Wednesday, October 8, 2008

TAG 2433: Barisan Nasional Dihenyak Pukulan Maut Masalah Dalaman

(BARISAN NASIONAL DOOMED BY IN-BUILT CONTRADICTIONS)

Oleh Kim Quek

Gara-gara kemeruduman kuasa politik UMNO yang bermula sejak Pilihan Raya Umum Mac lalu, parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan sudah terjebak dalam satu dilema rahsia – sama ada mereka harus terus ceria dengan perkembangan demikian ataupun sebaliknya. Keceriaan itu disebabkan keadaan UMNO yang lemah longlai, akan memberikan parti-parti berunsur perkauman itu, yang sekian lama memperhambakan diri kepada UMNO, satu peluang utama sejak berdekad lamanya melakukan satu usaha meraih kembali status asal mereka sebagai rakan kongsi dalam sebuah pakatan, dan dengan itu membawa satu sinar harapan meraih kembali sedikit sokongan yang sudah lama menghilang di kalangan masyarakat yang mereka wakili. Mereka tidak boleh merasa ceria, kerana keadaan UMNO laksana kuda tempang, akan berkesudahan dengan BN kehilangan sama sekali kuasa politik kepada Pakatan Rakyat (PR) dan sekali gus menyebabkan parti komponen itu semuanya kehilangan kuasa mereka untuk sama-sama memerintah.

Secara kasarnya, UMNO yang perkasa memang membawa banyak petaka, kerana ia akan membuatkan parti itu semakin angkuh, dan dengan itu terus meminggirkan sokongan minoriti yang masih ada. Namun, UMNO yang lemah adalah tidak bagus juga, kerana ia tidak mampu memberikan sokongan tiang seri kepada semua parti perkauman yang bergayut kepadanya.

Di sinilah letaknya masalah dalaman yang sungguh fundamental dalam hubungan antara UMNO dan rakan kongsinya yang berfungsi umpama dedalu itu. Percanggahan itu, antara lainnya akan menghenyak UMO dengan pukulan maut untuk pupus akhirnya. Disebabkan perubahan struktur yang sedang berlaku kini dalam landskap politik yang terbukti pada Pilihan Raya Umum 8 Mac dahulu.

Perubahan itu adalah seperti berikut:


1. Kaum minoriti tidak lagi selesa menerima diskriminasi perkauman, dan mereka semakin yakin betapa parti perkauman mereka sudahpun gagal melindungi hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, gara-gara mainan putar-belit dan perhambaan yang disebabkan hegemoni politik UMNO.
2. Rakyat semua kaum sudahpun sedar betapa kerajaan BN telah menyalahgunakan kuasa mentadbir negara ini disebabkan korupsi dan ketidakcekapan, dan UMNO telah menyalahgunakan kuasa dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru gara-gara mengisi tembolok para pemimpin parti dan para kroni mereka. .
3. Majoriti rakyat daripada pelbagai kaum membenci mainan politik perkauman UMNO/BN dan semakin mengimpikan kepulangan demokrasi dan hukum undang-undang, yang sudah lama menghilang sedikit demi sedikit sejak beberapa dekad yang lalu.
4. Rakyat jelata sudahpun menerima kemunculan Pakatan Rakyat sebagai satu alternatif yang baik untuk menggantikan BN seperti yang terbukti dengan munculnya 50% undi rakyat memihak kepada PR dalam Pilihan Raya Umum Mac dahulu.

