Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: Empat anggota polis yang cuba mencari ‘duit raya’ dengan menyamun seorang kontraktor dua hari sebelum Aidilfitri lalu menerima padah apabila ditahan selepas mangsa membuat laporan.
Dalam kejadian pada petang 28 September lalu, empat anggota polis berusia awal 20-an itu, bersama dua anggota lain dari Balai Polis Presint 11 di sini, meronda tapak pembinaan berhampiran Depoh Simpanan Minyak Petronas yang terletak dalam bidang kuasa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.
Sumber berkata, mereka kemudian menahan seorang kontraktor di tapak pembinaan itu sebelum menyamun sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM2,000 daripada mangsa.
Bagaimanapun, dua anggota polis lagi enggan bersubahat dengan empat lagi rakan mereka yang melakukan perbuatan keji itu.
Mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan empat anggota polis itu membuat laporan di IPD Sepang.
Sumber itu berkata, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, sepasukan anggota polis dari IPD Sepang menahan empat anggota polis itu pada hari sama.
Mereka ditahan di IPD Sepang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sehari kemudian.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Zahedi Ayub, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan empat anggota polis itu tetapi enggan mengulas lanjut.
http://www.hmetro.com.my/08102008
No comments:
Post a Comment