Oct 8, 08 11:22am
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka membuat keputusan penting hari ini - sama ada melepaskan jawatan nombor satu Umno atau terus bertarung menongkah arus popular yang mahukan beliau segera meninggalkannya.
Ketika spekulasi popular menjangkakan perdana menteri tidak akan mempertahankan jawatan presiden Umno, tiba-tiba muncul andaian sebaliknya apabila satu perjumpaan tergempar selama tiga jam diadakan sehingga 2 pagi tadi.
Perjumpaan melibatkan 200 orang itu diadakan di kediaman rasmi Abdullah di Putrajaya "untuk memuktamadkan keputusan sama ada beliau akan bersara atau terus mempertahankan jawatannya," kata seorang bekas ahli parlimen Umno, Datuk Ruhanie Ahmad.
Keputusan pertemuan itu, menurut mantan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) itu, "Abdullah akan terus mempertahankan jawatan presiden Umno."
Menurut coretan di blognya lagi, perjumpaan itu turut dihadiri beberapa wakil khas Naib Presiden Umno Datuk Seri Ali Rustam yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan nombor dua beberapa hari lepas.
Abdullah, yang juga pengerusi BN, dijangka mengumumkan keputusan rasminya selepas bermesyuarat dengan barisan pemimpin tertinggi parti komponen BN di Kuala Lumpur yang bermula jam 3.30 petang ini.
Beliau telah memaklumkan rancangannya kepada anggota-anggota kabinet dalam mesyuarat mingguannya pagi ini. Bagaimanapun setakat ini tiada maklumat terperinci diperolehi.
Lebih 30 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman di depan perkarangan kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana sejak jam 7.15 pagi bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Abdullah.
Menurut laporan media, mereka antaranya Alumni Kelab Umno Luar Negara, Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti (PERKIP) dan Pekida.
Sementara satu laporan lain menyatakan kunjungan bagi menyatakan sokongan kepada Abdullah bermula sejak semalam lagi. Mereka berharap mengekalkan jawatannya sekarang.
Bagaimanapun, Malaysian Insider hari ini melaporkan, Abdullah tidak akan mengubah pendiriannya untuk tidak bertanding lagi seperti jangkaan umum sejak keputusan terbaru mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) bulan lepas.
Menurut akhbar web itu lagi, Abdullah mengambil "keputusan muktamad" meninggalkan jawatan presiden pada Jumaat lepas selepas mengambil pandangan penasihat-penasihat kanannya, teman-teman dan penyokongnya.
http://www1.malaysiakini.com/news/90860
No comments:
Post a Comment