ANJAKAN PARADIGMA

Setelah dihamba-abdikan oleh kuasa absolut (mutlak) BN selama lima dekad, anjakan paradigma yang berlaku disebabkan perubahan itu memang amat menakjubkan kalau diambil kira hakikat bahawa negara ini masih dikuasai pemerintahan kuku besi. Kesedaran politik demikian sudah tentu tidak akan berlaku tanpa kemunculan revolusi ICT yang amat pantas dan usaha kempen yang tidak kenal penat jerih oleh Pakatan Rakyat. Yang menariknya dalam proses politik demikian ialah rakyat jelata yang sudah menjadi begitu selesa menerimanya, dan ini adalah satu proses politik yang tidak akan berpatah balik lagi. Dengan peredaran masa, penerimaan baik ini akan terus berkembang, seperti yang kita lihat pada keputusan Pilihan Raya Kecil di Permatang Pauh, di mana PR telah menokok sokongan majoriti walaupun berlakunya pelbagai rintangan yang perlu dilalui.

Keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan juga kesan pungutan suara (opinion polls) yang menyusul kemudiannya, telah menunjukkan betapa PR telah berjaya meraih sokongan bertambah daripada tiga kaum besar di negara ini, dan betapa sokongan pengundi Cina dan India telah bertambah berlipat-kali ganda. Ini merupakan satu isyarat penting kepada parti perkauman dalam BN betapa zaman mereka sudah semakin menghampiri penamatnya, kecuali UMNO mampu melaksanakan perubahan yang drastik kepada dasar hegemoni perkauman dan menamatkan amalan korupsi dan pentadbiran kuku besi. Sayang tidak ada sebarang pertanda bahawa UMNO akan berubah ke arah itu, walaupun sudah banyak suara marah dan ugutan mereka yang mahu berpaling tadah di kalangan sekutu politiknya. Dengan rentetan ini, para pemimpin MCA dan Gerakan yang ada, yang sekian lama bersuara celupar dengan janji mahu menjinakkan UMNO, hanya ternyata mampu beretorik dengan pembohongan massa mereka sahaja, membohongi orang lain sedangkan yang sebenarnya mereka menipu diri sendiri juga.

Sesungguhnya percanggahan dalam BN bukan semata-mata disebabkan peranan UMNO yang memainkan peranan si pembuli yang gah, tetapi sebagai satu parti gagasan yang mengandungi komponen parti perkauman BN itu sendiri telah dibina berasaskan satu struktur yang memang rapuh asas struktur pembinaannya. Struktur sedemikian hanya boleh diterima sebagai satu usaha sementara di tahap awalan negara membina kemerdekaannya di mana pelbagai parti perkauman bergabung ketika belum tercetus sebarang kematangan di kalangan rakyatnya. Itu sebabnya parti terdahulu yang bernama Perikatan - yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC, yang telah berjaya mendapatkan Kemerdekaan kira-kira setengah abad dahulu, untuk orang Melayu, telah dianggap sebagai satu entiti politik yang sesuai memimpin negara untuk membesar. Namun, apabila negara terus membangun, pakatan parti perkauman seperti itu, telah membesar menjadi parti multi-perkauman, menukar haluan bagi integrasi nasional yang sebenarnya.

GAGASAN PERKAUMAN YANG TIDAK BOLEH DITERIMA

Sebab-musabab kenapa parti perkauman tidak boleh diterima sebagai satu penyelesaian yang hakiki adalah amat mudah sekali - secara nalurinya ia bercanggahan dengan inspirasi para sekutu ataupun pakatannya. Oleh kerana parti perkauman menjuarai kepentingan kumpulan perkauman ataupun masyarakat yang diwakilinya, sudah tentu akan berlaku percanggahan yang memerlukan banyak perundingan dan tolak ansur. Sudah tentu setiap parti setiap parti perkauman dalam pakatan itu mahu menjaga kepentingan sendiri dan menganggap sesuatu parti perkauman lain sebagai saingannya dalam menjuarai apa juga bidang kehidupan, baik sosial mahupun ekonomi.

Selagi struktur pemerintahan terus wujud, perbalahan dan konflik perkauman akan terus menjadi perkara biasa dalam kerajaan, dan dengan demikian menjadi satu hambatan kepada integrasi perkauman dan pembinaan negara dan bangsa.

