpatih, ia secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum Hawa dari sudut harta pusaka khususnya tanah adat.

Mungkin kerana itu, ramai yang menganggap seolah-olah wujud wanita dari keluarga Adat Perpatih yang bersikap queen control sekiranya berkahwin dengan lelaki yang berasal dari negeri lain.

Kononnya segala harta pusaka milik suami akan diserahkan bulat-bulat kepada isterinya. Si suami pula harus tinggal di rumah isteri atau mentua.

Menjadi persoalan, adakah adat itu masih utuh dipraktikkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan biarpun negara telah mengalami perubahan zaman yang begitu drastik.



Dr. Shamsul Amri Baharuddin
--------------------------------------------------------------------------------

Menurut Profesor Antropologi Sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Adat Perpatih masih terus diamalkan oleh masyarakatnya tetapi ia kini telah mengalami perubahan mengikut arus zaman.

"Ia berubah dari segi bentuknya, tetapi isi atau prinsipnya masih kekal sehingga hari ini," itulah jawapan pertama yang dinyatakan beliau ketika ditemui Kosmo! di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Bangi baru-baru ini.

Antara prinsip Adat Perpatih yang masih kekal diamalkan adalah keturunan dikira melalui nasab ibu.

Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada kaum wanita yang dianggap bonda kandung, iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

Prinsip yang kedua, bagi masyarakat yang tinggal di kampung mereka tinggal di kawasan ibu sebelah isteri.

"Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya untuk menetap di kampung atau kawasan ibu kepada isterinya sebagai orang semenda.

"Cuma, bagi mereka yang berhijrah di luar kawasan Negeri Sembilan, contohnya di Pahang, Kelantan atau Perlis, prinsip itu mengalami perubahan iaitu si ibu hendaklah tinggal bersama anak perempuan dan menantunya.

"Hal yang melibatkan pembahagian harta pula membabitkan anak perempuan mewarisi harta pusaka manakala anak lelaki menyandang saka. Ini adalah prinsip yang ketiga. Ia menjelaskan bahawa hanya anak lelaki yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala anak perempuan mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

"Prinsip perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang tetapi orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku dan ini menjadi antara prinsip yang masih diamalkan masyarakat Negeri Sembilan,"
katanya merujuk kepada prinsip yang keempat dan kelima.

Shamsul Amri menjelaskan, apa yang dikatakan telah mengalami perubahan adalah dari segi penghijrahan tempat tinggal masyarakatnya. Ini menjelaskan sifat komuniti masyarakatnya tidak lagi bersemuka berbanding dahulu iaitu tinggal dalam satu kelompok atau satu kampung yang sama.

"Ramai dalam kalangan masyarakatnya, khususnya remaja telah berhijrah di negeri lain dan masing-masing memegang jawatan dan kerjaya sendiri.

"Ini bukan bermakna mereka mengabaikan Adat Perpatih, sebaliknya mereka dipengaruhi oleh aspek kehidupan moden Melayu pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, adat itu masih diamalkan tetapi bilangan pengamalnya tidaklah sebanyak puluhan tahun lalu.

"Ia masih diamalkan tetapi tidaklah seperti 50 atau 30 tahun lalu. Kebanyakan yang mengamalkannya ialah mereka yang tinggal di tanah adat iaitu di kawasan yang mengamalkannya.

"Sekarang ini, penghijrahan ke banyak tempat adalah perkara biasa. Masing-masing sudah bebas dan menentukan hala tuju sendiri.

"Konsep adat berpegang kepada 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Apabila kita tidak lagi berada di dalam kawasan tanah adat, kita tidak lagi terikat dengan adat tersebut sebaliknya kita terikat dengan adat di kawasan yang kita duduki.

"Justeru, tidak timbul soal berhijrah lalu mengabaikan adat," katanya.

Beliau menjelaskan, adat sebenarnya tidak jumud dan ia bersifat dinamik. Perubahan boleh berlaku dengan syarat disepakati oleh semua pihak yang terlibat.

"Muafakat adalah ibu adat," tambahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...