Wednesday, October 8, 2008

Maut dicekik teman lelaki

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

SUNGAI BULOH: Tragis! Seorang wanita yang akan bertunang hari ini sempena hari lahirnya ke-26 dicekik hingga mati oleh teman lelakinya dipercayai akibat cemburu, semalam.

Mulanya, Nurul Hazira Baharom, 26, pergi ke rumah sewa teman lelakinya itu di Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, untuk memberitahu dia akan bertunang dengan pilihan keluarganya.

Ini menyebabkan lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu tidak dapat menerima hakikat lalu bertindak di luar batasan.

Wanita itu dicekik hingga mati di atas tilam dalam sebuah bilik.

Selepas melihat mangsa mati, lelaki terbabit gagal mengawal perasaan sebelum meminum racun rumpai dalam kejadian jam 11 pagi.


Bagaimanapun, dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, lelaki itu sempat keluar dari rumahnya untuk meminta pertolongan jiran.

Dia mendakwa kononnya wanita itu turut meminum racun serta memaksanya melakukan perkara sama.

Seorang jiran yang enggan dikenali berusia 30-an, berkata lelaki itu datang ke rumahnya dalam keadaan kesakitan sambil meminta pertolongan.

“Saya bergegas ke rumah lelaki itu sebelum terkejut mendapati wanita terbabit terbaring di atas tilam. Saya segera menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata wanita berkenaan yang tidak bernyawa ditemui terbaring di sebuah bilik.

Katanya, lelaki terbabit turut berada berhampiran wanita itu, tetapi dalam keadaan tidak bermaya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati sebotol racun rumpai ditemui berhampiran mayat mangsa.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu cuba membunuh diri dengan meminum racun selepas mencekik mangsa sehingga mati,” katanya ketika dihubungi.

Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kesan pergelutan dan pihaknya percaya kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham.

“Polis yakin kes pembunuhan terbabit selesai dengan penahanan suspek walaupun dia kini mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Keterangan daripadanya belum diambil kerana suspek belum sedarkan diri. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/08102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...