Hambatan semacam itu semakin menjadi rumit seandainya sesuatu parti perkauman itu mengungguli hegemoni dan mengenakan pelbagai diskriminasi terhadap parti perkauman yang lain. Malahan, dalam pengalaman Malaysia, hambatan demikian telah membesar menjadi satu raksasa, kerana parti yang dominan bukan sahaja bersifat diktator tetapi menjadi begitu korup, melanjutkan kuasanya melalui kerja-kerja menghambakan semua institusi kerajaan dengan salah guna kuasa dan pemerintahan kuku besi, secara putar-belit undang-undang.

Kesan buruk pemerintahan ini terhadap pembangunan negara adalah amat besar petakanya. Inilah yang melebarkan jurang perkauman, meruntuhkan hukum undang-undang dan kereputan ekonomi, yang menyebabkan keperitan hidup rakyat, walaupun negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan menikmati harga pasaran yang sungguh mewah untuk barangan komoditinya yang banyak dieksport keluar negara.

Gara-gara kekecewaan rakyat jelata dan kehampaan yang tidak ada tepiannya terhadap kepimpinan politik BN yang semakin mereput, maka kemunculan janji PR untuk membawa masuk politik yang bersih dengan kepimpinan kerajaan yang berbentuk multi-perkauman diterima dengan penuh selesa oleh rakyat jelata yang mahu melihat negara mereka membangun semula.

IDEOLIGI PEWARISAN

Malahan, ekoran tsunami politik yang dibawa masuk oleh PR, negara sudah semakin sedar tentang hegemoni politik Umno yang sudah begitu berkesinambungan dan berjaya menipu dan membohongi negara ini - sehinggalah baru-baru ini, yang telah dianggap selama ini sebagai metos formula hikmat dalam pembangunan negara. Yang paling menonjol ialah pakatan dan gabungan parti komponen perkauman sebagai satu dasar utama untuk mentadbir negara, dan kemunculan beberapa keistimewaan dalam Perlembagaan sebagai usaha agenda politik dalam DEB seperti hak kelahiran. Semua ideologi warisan ini sudah merupakan penyebab utama kenapa berlakunya penyakit politik dan ekonomi yang meruntuhkan negara.

Memang wujud banyak alasan munasabah kenapa pemimpin UMNO mahu memanjangkan metos ini. Tujuannya untuk mengekalkan dasar pecah dan perintah sebagai satu strategi perkasa, untuk membolehkan kuasa politik pemimpin parti dan kekayaan persendirian dapat dikawal untuk selama-lamanya.

Di samping itu, para pemimpin parti komponen yang bergayut sudah tidak mampu melepaskan tanggungjawab mereka dalam keadaan yang sungguh menjijikkan ini, kerana tanpa persetujuan peribadi mereka sendiri menonjolkan topeng pakatan multi-perkauman itu, hegemoni UMNO tidak mampu bertahan untuk terus berkekalan.

Pada waktu ini ketika negara menghadapi satu krisis politik yang sungguh besar kekalutannya yang mungkin memporak-perandakan negara, adalah tanggungjawab setiap anggota Dewan Parlimen yang telah diberikan amanah rakyat untuk mentadbir negara ini, memikirkan semasak-masaknya melaksanakan tugas terbaik untuk membawa faedah kepada rakyat jelata. Apakah anggota Dewan Parlimen itu membiarkan negara terus terapung tanpa hala tuju yang pasti untuk selama lima tahun ini sehingga munculnya Pilihan Raya Umum yang baru, ataupun bertindak pantas untuk menyumbang terhadap menamatkan hubungan dengan zaman silam dan membuka satu babak baru untuk membawa harapan baru kepada negara ini sekarang juga, tanpa perlu membiarkan negara ini terus diayun pemerintahan yang sungguh korup?


07.10.2008 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)
(suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)

http://www.marhaen.org/v1/mar_a_tag2433.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...