Wednesday, October 8, 2008
Sindiket tawar kursus ternak lintah arah cari peserta baru
KUALA LUMPUR: Beberapa sindiket skim cepat kaya dikesan menawarkan latihan menjadi pengusaha ternakan lintah sebelum memperdaya orang ramai membuat pelaburan.
Setiap mangsa diminta membayar yuran pendaftaran dengan alasan untuk program latihan yang dijalankan termasuk yuran keahlian istimewa.
Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari tertipu apabila sindiket meminta mereka mencari 10 hingga 60 lagi peserta kursus baru bagi melayakkan mereka menyertai pelaburan khas berbentuk sistem piramid.
Seorang mangsa, Makhzan Muhammad, 32, berkata dia hampir terpedaya selepas bersungguh-sungguh mahu mengikuti kursus dan mempelajari teknik menternak lintah yang diiklankan melalui surat khabar terkemuka, baru-baru ini.
“Saya menghubungi nama tertera pada iklan itu sebelum menerima maklumat lanjut mengenai kursus kaedah menternak lintah ditawarkan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Selepas menerima penjelasan lanjut mengenai kursus ditawarkan syarikat terbabit oleh seorang pengurus yang dikenali sebagai ‘haji’, mangsa berpuas hati dan menetapkan tarikh bagi mengikuti kursus itu.
“Saya percayakan dia sebab nama dan cara percakapannya seperti orang alim,” katanya kesal.
Menurutnya, dia bersetuju mengikuti kursus itu pada Ahad lalu di sebuah hotel terkemuka selepas beberapa kali dihubungi ‘haji’ terbabit yang mendakwa mangsa akan kerugian jika melepaskan peluang keemasan itu.
“Ketika tiba di lokasi kursus pada jam 11 pagi, semua peserta diarah membuat pendaftaran sebelum diarahkan membayar yuran RM380 difahamkan untuk diberikan kepada penceramah,” katanya.
Makhzan berkata, ketika mengikuti kursus berkenaan dia terkejut kerana penceramah itu tidak menceritakan kaedah penternakan lintah sebaliknya mengarahkan mereka mencari sekurang-kurangnya 10 peserta baru bagi melayakkan mereka bergelar ejen syarikat itu.
“Saya hendak menternak lintah bukan mahu buat perniagaan jualan langsung atau pemasaran pelbagai peringkat (MLM),” katanya.
Mangsa yang kebingungan mengajukan pertanyaan berhubung kekeliruannya itu.
“Bagaimanapun penceramah terbabit memberitahu syarikat itu menyediakan peluang perniagaan lebih menguntungkan kepada mereka untuk bekerja sambilan tanpa menguruskan penternakan lintah seperti diiklankan,” katanya.
Berang dengan penjelasan itu, mangsa segera menghubungi ‘haji’ yang memujuknya menyertai kursus terbabit, tetapi jawapan yang diberikannya tidak seperti janji sebelumnya.
Sementara itu, Pengurus Syarikat Kerabat Akuatek Resources Sdn Bhd, Danial Mohd, melahirkan rasa kesal dengan tindakan segelintir syarikat penternak lintah yang mengambil kesempatan menipu orang ramai kerana akan menjejaskan imej syarikat sebenar yang menawarkan kursus penternakan lintah.
http://www.hmetro.com.my/08102008
No comments:
Post a Comment